Seremban, 15 Ogos – Kumpulan muzik moden The Bachelors Kelab Pengurusan dan Persembahan Seni Pusat Kebudayaan daripada Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) membuktikan keunggulan mereka apabila dinobatkan sebagai juara dalam pertandingan Battle of The Band Kepenggunaan Peringkat Negeri Sembilan, sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM3,000.00.

Kemenangan bermakna tersebut secara tidak langsung melayakkan The Bachelors USIM menggalas mandat penting untuk mewakili Negeri Sembilan ke pertandingan peringkat kebangsaan yang dijadualkan berlangsung di Pulau Pinang pada bulan September tidak lama lagi.
Saingan sengit sepanjang pertandingan menyaksikan TVETMARA (Kolej Kemahiran Tinggi MARA) Rembau menduduki tempat kedua. Kehangatan saingan turut terserlah melalui Pertandingan Sorakan Perang (War Cry) yang menyaksikan kehebatan serta persembahan bertenaga daripada USIM yang turut membolot tempat pertama dengan membawa gelaran juara keseluruhan, manakala TVETMARA Rembau sekali lagi mengukuhkan kedudukan di tempat kedua.
Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Encik Mohd Salehudin Sukor berkata, pencapaian pelajar USIM pada hari ini adalah hasil usaha dan pengorbanan mereka semasa cuti semester serta sikap tidak pernah mengenal erti putus asa dan lelah demi mengharumkan nama universiti.
Sementara itu, ahli kumpulan The Bachelors saudara Muhammad Mifzal bin Muhammad Faruq menyifatkan kemenangan tersebut sebagai pembakar semangat untuk mereka meningkatkan latihan intensif serta memperbaiki segala kelemahan sebagai persediaan menghadapi persaingan di peringkat kebangsaan kelak.

Majlis penutupan dan penyampaian hadiah pertandingan telah disempurnakan oleh Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan, Encik Muhammad Zahir Mazlan.
Kejayaan berkembar ini memperlihatkan keupayaan serta semangat juang tinggi pelajar USIM sekali gus menyuntik semangat juang tinggi buat kumpulan The Bachelors untuk terus memburu kejuaraan dan mengharumkan nama Negeri Sembilan di pentas kebangsaan nanti.
Disediakan oleh:
Muhammad Zamratur Rahman Yussri
Pengerusi Kelab Penerbitan Kreatif
Pusat Kebudayaan