4 Ogos, Nilai – Minat yang mendalam terhadap seni puisi serta kemampuan menyampaikannya dengan penuh penghayatan membawa tuah kepada dua pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Muhammad Zamaratur Rahman Yussri dan Najmi Adli Mustaffa, apabila masing-masing terpilih mewakili negeri mereka ke Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) Ke-39 peringkat kebangsaan.
Bagi Zamaratur Rahman, yang mewakili Wilayah Persekutuan Putrajaya, ini merupakan tahun ketiga beliau melangkah ke pentas berprestij tersebut. Walaupun sudah tiga kali bersaing di peringkat kebangsaan, semangatnya tidak pernah luntur. Anak kelahiran Kuala Lumpur ini mula meminati puisi sejak di bangku sekolah rendah dan bercita-cita untuk menjadi seorang penterjemah bahasa Arab.

Penghayatan dan penyampaian menjadi senjata Zamratur Rahman dalam mendeklamasikan puisi di Sayembara peringkat Kuala Lumpur.
“Saya amat bersyukur kerana masih berpeluang ke pentas kebangsaan kali ini. Sebagai persediaan, saya cuba tampil dengan kelainan agar persembahan lebih meyakinkan dan menambat hati pendengar dan penonton,” katanya. Tambahnya lagi, walaupun memikul tanggungjawab sebagai Timbalan Setiausaha Majlis Perwakilan Pelajar komitmen tersebut tidak menjejaskan penglibatan aktifnya dalam pelbagai aktiviti pelajar, khususnya dalam bidang seni sastera.
Sementara itu, Negeri Sembilan diwakili oleh Najmi Adli Mustaffa, anak jati tanah beradat kelahiran Jempol yang kini berada di tahun akhir pengajian di USIM. Penyertaan kali keenamnya sayembara di peringkat negeri akhirnya membuahkan hasil apabila dinobatkan sebagai johan Negeri Sembilan yang berlangsung pada 19 Julai 2025. Walaupun ini merupakan penampilan sulungnya di pentas kebangsaan, Najmi tampil dengan semangat yang kental dan azam yang tinggi untuk memberikan penyampaian terbaik.
“Berbekalkan bimbingan dan pengalaman yang diperoleh, saya akan berusaha melakukan yang terbaik. Namun, berada di pentas besar ini adalah satu cabaran kerana setiap peserta memiliki kekuatan tersendiri,” ujar Najmi yang juga aktif sebagai pengacara majlis dan turut berkecimpung dalam pengucapan awam.

Gaya penyampaian yang utuh menjadikan Najmi antara deklamator kegemaran juri.
Sayembara Deklamasi Puisi Kemrdekaan kali ke-39 peringkat Kebangsaan menyaksikan 17 peserta mewakili setiap negeri termasuk badan beruniform Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia yang akan berlangsung pada 15 hingga 17 Ogos bertempat di Melaka. Acara tahunan ini dianjurkan oleh Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bertujuan menyemarakkan semangat kecintaaan terhadap tanah air.
Kejayaan kedua-dua pelajar ini bukan sahaja mengharumkan nama USIM, malah menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus mencintai, menghargai dan mengangkat seni puisi sebagai warisan budaya bangsa.
Disediakan oleh:
Rozihani Mohamad
Ketua Unit Dokumentasi dan Penerbitan Kreatif
Pusat Kebudayaan