12 September, Nilai – Menzahirkan rasa kasih kepada tanah air tercinta kini ditonjolkan dalam pelbagai medium bersesuaian dengan kehendak semasa dan teknologi terkini. Elemen visualisasi yang seakan menjadi trend bagi generasi masa kini telah membuka ruang manifestasi bakat bersama nilai penyatuan untuk menampilkan hasil yang terbaik.

Usaha mencernakan rasa kasih dan sayang kepada negara telah disemai sejak di peringkat awal dan kini semakin tinggi apabila perasaan tersebut diekspresikan dengan medium penghayatan yang lebih kuat dan mendalam salah satunya dengan nyanyian koir. Memasuki penganjuran kali ketiga pada tahun ini, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) meneruskan Festival Koir Kemerdekaan Piala Pendaftar (FESKEP) yang diterajui oleh Pusat Kebudayaan USIM bersama Jabatan Pendaftar dan Pusat Hal Ehwal Pelajar USIM.

FESKEP yang diadakan di Dewan Kuliah Utama Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah USIM, menyaksikan tujuh kumpulan yang berentap dengan melibatkan 11 jabatan bertujuan menyemai semangat patriotisme dan cintakan negara di kalangan warga USIM di samping mengembangkan bakat melalui medium seni. Selain itu, FESKEP turut mendorong kakitangan USIM meningkatkan daya kreativiti sekali gus menghasilkan sebuah persembahan yang menarik serta memupuk nilai kebersamaan di kalangan warga kerja USIM.

Naib Canselor USIM yang menyuarakan keterujaan dan kekaguman yang ditampil oleh warga USIM dalam ucapannya.

Naib Canselor USIM, Profesor Dato’ Ts Dr. Sharifudin Md Shaarani, ketika menyempurnakan majlis perasmian menzahirkan rasa keterujaan dan kagum melihat persembahan yang dipamerkan oleh semua jabatan yang bertanding serta nilai kebersamaan yang dibentuk mampu menjayakan pertandingan ini. “Melihat dari sisi pandang yang holistik program sebegini dilihat mampu memupuk semangat kebersamaan dan nilai perpaduan yang kita inginkan apabila tiada titik bengit juga tiada pemisahan antara kita yang wujud hanyalah semangat kesatuan dalam mendepani apa jua cabaran mendatang,” katanya.

Ucapan yang santai tapi bermakna oleh Pendaftar USIM dalam meraikan FESKEP 2024.

Dalam pada itu, Dato’ Muhamad Haizuan Rozali, Pendaftar USIM berkata penganjuran FESKEP ini merupakan satu bentuk pementasan kejujujuran, interaksi di kalangan warga kerja USIM yang struktural serta menjadi satu platform ekspresi perasaan yang memperlihatkan kesepaduan sekali gus menyemarakkan lagi rasa kebanggaan yang tinggi terhadap negara.

Menurut salah seorang peserta, Mohamad Fauzi Mohd Amin berkata, “walaupun sibuk dengan tugasan namun latihan koir tidak mematahkan semangat beliau dan rakan-rakan untuk menyahut cabaran pertandingan.” Beliau bersama rakan-rakannya dengan 20 orang ahli sepakat menyusun masa agar tidak ketinggalan dalam latihan dan banyak membuat rujukan di internet.” Ujar beliau yang mewakili jabatan Bendahari.

Kemeriahan FESKEP yang disemarakkan oleh warga USIM bersempena dengan bulan Kebangsaan.

Johan FESKEP dinobatkan kepada kumpulan Rhythm and Souls mewakili gabungan jabatan Perpusatakaan, Pusat Penerbit dan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina membawa pulang Piala Pusingan, wang tunai RM1000.00, cek cura beserta sijil kemenangan.

Mohd Jamil Ahmad Mokhtar, ketua kumpulan Rhythm and Souls berkata kemenangan ini adalah bukti nyata kerja keras, disiplin, dan dedikasi setiap ahli kumpulan. Persembahan yang ditonjolkan bukan sahaja memukau, tetapi juga menghidupkan setiap melodi dengan penuh jiwa dan semangat.

Naib johan dan anugerah Kostum Terbaik dimenangi oleh kumpulan StraComm Rhapsody mewakili Pusat Komunikasi Strategik dengan membawa pulang wang tunai RM700.00 manakala tempat ketiga diperoleh kumpulan Canselori yang diwakili oleh Jabatan Canselori, USIM PACE dan SCIROSH dengan hadiah bernilai RM500.00, cek cura dan sijil kemenangan.

Selain itu, turut disampaikan juga beberapa anugerah khas iaitu anugerah Busana Terbaik, anugerah Persembahan Terbaik, dan anugerah Konduktor Terbaik yang masing-masing dimenangi oleh Pusat Komunikasi Strategik, jabatan Bendahari juga kumpulan gabungan daripada Jabatan Perpustakaan, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina,dan Pusat Penerbit

Faidzil Rezuan, pemenang Konduktor Terbaik menzahirkan rasa syukur dan terima kasih tidak terhingga barisan juri dan rakan seperjuangan sekali gus mendedikasikan kemenangan ini kepada keluarga beliau dan ketua jabatan, kerana baginya ini merupakan pencapaian terbaik sepanjang penglibatan beliau dalam aktiviti seni budaya di USIM.

FESKEP edisi 2024 turut menampilkan barisan panel juri yang terdiri daripada penyanyi tanah air serta lagenda iaitu Dato’ Nash, Bob Yusof dan penggiat lagu tradisional Melayu yang juga Tenaga Pengajar ASWARA Azizul Haqim sebagai ketua juri.

Disediakan oleh:
Najmi Adli Mustaffa
Pegerusi Kelab Penerbitan Kreatif
Pusat Kebudayaan
Universiti Sains Islam Malaysia.