KUALA LUMPUR, 24 September 2026 – Kumpulan koir The Voices daripada Kelab Pengurusan dan Persembahan Seni (KPPS), Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berjaya meraih tempat ketiga dalam Pertandingan Koir sempena Malaysia International Craft Fair (MICF) 2026 yang berlangsung di Kompleks Kraf Kuala Lumpur.

Pertandingan anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) itu merupakan penganjuran sulung pertandingan koir terbuka sempena Hari Kraf Kebangsaan. Pertandingan ini menyaksikan 18 kumpulan daripada pelbagai latar belakang yang menyertai, sekali gus memperlihatkan sambutan yang menggalakkan terhadap seni persembahan koir.
Menerusi persembahan medley lagu-lagu popular Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, The Voices USIM berjaya memikat perhatian penonton melalui gabungan vokal, kreativiti persembahan dan penampilan busana yang mengimbau suasana era filem Melayu klasik.
Menurut ketua kumpulan The Voices USIM, Muhamad Haziq Mustaqim bin Zulkifflee, cabaran terbesar yang dihadapi sepanjang persediaan pertandingan ialah pengurusan masa memandangkan sebahagian ahli turut terlibat dalam pertandingan lain yang berlangsung dalam tempoh terdekat.
“Walaupun jadual masing-masing padat, kami tetap berusaha mencari masa untuk berlatih bersama-sama. Kejayaan ini tidak mungkin menjadi kenyataan tanpa didikan, kesabaran dan tunjuk ajar yang tidak berbelah bahagi daripada guru pembimbing kami, serta sokongan berterusan daripada para pegawai yang turut membantu melancarkan sesi latihan.
“Masih banyak yang perlu kami perbaiki, namun kejayaan ini menjadi pembakar semangat untuk kami pergi lebih jauh pada masa hadapan, memandangkan ini adalah kali pertama kami sertai pertandingan,” katanya ketika berkongsi rasa gembira dan terharu selepas The Voices USIM diumumkan sebagai pemenang tempat ketiga.
Keunikan persembahan The Voices USIM turut terserlah melalui pemilihan busana yang diinspirasikan daripada gaya anak muda pada era P. Ramlee. Penampilan ahli wanita dengan busana bercorak polka dot, manakala ahli lelaki menggayakan pakaian yang diinspirasikan daripada filem Bujang Lapok, memberikan sentuhan visual yang bersesuaian dengan konsep persembahan.
Persembahan tersebut menggabungkan empat lagu popular, iaitu Itulah Sayang, Hai, Obat, Pak Belalang dan Bujang Lapuk. Gabungan lagu berkenaan bertujuan mengimbau nostalgia kegemilangan filem Melayu klasik, di samping memperkenalkan semula karya seni muzik tanah air kepada generasi muda.

Susunan muzik medley tersebut digubah secara bersama oleh alumni USIM, Amirul Zahid Amad’noh dan Azizzul Haqim Md Anuwar merupakan salah seorang penggiat aktif dalam penghasilan serta persembahan muzik tradisional tanah air.
Dalam pertandingan tersebut, kumpulan IK Vivace muncul sebagai johan dengan membawa pulang wang tunai RM3,000, manakala DeVox J meraih naib johan dengan hadiah wang tunai RM2,000. The Voices USIM pula memperoleh tempat ketiga berserta wang tunai RM1,000.
Turut menerima hadiah sagu hati ialah DeVokalis UPSI, El Coro Ensemble, Suwara Bayu, Gema Harmony dan USIMIAN Rhapsody, kumpulan koir staf USIM yang mempersembahkan lagu Tinting.

MICF 2026 berlangsung dari 24 September hingga 5 Oktober 2026 di Kompleks Kraf Kuala Lumpur dengan mengangkat tema Crafting Heritage, Inspiring Tomorrow. Penganjuran selama 12 hari itu menampilkan pelbagai pengisian, termasuk sesi padanan perniagaan (B2B), jualan kraftangan, Pameran Ekspresi dan Eksplorasi Kraf, Seminar Kraf Antarabangsa serta persembahan kesenian.
Penganjuran MICF 2026 yang diadakan pada 24 September hingga 5 Oktober turut menjadi platform untuk memelihara dan memperkasa warisan seni kraf negara melalui pendekatan moden, kreatif dan inovatif, di samping memperluas pengiktirafan terhadap produk kraf tempatan di peringkat antarabangsa.
Disediakan oleh:
Rozihani Mohamad
Ketua Unit Dokumentasi dan Penerbitan Kreatif
Pusat Kebudayaan