Kuala Lumpur, 7 Disember – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) buat pertama kalinya menganjurkan pertandingan Sayembara yang bertempat  di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka. Sayembara Mencipta Lagu Puisi ini diadakan untuk kategori remaja bagii memberi ruang dan peluang untuk karyawan muda menyerlahkan bakat mereka dalam bidang penciptaan lirik lagu di samping memartabatkan puisi dalam kalangan masyarakat secara khususnya.

USIM yang diwakili Kumpulan Nuraga melalui persembahan “Epilog Rintihan Anak Kecil” berjaya merangkul johan sekali gus membawa pulang wang tunai berjumlah RM 3,000 berserta trofi dan sijil penyertaan. Tempat kedua dimenangi oleh Citra Warisan dan Kumpulan Genta Rindu yang juga daripada USIM yang menerima wang tunai RM 2,500 dan RM 2,000 berserta trofi dan sijil penyertaan.

Acara akhir yang menyaksikan lapan kumpulan dipilih berentap peringkat akhir daripada 10 kumpulan yang bertanding di peringkat separuh akhir 5 Disember lalu.

Barisan juri Dato’ Freddie Fernandez, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia merangkap ketua juri, komposer terkenal, Encik Mohd Azhar Abu Bakar (Azmeer) dan Syed Indera Syed Omar (SISO Kopratasa) didatangkan khas untuk menilai tahap kreativi peserta melalui lirik lagu, melodi dan persembahan.

YBhg. Datuk Haji Abdul Adzis Abas, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka berkata, “Sebenarnya melodi dan irama yang serasi dengan mood mesej puisi dapat meruntun jiwa pendengar untuk menghayati mesej yang tersirat dan tersurat dalam sesebuah puisi itu”.

Sementara itu, Pengerusi Urus Setia Kesenian Pelajar Pusat Kebudayaan USIM  Muhammad Nazmi Kamis berkata, “Sayembara Mencipta Lagu Puisi Remaja 2016 ini adalah amat baik kerana ianya memberi pendedahan dalam penciptaan lagu melalui bentuk puisi dan melontarkan kepada penonton”. Persediaan  daripada peserta mengambil masa yang singkat untuk membuat persembahan sehingga ke peringkat akhir malah beliau juga berharap agar program ini dapat diperluaskan mengikut setiap negeri dan meliputi secara keseluruhan.”

Kejayaan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam menjayakan program ini dapat memberi semangat baharu kepada remaja yang berminat kepada muzik, melodi dan penulisan puisi yang dapat diserlah melalui bait-bait puisi dalam sayembara seumpama  ini.

 

 

Disediakan oleh:

EB Syahirah, EB Ain Mahat EB Maryam

Pusat Kebudayaan USIM