22 DISEMBER, Nilai – “Hadir untuk berbicara tentang masa lalu yang penuh dengan pengajaran telah mendidik kita muncul sebagai insan pada hari ini.” Kata-kata yang dilafazkan oleh wakil alumni seni budaya Hafizullah Samsudin dalam ucapan beliau mewakili alumni seni budaya yang hadir pada malam itu. Beliau turut menyatakan bahawa ilmu seni budaya yang diperoleh semasa di pengajiannya dahulu telah banyak membantu dirinya dari aspek kepimpinan organisasi dan bakatnya sebagai pemain dram kumpulan muzik moden kian terserlah.

Acara Makan Malam Alumni Seni Budaya disambut meriah dengan tema busana tradisional songket. Sejumlah 86 alumni USIM hadir bergiat secara aktif dalam program seni budaya USIM sejak tahun 2005 hingga bergelar graduan yang secara rasminya pada majlis Konvokesyen USIM yang telah diadakan pada Disember tahun ini.

Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Ismail Ahmed berkata, kehadiran alumni pada majlis ini amat bermakna untuk terus akrab dan berkongsi kepakaran kerana setiap alumni tetap menyumbang kepada pembangunan USIM tidak kira kecil atau besar sumbangannya. “Pertemuan pada malam ini merupakan sumbangan yang cukup bernilai kerana sanggup hadir dari pelosok arah seperti pantai timur, selatan dan utara. Pengorbanan masa kesemua yang hadir perlu diraikan ibarat sirih pulang ke gagang.”. Ujar beliau yang turut menyatakan rasa terharu kerana ada di antara alumni hadir bersama keluarga.

Ismail Ahmed, pengarah Pusat Kebudayaan USIM turut mendendangkan lagu di Makan Malam Alumni Seni Budaya.

Menjejakkan kaki ke USIM mengembalikan semula alma mater acuan USIM. Pelbagai acara menarik disajikan pada malam itu antaranya cabutan bertuah, persembahan nyanyian secara duet dan deklamasi puisi oleh alumni yang bertemu pasangan hidup di Pusat Kebudayaan USIM. Turut dihiburkan dengan tarian tradisional oleh mantan Tenaga Pengajar Seni Budaya USIM yang masih aktif menyumbang artistik dan kepakaran kepada pembangunan pelajar dan alumni seni budaya USIM.

Deklamasi puisi oleh pasangan suami isteri yang juga merupakan Alumni Seni Budaya USIM.

Dalam pada itu, salah seorang alumni USIM tahun 2008 Nurizah Mohamed Daris berkata, “diharapkan pertemuan bersama alumni dapat dibuat dengan lebih kerap disusuli dengan pelbagai aktiviti- aktiviti menarik dan semoga lebih ramai alumni dapat menyertai pada masa akan datang.” Acara yang penuh gemilang diakhiri dengan sesi bergambar untuk diabadikan sebagai kenangan.

Disediakan oleh :
Rozihani Mohamad
Ketua Unit Pengurusan Dokumentasi dan Penerbitan Kreatif
Pusat Kebudayaan USIM