KUCHING, 15 Ogos – Kreativiti dan kesungguhan pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nik Faruqi Naim Mohd Fauzi membuahkan hasil apabila beliau berjaya merangkul Anugerah Montaj Terbaik pada Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan (SDPK) Ke-40 Tahun 2026 yang berlangsung di Kuching, Sarawak anjuran Gabungan Penulis Nasional (GAPENA) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan kerajaan negeri Sarawak serta beberapa agensi berkaitan.
Nik Faruqi Naim, 24 yang juga ahli kumpulan Penyair Nasional (KHUPAS), Kelab Penerbitan Kreatif, Pusat Kebudayaan USIM memasuki tahun kedua beliau mewakili negeri Terengganu ke pentas final pertandingan berprestij ini.
Edisi SDPK kali ini membawakan 17 peserta mewakili setiap negeri, termasuk anggota beruniform , Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Pemenang utama menerima hadiah secara Wang Tunai berserta hadiah iringan bermula dari tempat pertama sehingga tempat keenam. Manakala anugerah khas yang dipertandingkan iaitu Busana Terbaik Lelaki dan Wanita dan Montaj terbaik.

Nik Faruqi Naim Mohd Fauzi mempersembahkan puisi Akar Prakarsa karya Istajib Mokhtar itu telah menambat hati juri dengan paparan video latar montaj yang kreatif, unik dan bertepatan dengan sajak yang telah dideklamasikan. Ia juga memberikan kesan yang mendalam serta membantu juri dan penonton menghayati dengan lebih jelas makna puisi yang disampai hasil impak video montaj tersebut.
Perjalanan menuju SDPK peringkat akhir benar-benar menuntut pengorbanan Nik Faruqi yang dijuga sebagai Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar USIM. Kepadatan jadual beliau sebagai pemimpin mahasiswa begitu mencabar beliau mencari celahan waktu untuk mengkaji, mendalami dan menghafal teks puisi agar lebih menghayati maksud puisi bahkan pada masa yang sama perlu menyiapkan hasil kreatif montaj kurang daripada dua minggu menjelang SDPK. Pada masa yang sama beliau turut terlibat dalam program komuniti di negeri Bawah Bayu melibatkan masyarakat dan lokaliti yang jauh luar kawasan. Kesibukan menggalas amanah ditambah pula dengan penglibatan beliau dalam program luar yang benar-benar mencabar keupayaannya untuk membahagikan masa bagi sesi latihan intensif. Namun, segala kepayahan itu berjaya diharungi dengan cekal, berkat sokongan padu dan dorongan berterusan daripada guru pembimbing, para pegawai Pusat Kebudayaan serta sahabat setia yang itdak pernah lelah menemani dan berjuang bersama-sama di sisinya.

Ujarnya, ‘‘kejayaan ini amat bermakna dan bukan perkara yang mudah untuk menempatkan nama di pentas final dan saya bersyukur walau sebarang keputusan yang keluar kerana menang kalah masing-masing ada ujicabarnya tersendiri.’’ Nik Faruqi turut menzahirkan terima kasih kepada mereka yang sentiasa menyokong dan mendoakannya dalam sayembara pada kali ini. Katanya juga, kejayaan ini bukan sekadar untuk saya, tetapi buat keluarga, kenalan rapat, universiti dan negeri Terengganu itu sendiri. Segala penat lelah memberi pelbagai hikmah dan pengajaran terhadap dirinya juga.
Nik Faruqi berharap agar lebih banyak ruang manifestasi seni sastera dibuka kepada golongan muda kerana ini adalah salah satu usaha untuk membakar jiwa semangat jati diri sayangkan tanha air dan terus berjuang untuk kekal aman dan harmoni.
Kejayaan Nik Faruqi Naim di pentas SDPK ke-40 sekali gus membuktikan bahawa penglibatan mahasiswa dalam bidang seni dan sastera bukan sahaja mampu memperkasa bakat serta kreativiti, malah menjadi platform untuk mengangkat nama USIM dan negeri yang diwakili ke peringkat kebangsaan.
Disediakan oleh:
Abdul Rasmin Sagal Abdul Rahman
Timbalan Pengerusi, Kelab Penerbitan Kreaif
Pusat Kebudayaan