KUALA LUMPUR, 14 September – Mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Abdul Rasmin Sagal Abdul Rahman, 23, mencipta kejayaan membanggakan apabila dinobatkan sebagai Juara Anugerah Platinum Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Hari Malaysia (SDPAHM) Kali Ke-7 Peringkat Kebangsaan 2026, sekali gus membawa pulang Piala Pusingan Seri Pemuisi Malaysia mewakili Negeri Sembilan.
Pelajar tahun tiga, Fakulti Syariah dan Undang-undang USIM yang juga merupakan ahli Kelab Penerbitan Kreatif, Pusat Kebudayaan USIM (PUSKEB) menewaskan 12 peserta yang mewakili negeri-negeri di seluruh Malaysia turut memboloti dua anugerah lain iaitu Busana Terbaik (Lelaki) dan Persembahan Terbaik.
Kemenangan Rasmin menerusi puisi Bicara Budaya karya Sasterawan Negara, A. Aziz Deraman, tidak hanya bergantung kepada kekuatan deklamasi, sebaliknya diperkukuh dengan pendekatan persembahan yang menggabungkan elemen teater, lakonan, gerak tari, muzik, pencahayaan dan latar visual.
Lebih menarik, Rasmin mengangkat seni Randai Negeri Sembilan sebagai elemen utama persembahannya bagi memperlihatkan kecintaan terhadap warisan budaya negeri beradat tersebut. Gerak Randai yang ditonjolkan bukan sekadar sebagai pelengkap persembahan, sebaliknya berfungsi menyokong naratif puisi dan menghidupkan gambaran tentang jati diri, budaya serta kecintaan terhadap warisan bangsa.

Persembahan dimulakan dengan alunan syair berirama Melalak, salah satu irama popular di Riau yang membawa penonton menyelami gejolak emosi watak seorang anak muda yang sedang berfikir tentang persoalan jati diri dan nasib bangsanya. Suasana pentas digambarkan sebuah ruang bacaan, kertas-kertas surat khabar yang ditebarkan Rasmin menjadi simbol keresahan dan protes terhadap persoalan yang mengganggu fikirannya.
Alunan syair tersebut kemudiannya disatukan dengan pembukaan Galombang, iaitu pergerakan pencak melingkar yang menjadi antara identiti seni persembahan Randai. Transisi tersebut menghasilkan perubahan suasana yang signifikan apabila kumpulan ‘anak-anak randai’ memasuki ruang pentas secara perlahan sambil membawa pelita yang bernyala. Penggunaan pelita dalam persembahan itu mempunyai makna simbolik yang tersendiri. Selain menggambarkan cahaya harapan, pelita turut menjadi metafora kepada percambahan idea, kejernihan fikiran serta memberi petunjuk terhadap persoalan berkaitan kemerdekaan, budaya dan masa depan bangsa.
Persembahan turut diperkaya dengan paparan visual kehidupan anak muda di bandar serta latar Istana Seri Menanti yang menjadi antara ikon Negeri Sembilan. Bunyi alat muzik tradisional seperti bansi dan saluang turut dimanfaatkan bagi memperkukuh nuansa budaya Minang yang menjadi sebahagian daripada identiti persembahan.
Kemuncak persembahan pula disempurnakan dengan alunan dendang berlatarkan dialek Negeri Sembilan yang diiringi pergerakan Galombang. Pada detik akhir sebelum lampu pentas digelapkan, Rasmin berdiri tegap sambil memegang sebuah buku pada sebelah tangan dan pelita pada sebelah tangan yang lain. Imej tersebut membawa mesej ilmu sebagai nadi hidup dan cahaya kebijaksanaan sebagai panduan dalam membina masa depan. Secara keseluruhannya, persembahan tersebut bukan sahaja mengangkat karya Bicara Budaya, malah memperlihatkan seni sastera dapat diterjemahkan melalui bahasa persembahan yang kreatif dan dekat dengan jiwa generasi muda.
