Nilai, 26 Mei 2024: Mengangkat tema kemanusiaan ‘Suara dunia, menyatu benua’, Kelab Penerbitan Kreatif dan Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) serta Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) meneruskan usaha mengangkat suara kemanusiaan melalui bidang sastera Melayu khususnya puisi ke peringkat antarabangsa dengan penganjuran Sayembara Puisi Pentas Dunia (SePENA) 2024.

Penganjuran SePENA dilihat mampu meningkatkan pengetahuan serta kesedaran tinggi terhadap isu kemanusiaan yang menjadi tumpuan dunia merangkumi perihal kemiskinan, keamanan, kebebasan, pendidikan yang berlaku di dalam negara mahupun di luar negara bertepatan dengan tonggak yang dibawa dalam Malaysia Madani antaranya ialah mewujudkan nilai ihsan yang tinggi dalam kalangan Masyarakat.

Penganjuran yang julung kali diadakan ini menanam hasrat meningkatkan kefahaman serta minat kepada generasi muda dan masyarakat terhadap keunikan sastera puisi Melayu di Malaysia. Selain itu sebagai usaha melestarikan bahasa Melayu sebagai Lingua Franca di pelbagai peringkat generasi yang menjadi penghubung komunikasi di seluruh dunia. Pentas SePENA turut mengetengahkan bakat mahasiswa dalam pengucapan awam khususnya deklamasi puisi sebagai lonjakan melahirkan mahasiswa holistik dan berketerampilan melalui bidang seni budaya.

“Tema yang diangkat dalam SePENA ini memberi arah berfikir bagaimana turut sama menyelesaikan masalah dunia walaupun kita sebuah negara yang kecil tapi masih mampu memberi sumbangan ke arah membangunkan minda penduduk dunia. Dalam menuju perkembangan tamadun yang akan datang sajak-sajak tentang kemanusiaan perlu diperkembangkan bagi membentuk sahsiah dalam diri kita,” Sasterawan Negara, Dato’ Rahman Shaari ketika berucap semasa menyempurnakan majlis perasmian penutupan SePENA 2024. Beliau turut menzahirkan rasa bangga di atas penganjuran SePENA 2024 kerana penganjuran program seumpama ini dilihat sebagai platform terbaik untuk melibatkan pelajar luar negara agar dapat mendalami dan menghayati karya sastera Melayu dan berharap agar puisi-puisi bahasa Melayu mendapat tempat dan terus berkumandang di negara lain seluruh dunia.

SePENA mencatatkan sejumlah 25 penyertaan dari universiti awam dan swasta dengan 20 orang peserta mewakili kategori pelajar tempatan dan lima (5) orang mewakili kategori pelajar antarabangsa.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah SePENA Siti Hawa Syafari Isahak berkata, “besar harapan kami untuk melihat puisi ini menjadi satu medium mengetengahkan bakat generasi penerus seni sastera Melayu zaman moden ini sekali gus menyuntik semangat dan rasa cinta terhadap keindahan bahasa ibunda kita bahasa Melayu,” ujar beliau ketika berucap di majlis perasmian penutupan SePENA.

Peserta daripada Universiti Malaysia Sabah, Carla Goncalves De Oliveira Sarmento dinobatkan sebagai johan SePENA bagi kategori antarabangsa, peserta berasal daripada negara Uzbekistan Akrmoava Sarvinoz Abduvohid Kizi yang sedang menuntut di Universiti Pendidikan Sultan Idris mendapat naib johan dan tempat ketiga Yaseer Hassan Sayid Ahmed daripada Universiti Sains Islam Malaysia.

Sementara itu bagi kategori tempatan pula, johan dinobatkan kepada Nor Hafuza Muhammad Arif daripada Universiti Malaya, Elvienie Petrus daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris, Naib Johan manakala tempat ketiga dinobatkan kepada Aiman Afiq Ismail juga mewakili Universiti Pendidikan Sultan Idris. Selain itu, penyampaian hadiah turut disampaikan kepada pemenang sagu hati kategori tempatan iaitu Nor Hakira Muhammad Arif dan Muhammad Shohaimil Haffiz Salleh. Bagi kategori antarabangsa pula Kuzi Boeva Yulduz Murodjon Kizi dan Umar Ma’an Fahmi Alkhatib. Kesemua pemenang menerima hadiah wang tunai, piala iringan dan naskhah buku sumbangan daripada rakan kerjasama ITBM dan PENA.

Peringkat saringan dan akhir SePENA yang berlangsung di Dewan Kuliah Utama, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah USIM telah mendapat sambutan menggalakkan dari pelbagai pihak dengan dihadiri hampir 200 audiens. Peringkat akhir SePENA turut disiarkan secara langsung menerusi facebook rasmi Pusat Kebudayaan USIM.

Disediakan oleh:
Najmi Adli Mustaffa
Pengerusi Kelab Penerbitan Kreatif

Dikemas kini oleh:
Rozihani Mohamad
Ketua
Unit Pengurusan Dokunentasi dan Penerbitan Kreatif
Pusat Kebudayaan USIM