Serdang, 23 Disember – Festival Kebudayaan Universiti-universiti Malaysia (FEStKUM) 2022 menyaksikan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dinobatkan sebagai johan keseluruhan dengan mengungguli Johan pertandingan lagu melayu asli, Naib Johan sayembara deklamasi puisi, Tempat Ketiga rentak bitara dan memperoleh tiga anugerah lain iaitu Vokal Terbaik bagi pertandingan lagu melayu asli, Persembahan Terbaik dan Instrumentasi Terbaik bagi pertandingan rentak bitara.

FEStKUM anjuran Majlis Kebudayaan Universiti-universiti Malaysia (MAKUM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia melibatkan 14 penyertaan daripada universiti awam iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Universiti Teknikal Malaysia, Universiti Sains Islam Malaysia, Universiti Malaysia Pahang, Universiti Teknologi Mara, Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia.

Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Ismail Ahmed berkata, “penyertaan USIM ke FEStKUM pada tahun ini adalah tanggungjawab dan kebersamaan kita dalam sekretariat MAKUM. Rata-rata semangat yang ditonjolkan semua mahasiswa memperlihatkan bahawa mereka memerlukan satu bentuk program untuk menguji bakat dan skil yang dimiliki. Saya percaya penganjuran FEStKUM pada kali ini dapat menyuntik keinginan luar biasa dalam diri mereka untuk meningkatkan ilmu dalam aspek persembahan seni.”

“FEStKUM pada kali ini mempertaruhkan empat acara yang dipertandingkan iaitu nyanyian solo lagu melayu asli dan sayembara deklamasi puisi bagi kategori perseorangan, manakala rentak bitara (muzik moden) dan nasyid bagi kategori berkumpulan. Kontinjen USIM diwakili oleh 22 orang delegasi dengan diiringi lima pegawai penyelaras”.

Ujarnya lagi, pada tahun 2010 USIM pernah dinobatkan sebagai Tempat Kedua Keseluruhan bagi semua acara FEStKUM 2010.


Menurut saudara Amirul Zahid Amadnoh, “Sejujurnya saya agak gementar di hari pertandingan memandangkan baru sembuh dari demam, namun berkat dorongan dan doa ibu bapa serta sokongan rakan-rakan saya nekad untuk buat yang terbaik.” Zahid merupakan pelajar tahun akhir di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan itu turut menyatakan bahawa bukanlah mudah untuk mempelajari teknik lagu Melayu asli, namun demi minat yang mendalam terhadap seni warisan Melayu, Zahid gigih berusaha dan menuntut ilmu dari yang pakar dan akhirnya berjaya dinobatkan sebagai johan pertandingan lagu melayu asli. Sementara itu, menurut pemenang naib johan sayembara puisi, Najmi Adli Mustaffa berkata, “pada saya deklamasi puisi bukan hanya membaca puisi tetapi menyampaikan dan memaknai bait-bait rangkap puisi dengan penuh penghayatan agar mesejnya sampai kepada audiens. Sesuatu yang sememangnya sukar bagi saya, namun amat bersyukur diberikan kesempatan berlatih bersama tokoh yang mempunyai pengalaman luas, akhirnya saya berjaya mencapai kemenangan ini.” Najmi turut menambah bahawa persaingan daripada peserta lain juga tidak kurang hebatnya.

Acara solo pertandingan lagu melayu asli dan sayembara puisi telah diadakan di Panggung Seni, Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) UKM, manakala bagi acara pertandingan berkumpulan iaitu rentak bitara dan nasyid diadakan di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah UPM.

Majlis penyampaian hadiah FEStKUM disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian diiringi oleh Prof. Dr. Arifin Abdu Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM merangkap Pengerusi MAKUM dan Pengerusi Dewan Budaya Universiti Sains Malaysia, Ramnah Ramli mewakili Timbalan Pengerusi MAKUM.

Hampir 500 penonton menyaksikan acara penutup dan penyampaian hadiah FEStKUM secara langsung di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah UPM dan turut disiarkan secara maya di Facebook dan YouTube melalui saluran Putra TV UPM. Acara penutup dimeriahkan dengan persembahan para pemenang FEStKUM.

FAKTA KEMENANGAN USIM sempena FESTKUM

Johan Keseluruhan : Universiti Sains Islam Malaysia

  1. Johan : Lagu Melayu Asli
  2. Naib Johan : Sayembara Puisi
  3. Ketiga : Rentak Bitara
  4. Anugerah Vokal Terbaik : Lagu Melayu Asli
  5. Anugerah Instrumentasi Terbaik: Rentak Bitara
  6. Anugerah Persembahan Terbaik: Rentak Bitara