KUALA PILAH, 26 September – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerusi Kelab Multimedia dan Keusahawanan Seni, dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan Persatuan Mahasiswa Anak Negeri Sembilan (PERMANIS), serta sokongan utama Pusat Wakaf dan Zakat USIM dan Yayasan Negeri Sembilan, menganjurkan program Lensa Antara ASEAN (LENTERA) 2026.
Buat julung kalinya, LENTERA dianjurkan sebagai pertandingan fotografi bertaraf antarabangsa yang melibatkan penyertaan institusi pengajian tinggi (IPT) dalam dan luar negara, khususnya dari rantau ASEAN. Program ini bertujuan mempromosikan Malaysia, khususnya Negeri Sembilan sebagai destinasi pelancongan dan kebudayaan serantau, di samping memperkukuh jaringan kerjasama akademik serta hubungan antara universiti, mahasiswa, alumni dan komuniti setempat.
Pemilihan Kuala Pilah sebagai lokasi penganjuran memberikan peluang kepada peserta untuk meneroka keindahan landskap, suasana kehidupan desa serta keunikan budaya dan warisan masyarakat setempat melalui lensa fotografi. Program ini turut menghimpunkan mahasiswa tempatan dan antarabangsa untuk merakam keistimewaan destinasi yang dikunjungi, sekali gus mengasah kreativiti dan kemahiran fotografi mereka.

Menurut Pengarah Lentera, Luqman Nur Hakim Abdul Halim, Lentera adalah buah tangan pertamanya dalam bidang fotografi dan sungguh pun menghadapi cabaran dalam menguruskan program ini, namun akhirnya dapat dilaksana dengan baik hasil kerjasama semua jawatankuasa. “Penglibatan dan kerjasama warga kampung bagi menjayakan program ini dilihat sebagai satu penyatuan erat di mana lokasi kampung sebagai paparan visual yang dirakam melalui foto pegun, dengan cara tidak langsung turut mempromosi keindahan negara kita.”
Selain pertandingan fotografi, para peserta turut berpeluang merasai pengalaman bersama keluarga angkat serta menyertai aktiviti tradisional masyarakat setempat, termasuk mengoca dan rewang memasak bersama penduduk kampung. Pengalaman ini bukan sahaja memperkenalkan warisan budaya Negeri Sembilan, malah mengeratkan hubungan silaturahim antara mahasiswa dengan komuniti setempat.

Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang disempurnakan oleh YAM Dato’ Bendahara Setia Maharaja/Setia Maharaja Lela Pahlawan, Abdul Khalid bin Haji Ujang, Penghulu Luak Ulu Muar dengan diiringi YM Dato’ Raja Dimuda Hj. Ahmad Bin Awaluddin, Penghulu Luak Terachi bersama Pengarah Pusat Kebudayaan, Mohd Salehudin Sukor. Berikut adalah senarai nama pemenang Lentera 2026.
Senarai Pemenang LENTERA 2026
Kategori Sampingan
- Gambar Terbaik Pemandangan – Muhammad Ridhwan bin Saat (Politeknik Merlimau Melaka)
- Gambar Terbaik Mengoca – Nur Aisha Aina binti Zulkifli (Universiti Sains Islam Malaysia)
Kategori Antarabangsa
- Johan – Muhammad Fathi Salim (Universiti Sains Islam Malaysia)
- Naib Johan – Natsumi Kono (Universiti Kebangsaan Malaysia)
Kategori Tempatan
- Johan – Nur Hanie Fazira binti Zulkifli (Universiti Teknikal Malaysia Melaka)
- Naib Johan – Muhammad Ridhwan bin Saat (Politeknik Merlimau Melaka)
- Tempat Ketiga – Nur Aisha Aina binti Zulkifli (Universiti Sains Islam Malaysia)
- Saguhati Pertama – Ahmad Zaid Zikri bin Azhar (Universiti Sains Islam Malaysia)
- Saguhati Kedua – Mohamad Haziq bin Hasim (Universiti Sains Islam Malaysia)
- Saguhati Ketiga – Intan Nur Syatirah binti Azudin (Universiti Sains Islam Malaysia)
Disediakan oleh:
Rozihani Mohamad
Ketua Unit Dokumentasi dan Penerbitan Kreatif
Pusat Kebudayaan