Disediakan oleh:
Rozihani Mohamad
Ketua Unit Dokumentasi dan Penerbitan Kreatif
Pusat Kebudayaan USIM

 

KUANTAN, 20 Mac 2022 – Menyebut nama SISO KOPRATASA, ramai yang mungkin hanya menyangka beliau cuma penulis lirik. Namun dengan membaca naskhah biografi berjudul Siso Kopratasa: Dari Balok ke Pentas Seni’ yang diterbitkan oleh Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan usahasama Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), para pembaca akan menyedari rupanya begitu banyak gelanggang yang diceburinya sehingga layak digelar anak seni berkaliber.

 

Buku ‘Siso Kopratasa: Dari Balok ke Pentas Seni’  mengandungi lapan bab perceritaan yang membongkar kisah membongkar kisah perjalanan anak seni Siso Kopratasa daripada kehidupan awal beliau bermula dari kampung asalnya di Balok, Kuantan sehingga berhijrah ke kota raya Kuala Lumpur. Penglibatan dalam bidang teater, filem, penulisan skrip, pengarah, khidmat bersama RTM.

 

Buku biografi ini merupakan penghargaan atas sumbangan tokoh Syed Indera Syed Omar atau lebih sinonim dengan Siso Kopratasa atas pengalaman beliau yang panjang sebagai penggiat seni; 36 tahun bergelar penulis lirik, 30 tahun penulis skrip, 25 tahun sebagai penata vokal dan 20 tahun sebagai ahli panel persembahan dan pengarah lakon.

Memulakan karier sebagai anak seni sejak tahun 1986 dan terus melangkah hingga tidak tertumpu kepada satu bidang seni sahaja. Siso Kopratasa mempunyai jiwa kental dan kian gagah bermula dari tiada apa-apa sehingga mendaki satu demi satu tangga kejayaan dan karier. Mengimbas semula kenangan di awal pembabitan dalam penulisan  lirik Cinta Remaja yang menjadi lagu tema filem Rozanna Cinta ‘87  menjadi  lirik paling bermakna bagi SISO. Sentuhan magis Siso Kopratasa terus mewarnai industri muzik tanah air seperti lirik  ciptaanya lagu  Nyanyian Rebah (Aris Ariwatan), Siapa Di Hatimu (Rahmat Ekamatra), Luka Seribu Rindu (Shamrin Fotograf), Harum Subur Di Hati (Bumiputra Rockers) antara lagu berunsur rok ciptaannya yang pernah hit dalam arena industri muzik. SISO meluaskan lagi pengaruh seninya dengan mula menulis lirik lagu patriotik sekitar tahun 2000. Keranamu Malaysia merupakan lirik pertama yang dihasilkan melalui genre ini kemudiannya disusuli dengan Jalur Gemilang pada tahun yang sama. Keranamu Malaysia menjadi lagu tema Hari Kebangsaan selama enam tahun berturut-turut.  Antara lirik patriotik yang menjadi karya agungnya termasuk Sehati Sejiwa (Aliff Satar), Malaysia Tercinta (Adibah Noor), Bunga Raya (Aisyah), Satu Malaysia (Swara), Cemerlang Gemilang Terbilang  (Koir Gemersik Chorus) dan banyak lagi.

 

Di USIM, Siso Kopratasa merupakan Karyawan Seni USIM yang aktif menyumbang tenaga dan kepakaran dalam program libat sama komuniti dan mahasiswa sejak tahun 2008 hingga kini. Selain itu, Siso juga telah dianugerahkan sebagai Karyawan Seni Aktif Pahang oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Pahang.

 

Lebih menarik, penerbitan buku ini juga merupakan hasil sentuhan alumni USIM apabila ia ditulis oleh Ikon Seni USIM yang merupakan anak jati Pahang, Wan Nor Zadilah Wan Mohamad atau nama penanya Wanza Mohamad manakala kerja-kerja kreatif seperti reka bentuk kulit buku, reka  letak kandungan dan suntingan oleh Muhammad Alif Omar Abdul Jalil. Kedua-kedua mereka merupakan ahli Grup USIM Art Prosumer (GUAP).

 

Menjadi naskhah buku yang sesuai dijadikan inspirasi kepada generasi muda yang menanam cita-cita untuk menceburi bidang seni, ia telah dilancarkan oleh Timbalan Menteri Kewangan I merangkap Ahli Parlimen Paya Besar, Yang Berhormat Dato’ Indera Mohd Shahar Abdullah.

 

Dalam ucapannya, beliau menekankan penghasilan karya kreatif adalah salah satu alternatif untuk  menggalakan masyarakat menambah minat membaca keraa ia sangat penting dalam mendidik masyarakat dan membina peradaban dan ketamadun bangsa. “Dengan penulisan ini juga tema berkaitan semangat cintakan tanah air, jati diri bangsa pasti dapat ditingkatkan dan menyuburkan benih-benih perpaduan dalam kalangan masyarakat  sebagai membentuk kukuh ikatan Keluarga Malaysia”. Ujarnya

 

Selain itu hadir mewakili pengurusan USIM Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr. Adnan Mohamed Yusoff berkata, penerbitan buku ini selari dengan peranan USIM sebagai sebuah pusat pengajian yang menghimpunkan maklumat penting untuk diterbitkan dan didokumentasikan kerana ianya merupakan maklumat atau ilmu tersirat (tacit knowledge) yang boleh dijadikan sebagai rujukan dan inspirasi kepada masyarakat luar.

 

Dalam pada itu, Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Ismail Ahmed berkata “Peranan penggiat, pentadbir dan pengkaji seni saling berkaitan. Melalui penghasilan buku biografi ini peranan, sumbangan ketiga-tiga pihak memperlihatkan bahawa pentingnya gabungan generasi lama seperti Siso Kopratasa dan alumni USIM sebagai generasi baharu menghasilkan produk dengan pemikiran baharu yang mereka miliki”.

 

Buku ‘Siso Kopratasa: Dari Balok ke Pentas Seni’ dijual dengan harga RM70.00 yang boleh diadapati secara atas talian di www.kedaibudaya.com atau dibeli di Pusat Kebudayaan USIM.

 

Turut hadir dalam majlis pelancaran buku ini adalah pengurusan universiti, Pengarah Urusan ITMB, Encik Sakri Abdullah, ahli kumpulan Kopratasa iaitu Usop, Sani Sudin serta  penyair dan penggiat seni Pahang dan tanah air.