12 Ogos, Kuala Lumpur – Meminati bidang sastera dan berbakat sebagai deklamator serta aktif sebagai pemantun sejak di bangku sekolah rendah telah membawa tuah kepada Muhammad Zamratur Rahman Yussri apabila dinobatkan sebagai johan pertandingan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) peringkat Wilayah Persekutuan dan Putrajaya. Acara yang berlangsung di rumah PENA telah disertai 17 orang peserta bagi merebut gelaran juara dan akan mewakili Wilayah Persekutuan dan Putrajaya ke peringkat Kebangsaan yang akan berlangsung pada 16 September 2023. Menurut Zamratur Rahman, “kemenangan ini juga menjadi cabaran untuk tampil beraksi dengan lebih baik dan ini adalah pengalaman pertama saya ke pentas kebangsaan.” Rahman turut menyifatkan bahawa berada di pentas kebangsaan adalah cita-citanya sejak di bangku sekolah dan pengalaman berharga ini tidak akan dilupakan. Ujarnya lagi melibatkan diri sebagai ahli kumpulan Penyair Nasional (KHUPAS) telah membuka ruang dan peluang mempelajari kaedah penyampaian puisi dengan lebih baik dan berhasil.
Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dalam ucapannya “penyertaan program SDPK kalangan generasi muda semakin menggalakkan dan memperlihatkan bahawa sastera sentiasa diminati dan acara seumpama ini sering menjadi pilihan mereka untuk lebih serius bergiat aktif dan kesungguhan dalam menghasilkan karya .”
Selain itu, Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Ismail Ahmed menyatakan bahawa SDPK merupakan medan terbaik penyair muda mengembangkan bakat mereka dan pada kali ini USIM telah berjaya menghantar buat kali ketiga peserta ke Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan peringkat Kebangsaan.”
Tempat kedua SDPK Wilayah Persekutuan dan Putrajaya dimenangi Amirul Aiman Helmi yang meraih hadiah RM700 dan hadiah iringan, manakala Salmiyati Md Raud menduduki tempat ketiga dengan hadiah wang tunai RM500 beserta hadiah iringan.
Disediakan oleh:
Rozihani Mohamad
Ketua Unit Pengurusan Dokumentasi dan Penerbitan Kreatif
Pusat Kebudayaan USIM