Oleh :
EB Nur Syahirah Mat Yusof
Kelab Penerbitan Kreatif
Pusat Kebudayaan USIM

TANJUNG MALIM, 7 MAC 2020: “Rezeki menyebelahi kami.” Itulah ungkapan saudara Mohamad Ikhwan Nur Hakim Mohd Isa ketua kumpulan Vokal Ensemble Q-Vou USIM merasa terharu dengan keputusan juri memilih mereka sebagai pemenang tempat ketiga pertandingan Nyanyian Acapella Peringkat Antarabangsa Institusi Pendidikan Tinggi yang diadakan di Dewan SITC, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Kumpulan Q-Vou, Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah memperoleh tempat ketiga bagi kategori mahasiswa tempatan dan mahasiswa antarabangsa. Mereka membawa pulang hadiah berupa wang tunai sejumlah RM500 dan piala iringan bagi setiap kategori.

Persembahan yang bersemangat daripada Mahasiswa Antarabangsa USIM

Menurut saudara Abdul Latif Fikry, salah seorang peserta mahasiswa antarabangsa USIM menggangap bahawa kejayaan yang diperoleh adalah tuah bagi kumpulan mereka yang terdiri daripada tiga orang dari negara Indonesia dan seorang lagi Singapura kerana ini adalah penyertaan yang pertama kali mereka disertai. Bagi kategori mahasiswa tempatan, Kumpulan Q-Vou USIM mempersembahkan lagu Bagaikan Sakti dan medley lagu Serikandi Cintaku dan Gerhana. Manakala mahasiswa antarabangsa pula mempersembahkan lagu berjudul Hero dan medley tiga lagu Inggeris sebagai lagu kedua pilihan mereka.

Pertandingan Nyanyian Acapella menyaksikan tujuh kumpulan mahasiswa tempatan terdiri daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Sains Islam Malysia (USIM). Manakala penyertaan antarabangsa diwakili oleh Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Ismail Ahmed berkata, “pertandingan ini membuka lembaran baharu kepada mahasiswa antarabangsa untuk mencungkil bakat mereka dalam seni suara. Bagi tim vokal ensemble tempatan pula ini adalah platform terbaik untuk menguji kekuatan vokal dan lagu yang dipilih harus bersesuaian nada suara setiap penyanyi.”

Kumpulan Q-Vou dibimbing sepenuhnya oleh Ikon Seni USIM Shukri Sahari yang juga merupakan Tenaga Pengajar Seni Budaya USIM. Kemenangan ini merupakan pencetus semangat untuk berusaha dengan lebih tekun bagi mengekalkan momentum agar bakat yang dimiliki oleh mereka terus digilap. Malah Shukri menyifatkan bahawa USIM memiliki kekuatan dari segi gubahan lagu dan kekemasan penyampaian persembahan.

Menurut pihak penganjur, pertandingan nyanyian ini diadakan bertujuan untuk mempamerkan bakat mahasiswa dalam bidang seni suara dengan menggunakan teknik vokal yang telah dipelajari. Melalui pertandingan ini, para peserta dikehendaki menyampaikan lagu-lagu ciptaan artis lagenda tanah air Dato’ M. Nasir yang dipersembahkan dalam bentuk lagu penuh dan medley atau mash up.

Johan bagi kategori mahasiswa tempatan diungguli oleh UPSI dan naib johan dimenangi oleh UPM. Bagi kategori mahasiswa antarabangsa pula dimenangi oleh UUM manakala UPSI memperoleh naib johan. Majlis penyampaian kepada pemenang disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal dan Alumni) Prof. Dr. Md. Amin Md Taff diiringi oleh Nurfaizal Fariz Sahdan, Pengarah Pusat Kebudayaan
UPSI. Pertandingan ini diadili oleh juri berpengalaman luas dalam bidang seni suara tanah air Lilis Syafuza Mohd Yatim, Mohd Edie Nazrin Hamzah dan Nurul Nadiah Awang.