SEREMBAN, 4 Ogos: Anak kelahiran Jempol, Najmi Adli Mustafa dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Deklamasi Sajak Peringkat Negeri Sembilan. Pertandingan sajak anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Sembilan itu diadakan bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan yang diadakan bermula pada 4 hingga 7 Ogos bertempat di Pasar Raya Mydin, Seremban 2.

Najmi menganggap kemenangannya kali ini merupakan ‘kejutan’ buatnya kerana hampir kesemua peserta menampilkan persembahan yang baik. Beliau yang merupakan penuntut tahun satu jurusan Komunikasi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berkata “penyertaan pertandingan sajak di peringkat daerah yang diadakan pada bulan Julai lalu adalah penyertaannya pada saat akhir kerana masih dalam tempoh peperiksaan semester’. Najmi tidak menyangka bahawa penyertaan tersebut  membawa tuah  sekali  gus  meraih Johan dan mewakili daerah Jempol ke peringkat Negeri Sembilan.

Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Ismail Ahmed menyifatkan bahawa penyertaan mahasiswa USIM ke pertandingan ini sebagai satu lonjakan semangat untuk mereka terus aktif dalam penganjuran program dalam dan luar Universiti di samping proses mengembangkan bakat mereka”.

Pertandingan Deklamasi Sajak Peringkat Negeri Sembilan menyaksikan 13 peserta mewakili tujuh daerah Negeri Sembilan dengan penyertaanb 6 dari kategori dewasa dan 7 dari kategori remaja. Naib Johan kategori dewasa dimenangi oleh Zolhairi Abdullah dan tempat ketiga Helmi Alias. Kategori remaja Putera Muhaymin Hamizan sebagai johan, tempat kedua Nurul Izzah Kamsidi dan tempat ketiga Tengku Arif Sulaiman Tengku Adli. Penyampaian hadiah kepada pemenang telah disampaikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Seri Haji Aminuddin Harun pada Pertandingan Akhir Koir Antara Jabatan Negeri Sembilan di Allson Klana Resort, Seremban.  Pada majlis yang sama, Najmi turut mendeklamasikan sajak Aduhai Negaraku Permai karya Abdul Hadi Yusof.

 

Disediakan oleh:

Rozihani Mohamad

Ketua Unit Dokumentasi dan Penerbitan Kreatif

Pusat Kebudayaan USIM