KUANTAN, 24 Oktober – Malam Kemuncak Gema Melayu Klasik menyaksikan Muhamad Afiq Muhamad Syuhaimin, mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), mencipta kejayaan membanggakan apabila dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Dendangan Syair Festival Gema Melayu Klasik anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui DBP Wilayah Tengah dan Kelab Debat dan Pidato Bahasa Melayu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan Pahang.
Mahasiswa berusia 21 tahun yang merupakan pelajar tahun dua, Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU) berjaya menewaskan lima peserta lain menerusi persembahan syair yang penuh penghayatan. Afiq turut aktif sebagai ahli Kumpulan Penyair Nasional (KHUPAS), Kelab Penerbitan Kreatif, Pusat Kebudayaan (PUSKEB) USIM.

Gambar Ihsan – Dewan Bahasa dan Pustaka
Mengimbau perjalanan minatnya dalam seni syair, Afiq berkata beliau sentiasa berusaha memperbaiki lenggok, nada dan penghayatan bersyair menerusi latihan kendiri dengan menjadikan tokoh-tokoh syair serta video persembahan yang dikongsikan di platform YouTube sebagai sumber rujukan.
“Berada di universiti merupakan ruang untuk mahasiswa memanifestasikan minat dan kecenderungan terhadap sesuatu bidang. PUSKEB menjadi antara platform yang menyediakan peluang untuk mengembangkan bakat, mengasah kemahiran serta menguji keupayaan diri. Sebagai mahasiswa, kita perlu bijak mencari peluang dan berani mencuba agar potensi yang ada dapat dikembangkan,” katanya.
Pertandingan dendangan syair dihantar melalui aplikasi video yang diadakan bermula pada 21 Ogos 2026 hingga 11 September 2026 sebagai acara utama yang mengisi sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan 2026 Peringkat Negeri Pahang
Pelbagai aktiviti diadakan sebagai pengisian program ini antaranya Pertandingan Pidato, Dendangan Syair, Deklamasi Sajak, Bercerita dan Pertandingan Resensi Buku. Acara pertandingan ini telah mendapat sambutan yang sangat menggalakkan apabila menerima jumlah penyertaan yang menggalakkan.
Malam Kemuncak Gema Melayu Klasik merupakan acara utama yang berlangsung di Auditorium Utama, Kuliyyah Pergigian UIAM Kampus Kuantan, Pahang. Majlis Perasmian Penutupan Festival Gema Melayu Klasik telah disempurnakan oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Mohd. Ariffin bin Kaderi, Timbalan Pengarah UIAM Kampus Kuantan. Turut hadir Puan Nurul Julia Alani Henry, Pengarah DBP Wilayah Tengah dan Encik Muhammad Syafik bin Abd Rahman, Penasihat Kelab Debat dan Pidato Bahasa Melayu, UIAM Kampus Kuantan.

Gambar ihsan – Dewan Bahasa dan Pustaka
Kemenangan Afiq menerusi syair Cintai Bahasa Melayu memberi maksud sanjungan terhadap keindahan, keunggulan dan kepentingan memartabatkan bahasa Melayu sebagai cerminan jati diri bangsa. Persembahan yang disampaikan dengan penuh penghayatan dan lenggok irama syair tradisional itu turut memperlihatkan keupayaan seni warisan Melayu terus diangkat dalam kalangan generasi muda.
Afiq berharap agar seni syair terus berkembang dan kekal relevan melalui pendekatan yang lebih bersifat kontemporari tanpa mengabaikan keaslian warisan tradisi. Beliau turut berharap seni syair dapat terus menjadi medium dakwah dan inspirasi dalam membentuk masyarakat yang berintelektual, berakhlak mulia serta mencintai bahasa Melayu.
Kejayaan Afiq mengharumkan nama USIM membuktikan bahawa mahasiswa berupaya membuktikan bahawa potensi anak anak muda USIM dalam mengangkat imej persembahan seni sastera tradisional kekal terserlah. Usaha berterusan dalam menyemarakkan minat generasi muda terhadap seni warisan ini diharap dapat memastikan khazanah sastera Melayu terus subur, segar dan dekat dengan jiwa masyarakat.
Disediakan oleh:
Rozihani Mohamad
Ketua Unit
Unit Pengurusan Dokumentasi dan Penerbitan Kreatif