NILAI, 22 Mei – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerusi Pusat Kebudayaan dan Kelab Penerbitan Kreatif dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Majlis Kebudayaan Universiti-universiti Malaysia (MAKUM), Pusat Wakaf dan Zakat USIM, Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dan beberapa rakan strategik terus memperkukuh usaha memartabatkan bahasa Melayu melalui penganjuran Suara Rumpun Puisi Nasional (SERUMPUN): Sayembara Puisi Pentas Dunia (SePENA) 2026 yang memasuki edisi ketiga.
Penganjuran SePENA 2026 bertujuan melestarikan bahasa Melayu dan menyuburkan kecintaan terhadap seni sastera dalam kalangan generasi muda menerusi medium deklamasi puisi. Program ini menghimpunkan penyertaan daripada pelajar tempatan, mahasiswa antarabangsa serta buat julung kalinya memperkenalkan kategori Penjawat Awam khusus bagi penjawat awam yang berkhidmat di Negeri Sembilan.
Edisi kali ini mencatatkan sambutan amat menggalakkan dengan penyertaan sejumlah 20 kumpulan duo bagi kategori Tempatan, 10 peserta kategori Antarabangsa dan empat penyertaan kategori Penjawat Awam. Pengenalan kategori baharu itu mencerminkan usaha memperluaskan penyertaan masyarakat dalam bidang kesusasteraan, sekali gus membuktikan bahawa seni puisi terus mendapat tempat dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat.
Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Profesor Dr. Mushaddad Hasbullah. Dalam ucapannya, beliau berkata SePENA bukan sekadar sebuah pertandingan deklamasi puisi, malah merupakan wadah yang menyatukan jiwa, pemikiran dan peradaban melalui keindahan bahasa.

“SePENA ialah medan yang melahirkan ekspresi kemanusiaan, perjuangan, kasih sayang, keamanan, jati diri dan harapan ke arah dunia yang lebih harmoni. Puisi ialah suara nurani manusia yang mampu menyatukan bangsa, merentas sempadan budaya serta menjadi jambatan kepada kemanusiaan sejagat,” katanya. Beliau turut menegaskan bahawa dalam dunia yang semakin dipengaruhi arus globalisasi dan perkembangan teknologi, bahasa dan sastera perlu terus diperkasakan sebagai asas pembinaan tamadun. Menurut beliau, SePENA menjadi platform penting dalam mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa seni dan bahasa dunia yang kekal relevan di persada antarabangsa.
Sementara itu, mewakili Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai menyifatkan penyertaan mahasiswa antarabangsa sebagai bukti bahawa bahasa Melayu dan puisi Melayu masih mempunyai daya tarikan yang mampu merentas sempadan negara.
Beliau berkata, kesusasteraan kini berperanan sebagai medium diplomasi budaya yang memperkenalkan jati diri bangsa serta memperkukuh hubungan antara masyarakat dunia. Sehubungan itu, penganjuran SePENA selaras dengan aspirasi DBP untuk memperkukuh kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa budaya dan bahasa antarabangsa melalui pendekatan kreatif seperti deklamasi puisi.
Menurut beliau lagi, pertandingan seperti SePENA bukan sahaja mencungkil bakat baharu, malah membina keyakinan diri, daya fikir kritis serta kemahiran pengucapan awam dalam kalangan peserta. Penghayatan puisi juga mampu membentuk kefahaman yang lebih mendalam terhadap nilai bahasa, emosi dan kemanusiaan.
Beliau berharap SePENA akan terus berkembang sebagai platform deklamasi puisi yang berprestij di peringkat nasional dan antarabangsa, sekali gus melahirkan generasi pewaris yang mampu mengangkat bahasa serta budaya Melayu ke persada dunia.
Pada majlis yang sama, USIM turut mengumumkan pelantikan Sasterawan Negara ke-15, YBhg. Datuk Rahman Shaari sebagai Ikon SePENA USIM. Pelantikan tersebut merupakan satu penghargaan terhadap jasa dan komitmen beliau yang tidak pernah luntur dalam memperkasakan bahasa Melayu, kesusasteraan dan budaya di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.

Dalam pada itu, keputusan SePENA 2026 menyaksikan persaingan sengit dalam ketiga-tiga kategori yang dipertandingkan. Bagi Kategori Tempatan, gandingan Ammar Wazif Mahmud dan Nik Fateeha Syuhada Imran dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) muncul sebagai Johan, diikuti pasangan Ahmad Afif Hakimi Abdul Mukim dan Amuddin Saifudin Zulqurnain dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) sebagai Naib Johan, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Nik Faruqi Naim Mohd Fauzi dan Naurah Mursyidah Naili Nasir dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Bagi Kategori Antarabangsa, Chelsea Milagrosa Cilda Pires Guterres dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) dinobatkan sebagai Johan, diikuti Hanifah Amalia Zahra dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sebagai Naib Johan, manakala Aisyah Hanin Nursiwi dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) meraih tempat ketiga.
