Nilai, 16 Disember – Bagaikan ‘sirih pulang ke gagang’, ungkapan yang sesuai yang diberikan dengan penganjuran Karnival Mega Alumni, anjuran Pusat Alumni dan Kerjaya bertempat di Kompleks Sukan Tunku Najihah Universiti Sains Islam Malaysia. Diadakan bersempena mengeratkan ukhuwah dan pengurusan USIM, himpunan ini dilaksanakan untuk meningkatkan rasa kebersamaan dan kembali berbakti menyumbang pemikiran demi kelestarian pembangunan USIM. Hadir merasmikan Karnival Mega Alumni Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Ts Dr. Sharifudin Md Shaarani.

Dalam ucapannya Sharifudin berkata, “alumni USIM merupakan antara individu penting yang boleh membantu menyumbang kepada pembangunan universiti melalui perkongsian kepakaran dalam bidang kerjaya masing-masing dan program sebegini merupakan antara pendekatan terbaik dalam mengukuhkan jaringan antara pihak alumni dan universiti.”

Sementara itu Mohd Hariri Mohamad Daud, alumni USIM yang dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah USIM (Wakil Alumni) berkata, “kami berasa bangga dan gembira sekali menjadi alumni USIM dan kampus barakah ini telah mengubah, membuka peluang daripada keluarga B40 keluar kepada M40 dengan jaminan kerjaya yang baik,” katanya ketika berucap sebagai wakil alumni pada majlis perasmian Karnival Mega Alumni, USIM. Beliau turut berkata alumni adalah agen utama untuk mengubah landskap intelektual universiti, kerana masyarakat akan menilai dan melihat  hasil yang akan menyumbang kepada pembangunan sejagat.

Menurut Pengarah Pusat Alumni dan Kerjaya USIM, Mazlan Nawang merangkap jawatankuasa penganjur utama  pengisian Program Karnival Mega Alumni USIM 2023 berkata, “ Himpunan Mega Alumni juga sebagai usaha bagi menyokong agenda universiti untuk mengukuhkan hubungan, membina rangkaian antara pihak universiti bersama alumni yang sememangnya mempunyai bidang kerjaya yang diiktiraf serta mempunyai potensi besar menyumbang terhadap pembangunan universiti.”

Mazlan menyatakan bahawa ini adalah langkah pemula bagi mengumpulkan semula alumni USIM, jejak alumni dengan program berkala misalnya melalui himpunan alumni mengikut zon agar dapat memastikan hubungan antara alumni dan universiti sendiri akan kekal terjalin.

Karnival yang berlangsung selama sehari bermula jam 8.00 pagi hingga 10.30 malam ini dipenuhi dengan pelbagai aktiviti menarik antaranya Alumni Fun Sport, Karnival Jualan, Pemeriksaan Kesihatan, Program Kerohanian, Makan malam Pemeriksaan Kesihatan dan banyak lagi.

Lebih menarik, anak-anak turut didedahkan dengan aktiviti dari ahli Kelab Seni Budaya USIM, Pusat Kebudayaan USIM melalui aktiviti pemindahan ilmu berkaitan seni dengan mempelajari teknik mendeklamasi puisi, menggunakan alat muzik perkusi dan caklempong dan persembahan nasyid.

Kemuncak Karnival Mega Alumni dimeriahkan dengan Majlis Makan Malam Akrab dan persembahan kebudayaan daripada alumni nasyid Intracksee serta anak-anak alumni antaranya pantun, puisi dan nasyid berkumpulan.

Danish, 12 tahun salah seorang anak kepada alumni USIM berkongsi keterujaan dapat belajar bersama ahli kelab seni budaya tentang ilmu deklamasi puisi, malah lebih menggembirakan berpeluang mempersembahkan sendiri puisi yang dipelajari pada majlis makan malam alumni.

Karnival ini dimeriahkan dengan pengllibatan alumni serta ahli keluarga dengan jumlah kehadiran mencecah 600 orang.

Bagi acara kanak-kanak, turut disediakan acara mewarna, demo memanah tradisonal, Edu Kids Tour dan motivasi dan sukaneka kanak-kanak. Pelbagai acara dihidangkan untuk menyantuni alumni yang hadir menjayakan program ini.

Selain itu, penyampaian hadiah dan cabutan bertuah untuk meraikan kehadiran alumni dari lokasi yang dekat dan jauh. Majlis berakhir dengan sesi fotografi bersama Naib Cancelor USIM, Pegawai Tertinggi USIM, Alumni USIM serta tetamu jemputan yang hadir.

Turut bersama menganjurkan Karnival Mega Alumni ialah beberapa Pusat Tanggungjawab (PTj), USIM antaranya Pusat Hal Ehwal Pelajar, Pusat Kesihatan Universiti, Pusat Kebudayaan, Pusat Keusahawanan Universiti, Pusat Islam, Persatuan Alumni, Pusat Sukan, Pusat Perumahan Pelajar dan Perpustakaan USIM.

 

Disediakan oleh:
Najmi Adli Mustaffa
Pengerusi
Kelab Penerbitan Kreatif

Gambar ihsan:
Pusat Komunikasi Strategik USIM