1 April 2023, Nilai – Bertepatan dengan saranan USIM untuk menyantuni komuniti luar agar lebih akrab dengan warga universiti, Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) meneruskan lagi kesinambungan sinergi di kalangan penggiat seni, barisan alumni seni budaya serta mahasiswa melalui perlantikan Penasihat Produk Seni, Karyawan Seni, Ikon Seni USIM dan Pemimpin Kelab Seni Budaya yang berlangsung pada Majlis Iftar baru-baru ini. Pelantikan ini sejajar dengan pengukuhan elemen Seni Berbudaya selain meningkatkan jaringan warga USIM bersama pihak industri.
Tirai acara dimulakan dengan pembentangan mengenai pencapaian Pusat Kebudayaan USIM bagi tahun 2022 oleh Pengarah Pusat Kebudayaan, Ismail Ahmed sebagai pengenalan ringkas kepada tetamu kehormat YB Senator Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan, Ahli Dewan Negara dan Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka dan Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani. Dalam ucapan akhir pembentangan, Ismail berkata, ”majlis pelantikan ini merupakan usaha bersama dengan para penggiat seni serta barisan alumni USIM untuk berkongsi pengalaman, idea buah fikir sekaligus menjadi ejen penerus dan penggerak kepada nilai Seni Berbudaya yang dibawa oleh Pusat Kebudayaan USIM”.
Menerusi ucapan Naib Canselor USIM, beliau berkata “Pelantikan penasihat produk seni USIM dan enam karyawan seni yang berpengalaman memainkan peranan besar dalam memberi bimbingan profesional dan kepakaran kreatif selain sebagai satu anjakan visibility kepada USIM dalam hal-hal seni budaya”. Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani menerusi ucapan alu-aluan beliau. Beliau turut menambah, penggabungan karyawan seni, ini amat bersesuaian dengan aspek kepatuhan syariah yang menjadi keutamaan dan melonjakkan USIM sebagai peneraju dalam kesenian Islam.
Majlis pelantikan tersebut menyaksikan Prof. Dr. Irwan Mohd Subri (USIM) dilantik sebagai Penasihat Produk Seni yang bertujuan memastikan kesemua produk yang diterbitkan memenuhi kehendak Syariah dan enam karyawan seni tanah air dalam bidang-bidang tertentu turut menyumbang kepakaran dan dilantik sebagai Karyawan Seni USIM iaitu Dato’ Nash (Karyawan Persembahan Seni); Syed Indera Syed Omar (Siso) sebagai karyawan Penulisan Kreatif; Fauzi Marzuki (Karyawan Penciptaan Kreatif); Razin Mestica (Karyawan Inovasi Produk); Ahmad Fedtri Yahya (Karyawan Pengacaraan dan Penyiaran); dan Sharifah Khasif Fadzilah Syed Mohd Badiuzzaman (Karyawan Seni Taranum).
Ketika menyampaikan amanatnya, YB Senator berkata bahawa, ”kelangsungan nilai seni budaya yang dibawa oleh Pusat Kebudayaan USIM harus diberikan pengiktirafan dan dijadikan contoh ikutan kepada agensi di luar sana kerana telah mengangkat warisan seni tradisi merentasi bidang kerjaya yang sewajarnya dilakukan sejak sekian lama. Seni budaya bukan hanya untuk golongan tertentu sahaja, namun ianya bersifat dinamik dan sesuai diamalkan di pelbagai peringkat.” Beliau menambah bahawa kebudayaan adalah satu cara hidup yang menyeluruh dengan merangkumi semua perkara dari segi falsafah, pemikiran, seni bina, sains dan sebagainya. Semuanya saling berkait, melengkapi dan membina pengertian kesantunan dalam kepelbagaian seni. Dalam pada itu beliau menyarankan bahawa seni budaya berkaitan agama dan syariah hendaklah diangkat oleh USIM agar dapat menjadi model kepada institusi pengajian tinggi yang lain.
Selain itu, pelantikan ini keseluruhannya memperlihatkan bahawa ejen penggerak Seni Berbudaya adalah pelajar yang terdiri daripada Kelab Seni Budaya yang dibimbing oleh Ikon Seni (alumni) dan pengesahan aspek syariah oleh penasihat produk seni. Seterusnya pihak yang akan menghubung dan melonjakkan bakat atau penghasilan produk USIM yang terbitkan adalah barisan karyawan seni USIM. Pelbagai program yang telah dirancang untuk mewujudkan aliran agar hasil produk yang dikeluarkan USIM memenuhi dengan kehendak pasaran.
Pada majlis yang sama Naib Canselor USIM turut menyampaikan watikah pelantikan kepada 40 orang Ikon Seni USIM. Ikon Seni yang dilantik kalangan alumni USIM mempunyai ciri kebersamaan untuk terus menyumbang dan berkongsi kepakaran dalam bidang seni budaya serta masih aktif terlibat dalam persembahan, pengacaraan dan sebagai pemuzik secara separuh masa. Sementara itu, turut diserah surat pelantikan kepada pemimpin Kelab Seni Budaya yang terdiri daripada tiga kelab seramai 38 orang pelajar oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Adnan Mohamed Yusoff.
Majlis yang dihadiri hampir 100 tetamu diadakan di Galeri HEP, Pusat Hal Ehwal Pelajar turut disiarkan secara langsung menerusi facebook rasmi Pusat Kebudayaan USIM diakhiri dengan penyampaian tazkirah dan majlis berbuka puasa.
Disediakan oleh:
Saudara Najmi Adli Mustaffa
Pengerusi Kelab Penerbitan Kreatif
Dikemaskini oleh:
Rozihani Mohamad
Ketua Unit Pengurusan Dokumentasi dan Penerbitan Kreatif
Pusat Kebudayaan USIM.