Persembahan Rasmin turut dibantu oleh rakan-rakan mahasiswa USIM yang bertindak sebagai ‘anak randai’, iaitu Muhammad Farhan Muhammad, Asyraff Adnan, Baqir Hakimi Azhar. Dari aspek produksi teknikal, set, props dan kostum juga dibantu oleh rakan-rakan beliau yang turut menyokong dan sentiasa bekerjasama buat yang terbaik untuk melaksanakan produksi ini.

Persembahan Rasmin mendapat perhatian positif daripada barisan juri khususnya melalui penghayatan watak dan kemampuan menterjemahkan bait-bait puisi ke dalam bentuk persembahan yang mempunyai naratif tersendiri. Melalui naskhah Bicara Budaya, Watak yang dibawakan menggambarkan seorang pemuda keturunan Minang di Negeri Sembilan yang mencintai warisan budaya, selain membawa nilai patriotisme, kemerdekaan dan keresahan terhadap kelunturan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.
Mengulas kejayaan tersebut, Rasmin berkata, kemenangan itu diharapkan dapat memberi kesan kepada penonton menerusi gabungan elemen seni dan budaya, khususnya budaya Negeri Sembilan, di samping memastikan mesej tersirat dalam karya puisi dapat disampaikan dengan berkesan.
“Kepercayaan juri memilih saya sebagai juara bukanlah titik untuk berhenti di sini, sebaliknya menjadi pembakar semangat untuk terus maju dalam usaha memartabatkan seni persembahan dan sastera. Pada masa yang sama, usaha menarik minat golongan muda yang mempunyai minat untuk berkecimpung dalam sastera dilihat semakin meluas dengan adanya platform sayembara puisi artistik seperti ini,” katanya.
Rasmin turut mengangkat pantun teromba Negeri Sembilan sebagai ungkapan yang menggambarkan kecintaannya terhadap budaya tempatan:
“Walau elok kebaya panjang,
Elok lagi bersulam tepi,
Walau elok budaya orang,
Budaya kita dekat di hati.”
Menurut Rasmin, kejayaan tersebut tidak mungkin dicapai tanpa sokongan ibu bapa, keluarga, guru pembimbing, pegawai Pusat Kebudayaan USIM serta rakan-rakan yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang proses persediaan dan persembahan.
Sementara itu, keputusan keseluruhan SDPAHM Kali Ke-7 2026 menyaksikan Negeri Sembilan menerusi Abdul Rasmin Sagal meraih Anugerah Platinum, diikuti Terengganu menerusi Alya Syafiqah Adnan dengan Anugerah Emas dan Kelantan menerusi Nor Hisyam Ghazali dengan Anugerah Perak. Anugerah Gangsa 1 dimenangi Selangor menerusi Shamsilawati Abd Rahman, manakala Anugerah Gangsa 2 diraih Melaka menerusi Yusnorsyazana Mohd Yusof. Bagi kategori khas, Busana Terbaik (Perempuan) dimenangi oleh wakil Terengganu.
Penyampaian hadiah kepada pemenang disempurnakan oleh perasmi program, Senator Profesor Emeritus Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Penyandang Kursi Raja-Raja Melayu, Universiti Teknologi MARA (UiTM). Turut mengiringi beliau ialah Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PEMUISI), Dato’ Wan Razuhar.
Kejayaan Abdul Rasmin Sagal bukan sahaja mengharumkan nama USIM dan Negeri Sembilan telah tercacat dalam pertandingan apabila beliau telah merangkul tempat ketiga SDPAHM tahun 2025 juga mewakili Negeri Sembilan. Pada kali ini beliau berjaya membuktikan bahawa potensi anak muda USIM menggabungkan seni sastera, teater dan seni budaya tradisional menerusi persembahan yang segar serta dekat dengan jiwa generasi muda.
Disediakan oleh:
Rozihani Mohamad
Ketua Unit Dokumentasi dan Penerbitan Kreatif
Pusat Kebudayaan USIM