Nilai, 30 September – “Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu.” Begitulah situasi yang digambarkan oleh ketua kontinjen perbarisan, Mohamad Akmal Razali apabila Pusat Kebudayaan USIM meraih Anugerah Khas Juri dalam pertandingan perarakan bersempena dengan Majlis Penutupan Bulan Kemerdekaan peringkat USIM.

“Pada mulanya, jabatan kami tidak meletakkan sebarang sasaran untuk mendapat tempat dalam acara perarakan namun berazam memberikan persembahan yang terbaik, kerana pertama kali terlibat dengan perarakan ini, anugerah yang diterima ini merupakan rezeki yang memang tidak dijangka.” tambahnya.

Menurut Akmal Razali, kontinjen mereka hanya mengambil masa tiga hari untuk berlatih sebagai persiapan pertandingan. Menggelarkan nama kumpulan sebagai Laskar Budaya, persembahan paluan kompang, nyanyian koir, puisi dan pencak silat sebagai simbolik pejuang Melayu.

Sejumlah 12 kontinjen daripada pelbagai jabatan USIM telah menyertai pertandingan perarakan ini. Dengan memperagakan pelbagai gaya busana tradisional dan kostum serta aksesori yang melambangkan Keluarga Malaysia. Lebih meriah apabila terdapat kumpulan yang menggunakan kenderaan lori yang dihiasi dengan Jalur Gemilang dengan mengambil semangat kenderaan kereta berhias yang sering dilihat semasa perarakan  kemerdekaan.

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Ismail Ahmed menyifatkan penglibatan jabatan dalam penganjuran program ini menunjukkan kebersamaan kita dan mampu ditingkatkan dalam apa jua medium.   Kontinjen Pusat Kebudayaan USIM terdiri daripada 20 orang ahli termasuk staf dan pelajar Kelab Seni Budaya.

Sementara itu, Muhamad Faiz Shaiful, peserta perarakan yang juga ahli Kelab Seni Budaya USIM menzahirkan rasa gembira dan teruja sepanjang penglibatannya sebagai ahli kontigen. Bagi Faiz, penggabungan antara staf dan pelajar memperlihatkan kerjasama dan semangat bersatu padu. “Ini adalah kali pertama saya menyertai perarakan setelah beberapa tahun saya tidak dapat sertai, jadi saya berasa sangat gembira semasa membuat persiapan bersama rakan dan staf. Semestinya detik yang saya tidak akan dilupakan sampai bila-bila,” katanya.

Acara rasmi majlis penutup dimulakan dengan aluan oleh Naib Canselor USIM, Profesor Ts. Dr. Sharifudin bin Md Shaarani. Menerusi ucapannya beliau menzahirkan tahniah dan penghargaan kepada semua pihak atas komitmen menjayakan sambutan Bulan Kebangsaan USIM yang bermula 22 Ogos lalu. Majlis penutup dan penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti USIM, YB Senator Dato’ Seri Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Fasilti USIM telah dinobatkan sebagai johan dalam pertandingan perarakan ini manakala Kolej Genius Insan mendapat naib johan. Tempat ketiga pula diraih oleh Fakulti Ekonomi dan Muamalat.

Antara pertandingan dan aktiviti yang telah dianjurkan sepanjang bulan tersebut termasuklah pertandingan swafoto, Festival Koir Kemerdekaan Piala Pendaftar dan bicara eksklusif kemerdekaan.

Majlis diakhiri dengan bacaan ikrar Rukun Negara serta nyanyian lagu Jalur Gemilang dan Keluarga Malaysia oleh semua yang hadir.

Disediakan oleh:
EB Wardhatul Miqqias  Apandi
Kelab Penerbitan Kreatif
Pusat Kebudayaan USIM