PULAU PINANG, 24 Mei – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sekali lagi meraih beberapa kejayaan membanggakan pada Festival Kebudayaan Universiti-universiti Malaysia (FESTKUM) 2026 yang berlangsung dari 21 hingga 24 Mei di Pulau Pinang.
Antara pencapaian cemerlang USIM ialah kejayaan Abdul Rasmin Sagal Abdul Rahman yang dinobatkan sebagai Naib Johan Sayembara Deklamasi Puisi selain menerima Anugerah Persembahan Terbaik menerusi persembahan yang memukau para juri.
Turut mencatat kejayaan ialah kumpulan Bachelors bersama Mikail Muzakirin Jamsari yang muncul Naib Johan Pertandingan Instrumentasi Muzik Solo, sekali gus membuktikan keupayaan pelajar USIM dalam bidang seni muzik.

Dalam acara lain, Hannah Zafyrah Jamaludin berjaya menduduki tempat keempat bagi Pertandingan Nyanyian Irama Malaysia, manakala Muhammad Syawal Syaf’ii memperoleh tempat keenam dalam Pertandingan Seni Khat yang dipertandingkan secara langsung.

Penganjuran FESTKUM 2026 kali ini mempertandingkan tujuh acara yang menghimpunkan penyertaan universiti awam dari seluruh negara. Empat acara dilaksanakan secara dalam talian, melibatkan Teater Monolog, Instrumentasi Muzik, Tarian Kreatif Malaysia dan Deklamasi Puisi, manakala tiga lagi pertandingan berlangsung secara fizikal sebagai pentas untuk peserta mempamerkan bakat, kreativiti dan kecemerlangan seni masing-masing. Sementara itu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dinobatkan sebagai Johan Keseluruhan FESTKUM 2026 selepas mengungguli kutipan mata keseluruhan pertandingan. Kejayaan ini membuktikan komitmen berterusan USIM dalam memperkasa pembangunan bakat pelajar melalui penglibatan aktif dalam bidang seni dan budaya di peringkat nasional.
Disediakan oleh:
Rozihani Mohamad
Ketua Unit Dokumentasi dan Penerbitan Kreatif
Pusat Kebudayaan