Sementara itu, kategori yang julung kali diperkenalkan, iaitu Kategori Penjawat Awam, menyaksikan Asnizan Binti Muksin dari Pejabat Daerah dan Tanah Rembau muncul sebagai Johan, diikuti Muhamad Shah Amirul Moktar dari agensi yang sama sebagai Naib Johan. Tempat ketiga dimenangi oleh Ainnatun Nadrah Mansor daripada USIM dan turut memenangi Anugerah Sembah Kreatif. Selain itu, penganjur turut menyampaikan Anugerah Busana Terbaik dan Anugerah Sembah Kreatif bagi setiap kategori sebagai pengiktirafan terhadap kreativiti persembahan dan penghayatan puisi peserta. Kesemua pemenang membawa pulang wang tunai, trofi, sijil penyertaan dan hadiah iringan sebagai pengiktirafan terhadap bakat serta penghayatan mereka dalam seni deklamasi puisi sumbangan penaja.
Penganjuran SePENA 2026 membuktikan komitmen USIM dalam memperkasakan ekosistem seni, budaya dan kesusasteraan Melayu sebagai medium pembinaan sahsiah, pengukuhan jati diri serta pemartabatan bahasa Melayu di peringkat nasional dan antarabangsa.
Berikut adalah senarai penuh pemenang SePENA 2026:
Kategori Tempatan
| Anugerah | Institusi / Agensi | Nama | Sajak Pilihan |
|---|---|---|---|
| Johan | Universiti Pendidikan Sultan Idris |
|
Keris Itu Masih Di Tanganmu karya Ahmad Sarju |
| Naib Johan | Universiti Malaysia Sabah (UMS) |
|
Keris Itu Masih Di Tanganmu karya Ahmad Sarju |
| Tempat Ketiga | Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) |
|
Benih Warisan karya M. Perindu Seni |
| Sagu Hati 1 | Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) |
|
Bunga Popi karya Usman Awang |
| Sagu Hati 2 | Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM) |
|
Benih Warisan karya M. Perindu Seni |
| Anugerah Sembah Kreatif | Universiti Putra Malaysia (UPM) |
|
Keris Itu Masih Di Tanganmu karya Ahmad Sarju |
| Anugerah Busana Terbaik | Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) |
|
Bunga Popi karya Usman Awang |
Kategori Antarabangsa
| Anugerah | Institusi/Agensi | Nama | Sajak Pilihan |
|---|---|---|---|
| Johan | Universiti Malaysia Sabah (UMS) | Chelsea Milagrosa Cilda Pires Guterres | Tanah Ini Akan Mencintaiku karya A. Latih Mohidin |
| Naib Johan | Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) | Hanifah Amalia Zahra | Mengejar Cahaya Putih karya M. Haidi M. Kasran |
| Tempat Ketiga | Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM) | Aisyah Hanin Nursiwi | Suara Muhajidin karya Suhaimi Hj. Muhammad |
| Sagu Hati 1 | Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM) | Rahma Nadia Shafira | Damai karya Usman Awang |
| Sagu Hati 2 | Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) | Hanan Al-Meqdad | Puisi Kebebasan karya Rahman Shaari |
| Anugerah Sembah Kreatif | Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) | Omar Abdulsamad Mohammed Muthanna | Suara Mujahidin karya Suhaimi Hj. Muhammad |
| Anugerah Busana Terbaik | Universiti Sains Malaysia (UMS) | Chen Ying Han | Damai karya Usman Awang |
Kategori Penjawat Awam
| Anugerah | Institusi/Agensi | Nama | Sajak Pilihan |
|---|---|---|---|
| Johan | Pejabat Daerah dan Tanah Rembau | Asnizan binti Muksin | Bercakap Dengan Tuhan di Belantara Kegelapan karya Aloyindra |
| Naib Johan | Pejabat Daerah dan Tanah Rembau | Muhamad Shah Amirul bin Moktar | Bercakap Dengan Tuhan di Belantara Kegelapan karya Aloyindra |
| Tempat Ketiga | Pusat Penerbitan USIM | Ainnatun Nadrah binti Mansor | Bercakap Dengan Tuhan di Belantara Kegelapan karya Aloyindra |
| Sagu Hati | Jabatan Undang-undang USIM | Nur Zahidah binti Zulkefli | Sejarah Sebuah Maruah karya Abdul Hadi Yusoff |
| Anugerah Sembah Kreatif | Pusat Penerbitan USIM | Ainnatun Nadrah binti Mansor | Bercakap Dengan Tuhan di Belantara Kegelapan karya Aloyindra |
| Anugerah Busana Terbaik | Jabatan Undang-undang USIM | Nur Zahidah binti Zulkefli | Sejarah Sebuah Maruah karya Abdul Hadi Yusoff |
Disediakan oleh:
Rozihani Mohamad
Ketua Unit Dokumentasi dan Penerbitan Kreatif
Pusat Kebudayaan
*Gambar ihsan: Pusat Komunikasi Strategik USIM (Stracomm USIM)