BANGI 23 Mei – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melakar sejarah kejayaan membanggakan apabila saudara Muhammad Afif Syafiq Bin Abu Samah yang merupakan ahli dari kumpulan Tingkah Irama Pusat Kebudayaan meraih Anugerah Pemain Gereteh Terbaik dalam pertandingan Rentak Irama Nusantara: Festival Caklempong 2026. Kejayaan cemerlang ini turut menyaksikan USIM muncul sebagai naib johan keseluruhan pertandingan. Pengiktirafan ini diberikan sebagai penghargaan kepada Afif Syafiq atas kecekapan, ketepatan teknik dan penghayatan muziknya. Persembahan yang mantap dan memukau berjaya menambat perhatian barisan juri, sekali gus mengangkat beliau sebagai penerima anugerah individu berprestij dalam pertandingan berkenaan.

Kejayaan ini bukan sahaja membanggakan beliau sebagai Pengerusi Kelab Pengurusan dan Persembahan Seni secara peribadi, tetapi ia juga mengangkat nama USIM dalam mengangkat seni warisan Negeri Sembilan. Menurut Afif, sebelum pertandingan tersebut, beliau mengadakan perbincangan berkenaan lagu dan barisan pemuzik yang bakal dibawa ke pertandingan tersebut secara teliti bagi memastikan persembahan tersebut disampaikan mengikut standard dan syarat pertandingan yang ditetapkan oleh penganjur.

Selain itu, Afif dan kumpulannya menjalani latihan yang konsisten selama dua minggu bagi memastikan setiap persembahan dapat dipersembahkan dengan baik dan berkualiti. Menerusi pertandingan tersebut, Tingkah Irama turut mendapat dua lagi anugerah iaitu Susunan Muzik Terbaik dan Anugerah Busana Terbaik. Pengiktrafan ini bukan sahaja dilihat sebagai satu anugerah terbaik malah USIM salah satu institusi penyambung generasi berwibawa dalam seni muzik tradisional Caklempong.
Disediakan oleh:
EB Khairul Asyraf Khalid
Kelab Penerbitan Kreatif
Pusat Kebudayaan