MELAKA- Komited dengan kualiti setiap produk seni yang dihasilkan, Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengambil inisiatif mengadakan Bengkel Semakan Modul Seni Budaya 2016 pada 25-27 Julai baru-baru ini.

Dianjurkan selama tiga hari dua malam, bengkel ini dilihat menjadi keberlangsungan daripada modul sedia ada di samping menyediakan  platform kepada semua pengajar seni budaya yang dilantik untuk menyemak kembali modul terdahulu. Ini penting agar pemurnian modul sedia ada lebih relevan sekaligus berupaya menjadi modul bimbingan contoh yang berkesan dalam menepati aspirasi pihak pengurusan universiti juga Negara.

Membabitkan 15 kumpulan kesenian, penganjuran bengkel berselaras dengan objektif Pusat Kebudayaan yang turut memandang tinggi  mengenai kepentingan membentuk pembinaan imej yang berkarisma dan berkeyakinan dalam kalangan mahasiswa sebagai persediaan memasarkan diri dalam dunia kerjaya kelak.

Sinonim dalam usaha mengangkasa seni berbudaya yang patuh syariah, satu slot istimewa bersama Prof. Madya Dr. Irwan Mohd Subri, Pengarah Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Kebangsaan (INFAD) yang juga Penasihat Produk Seni USIM melalui perkongsian mengenai Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli dalam persembahan Seni Budaya turut ditampilkan. Slot ini memberi ruang sesi soal jawab bersama peserta berkaitan sebarang kekeliruan mengenai isu seni dan budaya.

Terdahulu, bengkel yang diadakan bertempat Shah’s Beach Resort ini turut melibatkan kerjasama karyawan Seni Penulisan USIM, Syed Indera Syed Omar atau dikenali sebagai SISO, Hazalina Ghazaly, Pegawai Kebudayaan Kanan UKM selain Ismail Ahmed, Pengarah Pusat Kebudayaan USIM sendiri yang bertindak sebagai mentor sepanjang sesi pemurnian modul dan pembentangan berlangsung.

Majlis Perasmian Penutup telah disempurnakan oleh Prof. Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM.

15 kumpulan kesenian USIM terdiri daripada Caklempong, Tarian, Dikir Barat, Seni Khat, Seni Lukis, Koir, Nasyid, Muzik Moden, Teater, Perkusi, Ejen Berita, Multimedia dan Taranum. Kesemua kumpulan ini bernaung di bawah Urus Setia Kesenian Pelajar, Pusat Kebudayaan.

Disediakan oleh:

EB Wanza Mohamad

Pusat Kebudayaan USIM