SHAH ALAM, 24 September – Produksi Bunga daripada Kelab Penerbitan Kreatif, Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berjaya merangkul gelaran johan Pertandingan Teater sempena Festival Novel Malaysia anjuran Kumpulan Media Karangkraf.
Dalam pertandingan tersebut, USIM menghantar dua kumpulan produksi yang masing-masing diberikan masa 30 minit untuk mempersembahkan naskhah teater, termasuk proses membawa masuk, memasang dan membawa keluar set serta prop pementasan. Kemenangan Bunga sekali gus membuktikan keupayaan tenaga produksi dalam menghasilkan persembahan yang berkesan dan menyentuh emosi penonton.
Bunga mengisahkan kehidupan dua beradik yang kehilangan kedua-dua ibu bapa. Wani menggalas tanggungjawab menjaga adiknya, Bunga, seorang kanak-kanak istimewa yang menjadi satu-satunya ahli keluarga yang masih dimilikinya. Di sebalik kehidupan sederhana dan tekanan tanggungjawab, Wani terus berkorban demi kebahagiaan Bunga. Namun, hubungan kasih sayang mereka mula diuji apabila Bunga merasakan dirinya sebagai beban kepada insan yang paling disayanginya.

Pementasan ini mengangkat tema kasih sayang, pengorbanan, penerimaan dan keprihatinan terhadap golongan orang kurang upaya (OKU), sekali gus mengajak masyarakat menyantuni mereka dengan penuh ihsan, selaras dengan tuntutan Islam.
Keberkesanan penghayatan watak Bunga sebagai seorang kanak-kanak istimewa berjaya mencuri perhatian penonton apabila pelakon utamanya, Nurin Alya Khairulnizam, pelajar tahun dua, mengekalkan karakter tersebut dengan penuh penghayatan dari awal hingga akhir pementasan. Persembahan beliau turut diserlahkan menerusi beberapa aksi yang berjaya menyentuh emosi penonton. Produksi ini diarahkan sepenuhnya oleh Najihah Abdul Halim, juga berdasarkan idea dan naskhah Muhammad Faiz Rozy, keduaya merupakan pelajar tahun akhir USIM

Sementara itu, satu lagi produksi USIM, Akademi Teater Rupawan Asli (ATRA), turut mencatat kejayaan apabila menerima hadiah sagu hati menerusi pementasan monolog berjudul Memoir Terakhir. Naskhah ini membawa penonton menyelami kisah dua insan yang pernah berkongsi cinta, kebahagiaan dan impian sebelum masa mengubah perjalanan hidup mereka. Di sebalik setiap kenangan yang tercipta, tersimpan kisah kehilangan yang sukar diterima, sekali gus mengajak penonton menghayati makna cinta, kenangan dan perpisahan.
Bertemakan “Segalanya Bermula dengan Cinta”, Festival Novel Malaysia menghimpunkan pencinta buku, penulis, penerbit dan komuniti kreatif menerusi pelbagai program serta aktiviti menarik. Antara pengisian yang dianjurkan termasuk Digital Creator Workshop, Pitch Your Idea, Pertandingan Teater, Art Market, Konvensyen Penulisan Novel, Book Tea Party dan Anugerah Festival Novel Malaysia. Pengunjung turut berpeluang mendapatkan pelbagai judul buku dan novel terbitan Karangkraf pada harga istimewa.

Bagi kategori Pertandingan Teater, johan menerima wang tunai RM1,000 berserta hadiah iringan berupa novel terbitan Karangkraf. Naib johan dimenangi Cheritera Panggung dengan hadiah wang tunai RM800, manakala tempat ketiga diraih Notorious Playhouse Production dengan hadiah wang tunai RM500. Dua lagi kumpulan, iaitu ATRA dan ruangan Aksara Rymba, masing-masing menerima hadiah sagu hati. Kesemua pemenang turut menerima sijil daripada pihak penganjur. Pertandingan tersebut disambut meriah apabila audiens memenuhi ruang pementasan di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam Selangor.
Disediakan oleh:
Rozihani Mohamad
Pegawai Kebudayaan
Pusat Kebudayaan USIM