25 September, Nilai – Cara mengungkapkan rasa kasih dan cinta kepada negara kini dilihat semakin berbeza mengikut zaman dan generasi. Bersesuaian dengan teknologi komunikasi yang semakin pantas, generasi yang akrab dengan peranti semakin bijak menggunakan medium ini untuk menyatakan perasaan mereka melalui karya yang dihasilkan.
“Memaparkan hasil yang mengagumkan dengan mampu memberi suntikan semangat untuk menghargai keindahan alam tanah air.” Inilah ekspresi ingin dikongsi oleh johan pertandingan Tik Tok Merdeka USIM ahli kelab Seni Budaya USIM Muhammad Hazim Mat Rosli. Tempat kedua dimenangi oleh Muhammad Najmi Aiman Nordin dengan video yang berdurasi 1 minit memaparkan dataran merdeka sebagai lokasi bersejarah yang perlu dihayati peristiwa besar negara Malaysia. Tempat ketiga dimenangi oleh Erfan Zaki Md Noor, pelajar fakulti Kepimpinan dan Pengurusan. Manakala johan fotografi dimenangi oleh Khalid Saifullah Zulkifly dan tempat kedua Mohamad Zarith Iskhandar Mohamad Azli. Bagi tempat ketiga pula dimenangi oleh alumni Faizah Zainuddin.
Majlis penutup bulan kebangsaan peringkat USIM disambut meriah dengan pelbagai acara dijalankan bermula 4 Ogos sehingga 25 September 2023. Kehadiran Naib Canselor USIM Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani sebagai perasmi pada majlis tersebut lebih meriah apabila beliau menyatakan rasa amat terharu dan teruja dengan persediaan yang kesungguhan yang ditonjolkan oleh warga USIM khususnya staf dan pelajar USIM begitu komited menyertai program sepanjang sambutan bulan kebangsaan.
Dalam pada itu pengerusi program Sambutan Bulan Kebangsaan peringkat USIM, Profesor Dr. Adnan Mohamed Yusoff, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal dan Alumni berkata, “ sungguhpun suasana kampus agak sunyi disebabkan cuti semester, namun apabila tibanya bulan Ogos, kemeriahan merdeka dapat dirasai dengan hiasan bendera Malaysia di seluruh kampus dan dimeriahkan lagi dengan dekorasi pejabat dengan sentuhan seni kreativitinya. Pada tahun ini acara yang dianjurkan menunjukkan sambutan di kalangan staf amat memberangsangkan.”
Selain itu, Pusat Kebudayaan USIM turut terlibat sebagai peneraju bagi acara pertandingan menulis puisi dan fotografi kemerdekaan dengan kerjasama Pusat Hal Ehwal Pelajar. Kedua-dua acara dianjurkan secara terbuka kepada warga USIM iaitu staf, pelajar dan termasuk alumni dan telah mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan 53 karya puisi dan 63 foto yang telah dimuat naik melalui media sosial seperti Facebook dan Instagram dengan pautan tanda pagar Pusat Kebudayaan USIM. Acara penutup telah diakhiri persembahan pertandingan perbarisan kontinjen jabatan-jabatan dan penyampaian hadiah kepada pemenang bagi kesemua acara yang dipertandingkan oleh Naib Canselor USIM.
Disediakan oleh:
Rozihani Mohamad
Ketua Unit Pengurusan Dokumentasi dan Penerbitan Kreatif
Pusat Kebudayaan USIM