Disediakan oleh :
Rozihani Mohamad
Ketua Unit Pengurusan Dokumentasi dan Penerbitan Kreatif

NILAI, 30 Oktober – Sempena memperingati detik bersejarah kelahiran Baginda Nabi Muhammad SAW serta menghayati sirah dan sunahnya Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) julung kalinya menganjurkan program USIM Berselawat Secara Maya. Biar pun pandemik Covid-19 sudah memasuki gelombang ketiga namun ianya tidak menghalang program secara tahunan ini diadakan dengan konsep dalam talian sesuai dengan gaya norma baharu kini.

Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Ismail Ahmed berkata “USIM Berselawat diadakan bagi tujuan mengimarahkan kasih sayang kita terhadap junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Kebiasaannya program ini diadakan dengan pengisian tazkirah dan persembahan selawat secara langsung, namun pada kali ini dijalankan secara maya dan tetamu yang dijemput dapat menyaksikan dan mengikuti semua acara yang berlangsung melalui paparan visual menggunakan aplikasi zoom.”

Prof. Dr. Mohamed Ridza Wahiddin, Naib Canselor USIM

Dalam pada itu, Naib Canselor USIM, Prof. Dr. Mohamed Ridza Wahiddin menzahirkan rasa syukur dan terima kasih atas inisiatif yang dilakukan oleh Pusat Kebudayaan USIM dalam menyantuni masyarakat untuk menambahkan kecintaan kita kepada junjungan Nabi Muhammad SAW di samping meningkatkan lagi ketaatan kita kepada Allah SWT. Kata beliau menerusi ucapan aluannya.

USIM Berselawat dikendalikan oleh seorang pengacara majlis dan berinteraksi secara maya bersama semua tetamu jemputan. Pada kali ini USIM Berselawat turut disertai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri. Melalui program tersebut beliau menyampaikan tazkirah ringkas mengenai Nabi Muhammad SAW dan diakhiri dengan bacaan doa khas bagi memohon kesejahteraan dan keselamatan rakyat Malaysia dari pandemik Covid-19.

YB Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

USIM Berselawat turut mengundang pengacara TV terkenal Ahmad Fedtri Yahya yang juga Karyawan Seni USIM berkongsi mengenai pengalaman beliau semasa terlibat dalam pengambaran rakaman program Jejak Rasul.

Ahmad Fedtri Yahya, Personaliti TV yang juga merupakan Karyawan Seni USIM

Hampir 40 tetamu yang dijemput menyertai USIM Berselawat secara maya termasuklah Naib Canselor USIM Prof. Dr. Mohamed Ridza Wahiddin serta pihak pengurusan Tertinggi Universiti, rakan strategik seperti USIM Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka Datuk Dr. Awang Sariyan, Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, Karyawan Seni USIM Dato’ Nash, Sharifah Khasif, Ikon-ikon Seni USIM serta ramai lagi. Program USIM Berselawat secara maya turut disiarkan secara langsung melalui facebook Pusat Kebudayaan USIM.