Bertarikh 18 Oktober 2015, Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui Urus Setia Kesenian Pelajar (UKP) sekali lagi menganjurkan satu program dakwah kemasyarakatan berbentuk nyanyian jalanan (busking) yang dipersembahkan oleh kumpulan Usim Buskers. Program dakwah yang diberi judul “USIM Street Dakwah” (USD) ini telah berlangsung dengan jayanya bertempat di perkarangan kompleks membeli-belah Alamanda, Putrajaya.
Program Usim Street Dakwah pada kali ini adalah gabungan bersama Islamic Relief of Malaysia (IRM), salah satu badan kebajikan manusia ataupun badan NGO (non-government organisation) yang tidak asing lagi di negara kita. Dengan menggunakan tema ‘#SaveLetsHelpSyria ’, ia jelas menampakkan bahawa program Usim Street Dakwah ini tidak lain tidak bukan hanyalah semata-mata mahu memberitahu kepada masyarakat mengenai isu kemanusiaan yang sedang melanda rakyat Syria di sana, di samping persembahan santai busking oleh Usim Buskers.
Program dakwah nyanyian jalanan (busking) yang bermula sekitar jam 2 petang itu berlangsung di perkarangan luar bangunan Alamanda, berhampiran dengan pintu masuk dan pusat bowling. Pihak Urus Setia Kesenian Pelajar (UKP) dan pengurusan Usim Street Dakwah memilih lokasi tersebut adalah kerana ia merupakan laluan utama pengunjung dan semestinya akan menarik perhatian ramai.
Persembahan dimulakan dengan gimik nyanyian separuh lirik yang berhenti secara tiba-tiba, sekaligus menimbulkan pelbagai persoalan dari pengunjung yang hadir di sekitar kawasan persembahan. Lantas pengacara majlis, saudara Sufian Amrin dan saudara Afkar muncul lalu memulakan program tersebut secara santai. Program dimulakan dengan acara persembahan pukulan gendang tradisional oleh kumpulan Perkusirama yang berkonsepkan ‘RythmStreet ’(samba). Tamat sahaja persembahan perkusi tersebut, program diteruskan lagi dengan slot Sharing Knowledge menerusi bacaan doa yang dipimpin oleh saudara Husaini. Apa yang menariknya, saudara Husaini mengalunkan bacaan doa tersebut secara bertaranum. Dalam masa yang sama, beliau turut mengajak para hadirin khususnya kanak-kanak yang berada di situ untuk turut mengikuti bacaan doa tersebut.
Seterusnya, persembahan diteruskan dengan nyanyian beberapa buah lagu seperti Apokalips, Hati Emas, Mentera Semerah Padi, Nurisham (lagu bahasa arab), Si Udin Bertanya, Assalamualaikum, Kepada-Mu Kekasih, Tanya Sama Itu Hud-Hud, Sollu Ala Muhammad dan diakhiri dengan lagu berjudul Kun Anta. Kesemua lagu yang dipilih untuk dipersembahkan kebanyakannya adalah lagu-lagu yang berunsur dakwah di dalam liriknya dan juga merupakan lagu-lagu yang sentiasa di dengar di corong radio yang mana ianya mudah untuk diikuti ramai.
Program Usim Street Dakwah ini telah dipengerusikan oleh saudara Sufian Amrin, salah seorang selebriti radio IKIM.fm dan juga merupakan ahli kumpulan nasyid terkenal tanah air, Saujana. Turut berduet bersamanya adalah saudara Afkar, bekas pelajar jurusan Komunikasi di USIM. Oleh kerana program Usim Street Dakwah ini bekerjasama dengan pihak NGO Islamic Relief of Malaysia (IRM), pihak IRM turut menampilkan Puan Norelan Ismail, pengurus bahagian Charity Shoppe & Event yang berpusat di Seksyen 9, Bandar Baru Bangi untuk menyampaikan sedikit mesej mewakili badan kebajikan tersebut. Menurutnya, beliau berasa amat terharu dan terhutang budi kepada Urus Setia Kesenian Pelajar (UKP) USIM kerana berbesar hati untuk bekerjasama dengan Islamic Relief of Malaysia (IRM) dalam mengumpul dana sumbangan bagi misi kemanusiaan yang mereka anjurkan. Di kesempatan itu juga, beliau turut mewar-warkan informasi dan sekaligus mengajak orang ramai untuk turut serta di dalam program amal anjuran Islamic Relief of Malaysia (IRM) berjudul ‘Ku Mohon Tuhan Berikan Aku Cinta’ yang akan berlangsung pada 31 Oktober 2015, bertempat di Stadium Melawati, Shah Alam.
