Oleh: Rozihani Mohamad

Pusat Kebudayaan USIM

 

Nilai – Pusat Kebudayaan USIM (PK) telah menyusun strategi baharu dengan melantik Timbalan Pengarah dan Ketua Unit untuk memperkasakan semula governan pengurusan di PK tanpa melibatkan permohonan perjawatan baharu.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) USIM, Prof Madya Dr Mohd Rushdan Mohd Jailani berkata, lantikan Timbalan Pengarah dan Ketua Unit di PK ini dilihat lebih dinamik untuk penjenamaan semula dan sebagai suntikan semangat baru kepada semua yang dilantik dalam amanah yang dipertanggungjawabkan.

Pelantikan ini juga sebagai satu inisiatif kepada PK yang telah memberi komitmen yang tinggi dalam usaha menaikkan nama USIM melalui aktiviti dan program berbudaya. Oleh itu, pihak pengurusan USIM mengharapkan agar PK dapat memposisikan kedudukan mereka sebaris dengan Pusat Kebudayaan IPT yang lain, katanya.

Selain Itu, pengurusan USIM sebenarnya mengharapkan dengan pelantikan ini akan menjadi permulaan yang baik kepada PK untuk lebih berusaha mengembangkan kebolehan dan pencapaian ke peringkat yang lebih tinggi melalui output, kreativiti, impak dan sumbangan PK kepada USIM dan masyarakat,” katanya lagi.

“Mungkin di masa akan datang, USIM akan mempertimbangkan keperluan kepada perjawatan baharu di PK sekiranya PK berjaya membuktikan tahap kecemerlangan dan meningkatan sumbangan mereka kepada USIM dan masyarakat menerusi program dan aktiviti berimpak tinggi,” tambah beliau.

“Ini kerana, pihak pengurusan USIM melihat perkembangan yang luar biasa di PK di mana banyak program yang dijalankan dan mempunyai nilai komersil serta berimpak tinggi walaupun mempunyai bilangan staf yang sedikit, “tambahnya lagi.

Menurut Pengarah PK USIM, En Ismail Ahmed berkata, lantikan Timbalan Pengarah dan Ketua Unit yang baharu selama tiga tahun di PK ini adalah sebagai langkah untuk memperkasa setiap unit di dalam PK dan memberi fokus kepada unit masing-masing untuk bekerja dengan lebih teratur dan sistematik.

“Saya sangat terharu dengan sokongan yang diberikan oleh pihak pengurusan yang telah menjadikan harapan saya sebagai satu realiti. Saya juga berharap agar pengurusan universiti akan terus menyokong setiap aktiviti dan program yang dianjurkan di Pusat Kebudayaan untuk terus merancakkan lagi program seni yang mempunyai nilai budaya dan menyumbang kepada kecemerlangan USIM.

Selain itu, dalam perkembangan lain, PK juga sedang berusaha untuk mendaftarkan sebagai langkah untuk menjaga hak cipta produk-produk yang dikeluarkan oleh PK USIM seperti USIM Street Dakwah, Penerbitan Album dan sebagainya di MyIPO Malaysia.

Pelantikan ketua unit ini adalah selaras dengan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Universiti pada 7 Februari 2019. Antara yang dilantik ialah; En Mohamad Akmal bin Razali, Timbalan Pengarah Pusat Kebudayaan dan Ketua Unit Pembangunan Aktiviti, Multimedia dan Keusahawanan Seni; Puan Rozihani Mohamad, Ketua Unit Pengurusan Dokumentasi dan Penerbitan Kreatif; Puan Arohiyah Abdullah, Ketua Unit Pengurusan Persembahan Seni dan En Azrulaine Mohd Ariffin, Ketua Unit Pentadbiran

Pusat Kebudayaan USIM pernah memenangi Anugerah Gong Kencana dalam Malam Anugerah Seni 2017 anjuran Majlis Kebudayaan Universiti-universiti Malaysia (MAKUM) pada Januari 2018 kerana telah menunjukkan potensi yang cemerlang dan terbaik dalam penganjuran aktiviti kebudayaan berasaskan kecemerlangan pencapaian dan program seni budaya.