Oleh :
EB Muhd Faiz Mohd Shaiful
Kelab Penerbitan Kreatif
Pusat Kebudayaan USIM

KUALA LUMPUR, 4 MAC 2020: Kompleks Kraf Kuala Lumpur dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia mengadakan Hari Kraf Kebangsaan 2020 pada 26 Februari hingga 9 Mac 2020. Pengunjung pasti akan dapat melihat dengan lebih dekat keunikan dan jenis kraftangan yang dihasilkan lebih 500 penggiat dan usahawan kraftangan dari seluruh Malaysia.

Seramai 32 termasuk mahasiswa terdiri dari Kelab Seni Budaya dan staf Pusat Kebudayaan USIM mengikuti lawatan ke Hari Kraf Kebangsaan 2020 bertujuan untuk mendapatkan direktori pengusaha dan usahawan barangan kraf tanah air. Terdapat banyak jenis kraf tangan yang pastinya menarik perhatian sepanjang melawat kompleks kraf tersebut. Pengunjung pastinya teruja melihat keris, batik, songket, rantai kunci dan reka bentuk kreatif produk kraf tersebut di mana mereka berpeluang untuk mengetahui dan mengenali jenis-jenis kraf yang diperbuat daripada bahan bervariasi seperti hasil rimba seperti kayu, rotan, bahan kitar semula, piuter, sutera dan sebagainya. Terdapat juga kraftangan yang amat jarang ditemui dan tidak diketahui akan keistimewaannya oleh generasi kini.

Menurut saudara Mustaqim Mustafa, ahli Kelab Seni Budaya USIM “peluang ke HKK 2020 ini begitu mengujakan kami kerana berpeluang bertemu dengan pengusaha kraftangan tradisional yang telah mengalami inovasi berdasarkan seni tangan mereka yang halus dan berseni”.

Salah satu aktiviti yang berjaya menarik perhatian warga pengunjung ialah mewarna batik. Menurut pengusaha Zam Batik Cherating Mohd Fakrul Nizam Mohd Tarmizi, beliau sendiri tidak menjangka bahawa hampir kesemua pengunjung mengunjungi gerai beliau semata-mata ingin merasai pengalaman mewarna batik. Dengan hanya RM15 sahaja, pengunjung boleh mencuba mewarna batik tersebut dengan pelbagai jenis pewarna batik yang disediakan secara percuma. Bukan itu sahaja, pengunjung berpeluang membeli atau memborong kesemua jenis kraf yang dijual dengan harga yang sangat berpatutan dan mampu milik.

HKK 2020 telah disempurnakan perasmiannya oleh Dato’ Dr. Noor Zari Hamat, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya pada 27 Februari yang lalu. Bertemakan slogan “Kraf Memperkasa Sosioekonomi Rakyat”, ia merupakan satu penghargaan yang tidak ternilai maknanya oleh kesemua usahawan kraf tangan di Malaysia atas jasa dan bakti mereka untuk memajukan dan juga mempromosikan segala hasil dan titik peluh mereka di persada antarabangsa.

Pengunjung HKK 2020 disarankan untuk memuat naik suapan dan cerita di setiap akaun media sosial dengan “#KRAFmalaysia”.