PUTRAJAYA, 17 November – Berbekalkan semangat, kreativiti dan kesungguhan seluruh anggota produksi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berjaya meraih tempat ketiga dalam pertandingan akhir Cabaran Ceritera Muzikal MADANI bersempena Festival Idea Putrajaya 2026 (FOI) menerusi persembahan Sandar Pusaka: Satu Jiwa, Seribu Sandaran.

Di sebalik kejayaan tersebut, USIM muncul dengan keunikan tersendiri dengan membentuk sebuah karya persembahan yang menggabungkan seni tradisional dan kontemporari dalam satu penceritaan yang sarat dengan mesej kemasyarakatan. Usaha dan komitmen ini dianggotai seramai 39 orang Angkatan Seni Budaya USIM yang menjadi tunjang di sebalik kejayaan tersebut.

Bermula daripada sebuah naskhah kecil dan dikembang mengikut keperluan syarat penyertaan, Sandar Pusaka menampilkan watak utama dan karakter sokongan, pembentukan jalan cerita, pembinaan watak, penyusunan gerak tari, muzik dan koreografi, setiap anggota memainkan peranan untuk memastikan mesej yang ingin disampaikan dapat difahami oleh penonton.  Semangat saling membantu, kesediaan menerima pandangan serta kesungguhan memperbaiki persembahan menjadi kekuatan utama dalam merealisasikan karya tersebut.

Biar pun cabaran utama yang dihadapi kumpulan ini ialah tempoh masa latihan yang sangat terhad, iaitu hanya dua hari secara intensif disebabkan kekangan cuti pertengahan semester, namun tidak mematahkan semangat mereka untuk memastikan setiap elemen persembahan dapat diselaraskan dengan baik.

Bertemakan “Menggapai ke Langit, Mengakar ke Bumi”, Sandar Pusaka mengetengahkan sebuah penceritaan yang menjadikan kerusi di tengah gelanggang Randai sebagai simbol pusaka kemajuan dan kemakmuran negara yang menjadi hak bersama seluruh rakyat Malaysia.

Lima karakter utama yang mewakili Petani, Pekerja, Pelajar, Penghantar Makanan (ekonomi gig) dan Orang Kurang Upaya (OKU) dipersembahkan dengan pelbagai latar kehidupan, peranan serta harapan yang berbeza. Namun, keinginan untuk mendahului dan menguasai ruang serta peluang mencetuskan persaingan sehingga mengganggu keharmonian yang sepatutnya dinikmati bersama.

Konflik tersebut diterjemahkan melalui komedi fizikal, sindiran sosial dan pertembungan gerak tari yang menggabungkan dendang Randai, rap, nyanyian serta battle dance. Persembahan turut memanfaatkan tepukan galembong sebagai instrumen muzik dan bahasa dramatik yang menghidupkan perjalanan cerita.

Penceritaan kemudiannya berkembang ke arah penyatuan apabila gerak tradisional dan kontemporari digabungkan dalam koreografi Randai yang dinamik. Menerusi kemuncak nyanyian Rasa Sayang, tepukan galembong dan gerak kolektif, gelanggang yang sebelumnya menjadi ruang persaingan kembali terbuka sebagai simbol kebersamaan dan keharmonian masyarakat. Disampaikan dalam olahan muzik kontemporari, lagu tersebut membawa lapisan satira dan refleksi terhadap sikap masyarakat yang bertelagah, saling menghukum dan mengutamakan kepentingan sendiri, meskipun hidup dalam dunia yang semakin maju dan saling berhubung.

Menariknya Sandar Pusaka, gabungan pakaian pekerjaan kontemporari dengan seluar galembong tradisional menjadi identiti visual persembahan. Pendekatan ini melambangkan masyarakat yang terus bergerak seiring perubahan zaman tanpa melupakan akar budaya dan warisan. Persembahan ini turut membawa penonton meneroka seni warisan Negeri Sembilan melalui penonjolan alat muzik caklempong disulami dendangan pembukaan dan penutup gelanggang meggunakan dialek negeri.

Memetik lirik pembukaan:

“Yo aii mulo gelanggang
Lafaz Bismillah pemulo kalam
Mohon bolindung pado-Nyo Tuhan
Semakin maju negeri gemilang,
Siapa bersandar tengah gelanggang?
Yo aii mulo gelanggang…”

Persembahan ini membuka panggung dengan menimbulkan persoalan siapakah yang layak duduk di kerusi tersebut. Ini membuktikan bahawa kekuatan sesebuah persembahan bukan semata-mata terletak pada kehebatan individu, sebaliknya lahir daripada kesepaduan idea, disiplin, kreativiti dan kesanggupan setiap ahli dalam kumpulan yang mempunyai peranan menggerakkan bagi melengkapi sebuah cerita.

Selain kejayaan meraih tempat ketiga, USIM turut mengungguli Anugerah Idea dan Konsep Terbaik dan Anugerah Tarian Terbaik menerusi keunikan kerusi sebagai perlambangan negara yang menjadi ruang bersama pelbagai lapisan masyarakat. Simbolik perebutan kerusi tersebut diterjemahkan secara artistik melalui pertembungan gerak Randai dan tarian yang membentuk konflik serta perkembangan cerita.

Keseluruhan karya ini membawa mesej bahawa kemajuan sesebuah negara bukan hanya diukur melalui pembangunan fizikal dan kemakmuran ekonomi, tetapi turut bergantung pada kematangan pemikiran, sikap dan nilai kemanusiaan rakyatnya. Hal ini dizahirkan melalui falsafah “Yang berubah bukanlah kerusi, tetapi manusia yang mengelilinginya.”

Menurut saudari Mona Shafarine Jumiran, pelajar tahun akhir di Fakulti Pengajian bahasa Utama (FPBU) yang juga ketua produksi berkata, “pengalaman menjayakan persembahan ini merupakan sesuatu yang sukar digambarkan kerana ianya menuntut komitmen kesungguhan kami menghayati reka bentuk gerak, koreografi dan susunan muzik agar keseluruhan elemen dapat digabungkan menjadi sebuah penceritaan yang tersusun, dengan sokongan padu pemuzik dan narator.” Menurutnya lagi keseluruhan anggota produksi tidak mengenal jemu mempersiapkan latar belakang visual, audio serta persediaan rapi dari segenap aspek, termasuklah busana dan tatarias. Dengan kekangan masa yang terhad, disiplin perlu diutamakan dan pemahaman ini menjadi satu kekuatan untuk kesemua ahli bersatu padu.

Pertandingan Cabaran Ceritera Muzikal Madani menyaksikan dua kategori pernyertaan iaitu lapan finalis dari Kategori Sekolah Menengah manakala tujuh bagi kategori IPT. Finalis kategori IPT iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Malaysia Terenganu (UMT) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Bagi kategori IPT, johan pertandingan dimenangi oleh Universiti Putra Malaysia dan Naib Johan oleh Universiti Sains Malaysia serta USIM meraih tempat ketiga. Pertandingan tersebut turut mempertaruhkan lapan anugerah Utama dan lima anugerah sampingan. Penyampaian hadiah bagi kedua-dua kategori telah disempurnakan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman yang berlangsung di Dewan Putra A, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya.

Pencapaian Sandar Pusaka, ini bukan sahaja mengetengahkan keunikan seni persembahan warisan dalam pendekatan baharu, malah membuktikan bahawa keterbatasan masa bukan penghalang untuk menghasilkan sebuah karya yang mempunyai nilai, identiti dan mesej yang bermakna kepada masyarakat.

Disediakan oleh:
Rozihani Mohamad
Pegawai Kebudayaan
Pusat Kebudayaan USIM