Nilai, 14 Januari – Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan Kursus Multimedia 2016 yang julung kalinya diadakan bagi Unit Multimedia. Kursus ini melibatkan 9 ahli Unit Multimedia USIM dan dijalankan di Pusat Kebudayaan USIM, sekaligus menampilkan penceramah jemputan iaitu En. Shahreza Mohameddin, Penolong Peg. Teknologi Maklumat Kanan (Stracomm) dan juga Saudara Muhammad Amir Rizwan Kamaruzaman, salah seorang ahli Unit Multimedia.

Program ini diadakan sejajar dengan penekanan aspek Kemahiran Insaniah dan mengangkat objektif yang lebih tepat iaitu untuk memperkasa kefahaman dan kemahiran penggunaan fotografi dan videografi.

Puan Farazilah Che Ani, Pegawai Kebudayaan Pusat Kebudayaan USIM berkata, kursus ini merupakan salah satu medium untuk peserta menggilap bakat dan kemahiran dalam mengendalikan alatan dan perkakasan multimedia selain melatih peserta untuk menjadi ahli fotografi dan videografi yang berkaliber.

Sesi pertama kursus membincangkan berkenaan dengan asas pengenalan fotografi dan videografi diikuti dengan sesi kedua iaitu teknik dan etika visual, manakala kursus ini diakhiri dengan sesi ketiga yang mendedahkan peserta kepada aplikasi suntingan fotografi dan videografi.

Kursus ini diselitkan juga dengan perkongsian daripada En. Shahreza Mohameddin yang sudah lama terlibat dalam bidang fotografi dan videografi sekaligus menceritakan pengalaman beliau bekerja di bawah Stracomm.