KUALA TERENGGANU, 25 Ogos – Kumpulan nasyid Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Intracksee melakar kejayaan membanggakan apabila berjaya merangkul gelaran Naib Johan kategori nasyid sempena pertandingan Mega Ummah Influencer (MU’MIN) IPT 2026. Pertandingan berprestij anjuran Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) ini telah berlangsung meriah bermula 21 hingga 25 Ogos 2026 bertempat di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Kampus Gong Badak.

Kejayaan manis ini terasa amat bermakna buat Intracksee apabila persiapan serta latihan intensif bagi menghadapi saingan sengit IPT seluruh negara itu berjaya diselesaikan dalam tempoh yang cukup singkat, iaitu kurang daripada seminggu. Memanfaatkan tempoh cuti semester, barisan ahli kumpulan menunjukkan disiplin dan fokus yang tinggi bagi memperkemaskan keserasian serta susunan vokal tanpa menjejaskan kualiti persembahan di pentas akhir.

Mengulas mengenai kejayaan tersebut, ketua kumpulan Intracksee, saudara Muhammad Mifzal Muhammad Faruk meluahkan rasa syukur dan gembira atas pengorbanan seluruh ahli kumpulan yang akhirnya membuahkan hasil. Beliau turut menzahirkan bahawa kejayaan tersebut merupakan satu penghargaan bermakna terhadap komitmen ahli kumpulan berserta sokongan padu yang sentiasa diberikan oleh Pusat Kebudayaan. Ujarnya lagi, “pencapaian ini bakal menjadi pembakar semangat untuk Intracksee terus melangkah lebih jauh dan sentiasa memperbaiki kualiti persembahan untuk menghasilkan karya segar yang dekat dengan masyarakat. Intracksee bercita-cita untuk terus membawa nama USIM ke peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.” Beliau turut menambah bahawa seluruh ahli kelabnya menyokong aspirasi universiti sebagai Peneraju Seni Berbudaya di Malaysia. Kejayaan ini diharap dapat menjadi inspirasi kepada seluruh mahasiswa USIM untuk terus aktif menggilap bakat dan memartabatkan seni budaya Islam di platform yang lebih luas.

Johan Mu’Min IPT dimenangi oleh kumpulan daripada Kafi daripada UniSZA dengan memenangi hadiah wang tunai sejumlah RM1,400.00, manakala Naib Johan Intracksee RM1,200.00. Kumpulan nasyid Arya Revolusi daripada Universiti Islam Selangor (UIS) memperoleh Tempat Ketiga dengan memenangi wang tunai sejumlah RM700.00. Masing-masing turut memperoleh piala iringan dan sijil penghargaan. Penyampaian hadiah kepada pemenang telah disempurnakan oleh Pengarah Pusat Kesenian dan Warisan, Encik Shahzool Hazimin Azizam.

Kejayaan Intracksee di pentas MU’MIN IPT sekali gus membuktikan bahawa penglibatan mahasiswa dalam bidang seni dan dakwah bukan sahaja mampu memperkasa bakat serta kreativiti, malah menjadi platform untuk mengangkat nama USIM. Malah ianya juga sebahagian mempromosikan universiti sebagai medan pilihan mahasiswa mengembang bakat dan mencipta nama di pelbagai peringkat.

Disediakan oleh:
Muhammad Zamratur Rahman Yussri
Pengerusi Kelab Penerbitan Kreatif
Pusat Kebudayaan