Oleh: Rozihani Mohamad

Pusat Kebudayaan USIM

 

SINGAPURA,– Bagi mengukuhkan hubungan di antara dua negara serumpun Malaysia dan Singapura, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Persatuan Penyanyi dan Karyawan Muzik Melayu Singapura (PERKAMUS) menganjurkan sebuah program dialog dan pertukaran budaya. Usaha sama ini dilaksanakan melalui program Organization Enhancement Program (O-Pro): Kembara Ilmu Pusat Kebudayaan USIM (Johor–Singapura) 2019. Program O-Pro dirancang setelah mengambil saranan Pengurusan Universiti yang mahukan organisasi dan warga Universiti didedahkan dengan ilmu pengetahuan dan kerjasama di peringkat yang lebih luas terutamanya peringkat antarabangsa bagi membentuk pengurusan kerja berorganisasi yang lebih cekap dan cemerlang khususnya pengurusan seni budaya serantau. Bagi mencapai hasrat ini, Pusat Kebudayaan USIM diketuai oleh Ismail Ahmed, diikuti oleh lapan staf dan Karyawan Seni USIM, Syed Indera Syed Omar (SISO) serta koreografer terkenal tanah air Mahmood Ibrahim. Program dialog dan pertukaran budaya tersebut membuka ruang perkongsian berkaitan perkembangan karya seni Melayu di Malaysia dan Singapura.

“Seni adalah anugerah daripada Allah S.W.T di mana kurniaan ini harus dikongsi bersama masyarakat. Insan seni perlu memiliki ilmu supaya kerja-kerja seni dapat diuruskan dengan baik. Hasil pengkaryaan muzik Melayu perlu didokumentasikan dengan baik supaya ia terus kekal dan mampu dilihat oleh generasi kelak”.  Ujar Ismail Ahmed. Dalam pada itu juga beliau menzahirkan ucapan penghargaan kepada PERKAMUS di atas jalinan kerjasama ini dan berharap agar dapat diperluaskan pada masa akan datang. Manakala menurut Presiden PERKAMUS Yusnor Ef, kerjasama USIM dan PERKAMUS merupakan gabungan strategik dan satu usaha memelihara khazanah Melayu yang harus dilakukan di setiap peringkat. Karya seni Melayu Singapura dan Malaysia diibaratkan aur dengan tebing kerana generasi pewaris harus tahu dan mengenali tokoh-tokoh yang pernah menyumbang dunia seni kita, ujar beliau dalam ucapan pembukaan sempena program dialog dan pertukaran budaya yang diadakan di Dewan Persatuan Kebangsaan Melayu Singapura (PKMS).

Program ini turut dihadiri oleh penyanyi Singapura yang tidak asing lagi Art Fazil yang turut berkongsi tentang kronologi dunia seni di Singapura dan Malaysia yang telah dilakukan menerusi projek beliau yang bertajuk Ole-ole Temasek. Panel SISO turut menyatakan pandangan beliau tentang genre lagu irama tradisi kini kurang diberi perhatian oleh pihak industri dan menyebabkan karya-karya ini kurang mendapat sambutan di media arus perdana. Beliau menegaskan bahawa perkara ini harus dipandang serius supaya irama ini masih relevan dan terus diberi ruang untuk dipersembahkan. Turut bersama di dalam program ini Mohd Khir Mohd Yassin yang merupakan penggiat seni Singapura yang kini aktif sebagai penyair.

Sesi dialog turut dimeriahkan dengan persembahan gabungan oleh panel terlibat dengan dendangan lagu Penantian yang pernah dipopularkan oleh Allahyarham Zubir Ali. PERKAMUS turut dihadiri oleh Rusedah Tawhid, setiausaha serta enam lagi ahli PERKAMUS. Kerjasama program ini turut dijayakan oleh pengasas Dwan Creations, Mohd Reduan Abu yang menaja tempat program tersebut.