23 Jun, Melaka – Penyertaan buat kali pertama kumpulan Perkusirama, Kelab Pengurusan Persembahan Seni Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) membuahkan hasil apabila dinobatkan naib johan Pertandingan Kompang Antarabangsa 2024. Program yang diadakan sempena Tahun Melawat Melaka 2024 ini dianjurkan oleh Institut Warisan Melaka (INSWA) dengan kerjasama Melaka World Heritage Sdn. Bhd. Kumpulan Perkusirama yang dianggotai 13 orang terdiri daripada pelbagai fakulti memulakan latihan secara berperingkat pada bulan Mei dan secara berterusan hingga bulan Jun.
Menurut penyelaras Perkusirama, Mursyid Hairudin menyifatkan bahawa semangat yang ditonjolkan oleh ahli kumpulan amat memberangsangkan dan tujuan menyertai pertandingan ini adalah untuk mengembangkan skil dan formasi serta meluaskan jaringan bersama kumpulan kompang di pelbagai peringkat.
Pertandingan Kompang Antarbangsa pada kali ini mempertaruhkan empat kategori iaitu sekolah rendah, menengah, Insitut Pengajian Tinggi (IPT) dan terbuka. Pertandingan ini turut menyaksikan gerakan formasi daripada pelbagai bentuk corak dan nyanyian selawat bagi mengiringi paluan kompang. USIM telah dinobatkan naib johan kategori IPT daripada lima penyertaan.
Menurut salah seorang ahli Perkusirama, mereka bertekad untuk mengukuhkan organisasi kumpulan dengan lebih mantap dengan mempelajari perlbagai teknik corak formasi dan menyertai pertandingan agar setiap ahli dapat menguasai teknik yang lebih padu dalam paluan serta persembahan yang lebih baik pada masa akan datang.
Disediakan oleh:
Rozihani Mohamad
Ketua Unit Pengurusan Dokumentasi dan Penerbitan Kreatif
Pusat Kebudayaan