11 JANUARI, Kuala Pilah: Peribahasa Melayu menyebut “Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”. Inilah yang digambarkan kepada kumpulan Tingkah Irama Kelab Pengurusan dan Persembahan Seni USIM apabila dinobatkan sebagai juara Malam Gema Caklempong 2026 sempena Hari Keputeraan ke-78 DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Pecubaan kali pertama berada pentas besar bukanlah suatu perkara mudah dan peluang yang ada tidak disia-sia apabila mereka berjaya memperoleh kemenangan.
“Kejayaan ini merupakan hasil kerjasama, disiplin dan komitmen tinggi seluruh ahli kumpulan walaupun latihan hanya dijalankan dalam tempoh dua minggu. Kemenangan ini bukan sahaja menjadi pencapaian manis buat pasukan, malah menjadi motivasi untuk terus memartabatkan seni caklempong dan warisan budaya Melayu di peringkat yang lebih tinggi.” Ujar Muhammad Afif Syafiq Abu Samah, 22 tahun, penuntut tahun tiga Fakulti Syariah dan Undang-undang juga merupakan ketua kumpulan Caklempong, Tingkah Irama.
Setiap kumpulan perlu mempersembahkan empat lagu dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan dan bebas menampilkan kreativiti megikut kesesuaian persembahan. Kumpulan Tingkah Irama yang dianggotai seramai 17 orang telah mempamerkan keunikan dengan menghasilkan elemen fusion melalui lagu Joget Cinta Sakti sebagai kemuncak persembahan kumpulan. Lagu ini menggabungkan irama tradisional dengan suntikan gaya persembahan dinamik dan segar. Persembahan yang didendangkan turut membawa suasana ceria serta menggambarkan keharmonian, semangat muafakat dan kegembiraan dalam kehidupan bermasyarakat.

Sementara itu, lagu asal Negeri Sembilan yang bertajuk Pantun Sorbo Tak Kono membuka tirai pembukaan dengan menampilkan aksi berbalas pantun sebagai lambang kebijaksanaan dan kesantunan masyarakat Melayu Negeri Sembilan. Persembahan ini mengekalkan bentuk asal irama Caklempong dengan menggunakan sepenuhnya instrumen tradisional caklempong dan pergendangan melayu tanpa sokongan alat muzik moden seperti gitar dan keyboard. Pendekatan ini menonjolkan persembahan caklempong secara khusus, sekali gus mengekalkan struktur muzik, keaslian bunyi dan nilai estetika tradisional Negeri Sembilan. Persembahan kedua diikuti dengan lagu Bagaikan Sakti yang dimainkan secara instrumental (tanpa nyanyian). Ia memberi penekanan kepada kekuatan bunyi caklempong sebagai medium utama dengan dipersembahkan denga gaya tersendiri bagi menunjukkan kemahiran pemuzik. Persembahan diakhiri dengan dendangan lagu Teromba Berdendang yang mengangkat perbilangan adat sebagai jalur resam hidup tanah beradat Negeri Sembilan.

Hasil kejayaan tersebut, kumpulan Tingkah Irama berjaya membawa pulang wang tunai RM3,000.00 berserta piala, manakala tempat naib johan dimenangi oleh De Bo’jangs dan tempat ketiga Indera Mestika daripada Kolej Mara Seremban.
Malam Gema Caklempong 2026 Sempena Hari Keputeraan ke-78 DYMM Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan anjuran Kelab Teater ASAR Negeri Sembilan dengan sokongan Yayasan Hasanah serta kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Pilah menyaksikan tiga kumpulan layak ke peringkat akhir daripada lapan kumpulan yang menyertai di peringkat saringan yang telah diadili oleh juri melalui tayangan video.
Disediakan oleh:
Rozihani Mohamad
Unit Pengurusan Dokumentasi dan Penerbitan Kreatif
Pusat Kebudayaan