Nilai, 15 Januari – Organisasi Urus Setia Kesenian Pelajar (UKP) Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) sesi 2015/2016 kini dibarisi wajah baharu dengan pelantikan dan penyerahan tugas yang berlangsung baru-baru ini.
Bertempat di Dewan Senat, Canselori, USIM, majlis pelantikan ini bertujuan mengangkat imej dan peranan Urus Setia Kesenian Pelajar (UKP) dalam penglibatan program di universiti disamping penjenamaan Urus Setia Kesenian Pelajar itu sendiri.
Encik Ismail Ahmed, selaku pengarah Pusat Kebudayaan USIM berkata, peranan Urus Setia Kesenian Pelajar tidak hanya terhad dalam lingkungan pelajar malah banyak menyumbang ke peringkat yang lebih tinggi, contohnya dengan program USIM Street Dakwah yang telah berjaya menembusi media.
Tambahnya lagi, Pusat Kebudayaan tidak pernah lekang dalam memperkasakan aktiviti dan program yang bakal dianjurkan kelak selaras dengan matlamat Mengangkasa Seni Berbudaya.
YBhg. Profesor Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dalam ucapan perasmiannya mengucapkan sekalung tahniah kepada barisan wajah baharu yang dilantik.
Beliau turut memuji gerak kerja Pusat Kebudayaan selain menyifatkan penglibatan UKP ini sebagai sebuah medium yang berkesan dalam proses pembelajaran kemahiran insaniah dalam kalangan pelajar.
Menurutnya Pusat Kebudayaan mampu merealisasikan matlamat universiti tahun 2016 untuk meneroka dan menguasai serantau bukan hanya terhad di USIM sahaja. Beliau berharap agar tampuk pimpinan baharu dengan dibimbing pimpinan lama dapat menjalankan tanggungjawab dengan telus seperti yang digagaskan.
Sementara itu, Hafi Huzaifah Hussin, Pengerusi Urus Setia Kesenian Pelajar 2015/2016 turut menyuarakan harapannya agar semua kumpulan dapat memberi komitmen dan kerjasama yang baik dalam menjayakan program anjuran universiti.
“Semoga Urus Setia Kesenian Pelajar (UKP) dapat melakar lebih banyak kejayaan bersama selaras dengan hasrat USIM menuju ke arah pusat rujukan peringkat serantau dan pusat rujukan Integrasi Ilmu Naqli dan Aqli,” katanya yang ditemui selepas majlis.
Urus Setia Kesenian Pelajar (UKP) merupakan badan pelajar dibawah kelolaan Pusat Kebudayaan USIM yang banyak menyumbang kepada kecemerlangan universiti melalui aktiviti seni berbudaya.
Terdapat 16 kumpulan dibawah naungan Pusat Kebudayaan USIM iaitu Pengurusan Seni, Cak Lempong, Tarian, Dikir Barat, Seni Khat, Seni Lukis, Koir, Nasyid, Qasidah, Muzik Moden, Teater, Penulisan Kreatif, Perkusi, Silat Persembahan, Ejen Berita dan Multimedia.
Disediakan oleh:
EB Khairul Bariyah Ismail