Hadir bersama sepanjang program Street Dakwah ini adalah produksi Salam Muslim terbitan Astro Oasis yang mana mereka turut membuat rakaman khas sepanjang program ini berlangsung, yang mana ianya akan ditayangkan dalam slot Salam Muslim Astro Oasis. Berdasarkan temubual penulis bersama Encik Hairul Zaini, iaitu penerbit rancangan Salam Muslim, beliau berkata bahawa program dakwah santai sebegini harus diteruskan pada masa akan datang, berikutan ia mampu menarik masyarakat khususnya golongan muda ke jalan dakwah. Katanya lagi, masyarakat hari ini lebih gemar dengan penyampaian dakwah yang bersifat hiburan dan humor, dalam erti kata lain, di samping berhibur masih terselit unsur dakwah secara jelasnya. Penulis juga sempat menemubual salah seorang wakil dari Islamic Relief of Malaysia (IRM)yang berkhidmat sebagai assistant officer di Charity Shoppe & Event, saudara Mohd Ridzuan Othman yang mana beliau menerangkan mengenai gerak kerja Islamic Relief Malaysia (IRM) dalam menangani isu-isu kemanusiaan antarabangsa, khususnya gerak kerja pengumpulan dana untuk disumbangkan terus kepada pihak yang memerlukan.
Charity Shoppe & Event merupakan salah satu badan perniagaan di bawah kelolaan Islamic Relief of Malaysia (IRM), yang menjalankan perkhidmatan jualan amal, bertemakan slogan ‘Jom Bersama Kami, Beli Dari Kami, Derma Kepada Kami’. Perniagaan ini menggunakan konsep menjual barangan berkualiti terpakai dengan harga rendah dari harga semasa dan hasil dari jualan akan digunakan untuk membiayai projek amal jariah di dalam dan luar negara serta untuk operasi kedai.
Program Street Dakwah yang berlangsung selama 2 jam, berakhir pada jam 5.30 petang turut berjaya mengumpul sumbangan orang ramai sebanyak RM2500. Bahagian terakhir bagi program ini ialah sesi penyerahan wang sumbangan orang ramai yang diserahkan oleh pihak Urus Setia Kesenian Pelajar (UKP), En. Ismail Ahmed kepada wakil Islamic Relief of Malaysia (IRM) iaitu Puan Norelan Ismail. Program kolaborasi seperti ini amat relevan dan seharusnya diteruskan pada masa depan dalam meletakkan dakwah sebagai tunjang utama persembahan. Umum mengetahui bahawa persembahan nyanyian jalanan (busking) merupakan satu trend baru dalam seni muzikal. Ternyata Urus Setia Kesenian Pelajar (UKP) USIM bijak menggunakan pendekatan dakwah yang selari dengan kehendak pendengar masa kini.
Dengan ini, jelaslah bahawa peranan USIM dalam mempraktikkan integrasi ilmu Naqli dan Aqli kepada masyarakat luar semakin mendapat perhatian, sekaligus membuka mata dan minda masyarakat bahawa mahasiswa kelahiran USIM juga mampu untuk bergiat aktif dalam dunia seni muzikal sebagai salah satu cabang metodologi dakwah kontemporari. Justeru, masyarakat perlu mengambil ibrah ataupun pengajaran dalam perlaksanaan program USIM Street Dakwah ini menerusi dua sudut, iaitu kaedah penyampaian dakwah secara santai kepada masyarakat, dan meningkatkan sifat kemanusiaan dalam diri, agar mampu untuk mencipta sebuah negara Islam yang berkebolehan dan berketerampilan untuk berdakwah dalam pelbagai bidang, khususnya seni muzikal dan kesukarelawanan kemanusiaan.
Laporan: Ejen Berita Adnin Razak