Oleh:
Rozihani Mohamad
Ketua Pengurusan Dokumentasi dan Penerbitan Kreatif
Pusat Kebudayaan USIM
31 Julai – Nilai: Ungkapan ‘jangan jaga tepi kain orang’ tidak lagi popular di musim pandemik kini. Seharusnya kita mengamalkan sikap mengambil berat dan menjaga silturahim sebagaimana yang dituntut dalam Islam. Mengulas lanjut panel Borak Rakyat siri 4 Yang Berhomat Senator Datuk Wan Zaleha Mohd Radzi, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) berkata, “masyarakat perlu peka dan tahu mengenai kondisi jiran sekeliling dan mengambil berat agar dapat mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku. Kita sering membaca di akhbar mengenai penderaan kanak-kanak, isteri yang dipukul suami dan kini lebih membimbangkan apabila ada kalangan masyarakat yang tiada atau kehabisan makanan untuk dimakan. Isu ini semakin rumit apabila ramai yang kehilangan pekerjaan dan kemiskinan semakin bertambah”. Ujar YB Senator membuka bicara mengenai isu berkaitan ‘Penderaan OKU: Ke mana Hilangnya Kemanusiaan’ anjuran Pusat Kebudayaan USIM menerusi program bual bicara tersebut. Beliau menambah pelbagai kemungkinan dan kesan buruk boleh berlaku dalam masyarakat sekiranya sikap peduli insan ini dianggap seperti ‘menjaga tepi kain orang’.
YB Senator turut mengaitkan contoh kes penderaan adik Bella yang kini masih pemerhatian siasatan dan wajar diberi perhatian serius oleh masyarakat.
Dalam pada itu Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sembilan, Rosnah Sardi yang diundang sebagi panel mengulas mengenai empat perkara yang diberi keutamaan dalam aspek perlindungan kanak-kanak iaitu pengabaian, penderaan, keganasaan dan eksploitasi.
Kata beliau, “pengabaian termasuk dalam bentuk yang ditinggalkan, tidak diberi kemudahan, keperluan asas dan perlindungan sewajarnya. Manakala, penderaan ini suatu tindakan yang mencederakan fizikal, emosi dan gangguan seksual terhadap kanak-kanak dan boleh memberi kesan dalam jangkamasa panjang kepada pemangsa seperti trauma dan sebagainya. Seterusnya keganasan kalangan kanak-kanak kini semakin tinggi dilihat dalam konteks pengajaran dan mendidik kanak-kanak da pendekatan yang digunakan untuk mendisplinkan kanak-kank tidak sesuai. Seterusnya eksploitasi dianggap seperti menyebarkan gambar bertujuan untuk perniagaan dan aktiviti yang mempergunakan kanak-kanak bagai wakil jualan produk, mengutip derma dan sebagainya. Empat aspek ini adalah tanggungjawab seluruh masyarakat dan kita juga harus memainkan peranan dalam usaha mengawal agar kejadian seumpama ini tidak berlaku”. Rosnah menegaskan perkara ini sejajar dengan Dasar Pelindungan Kanak-kanak Negara. Dasar ini diwujudkan sebagai penggalak kepada semua pihak termasuk agensi, NGO dan masyarakat umumnya untuk memberi perlindungan kepada kanak-kanak kerana kanak-kanak merupakan modal insan kepada negara.
“Kerap dipaparkan oleh media di mana penghuni sesebuah rumah itu tidak dikenali kerana tidak bergaul dengan masyarakat dan lebih memburukkan keadaan apabila terbongkar dan akhirnya kita sedih dan marah apabila mengetahui kejadian penderaan telah berlaku dan mangsa tersebut merupakan kanak-kanak”. Senator turut menyatakan bahawa tekanan yang dihidapi oleh masyarakat pada saat ini bukanlah satu helah pelepasan emosi dengan mendera atau bertindak di luar kawalan hingga mencederakan orang lain. Beliau turut menekankan bahawa media memainkan peranan penting dan masyarakat adalah wakil sebagai ‘mata-mata’ untuk memerhati apa yang berlaku di kawasan mereka. Dengan situasi pendemik ketika ini lagi tidak dapat dinafikan bahawa semakin tinggi tekanan yang dialami oleh masyarakat dan banyak faktor mendorong mereka untuk bertindak di luar batasan.
Akhir bicara Rosnah menyifatkan bahawa penderaan terhadap orang kurang upaya khususnya kanak-kanak akan membawa kesan hingga ke akhir hayat. Terdapat kes di mana akhirnya membawa hingga ke penyakit mental dan perkara ini tidak wajar daripada terus berlaku. Katanya “walaupun kita mempunyai fasa rawatan tertentu namun ianya bukan suatu perkara mudah kerana ia membabitkan tempoh pemulihan yang agak lama”. Dalam pada itu, Senator menyeru kepada serluruh masyarkat agar tingkatkan rasa kasih sayang dan kebersamaan untuk menjalani kehidupan dalam suasana norma baharu. Situasi getir ini dihadapi oleh semua peringkat malah seluruh dunia dan seluruh masyarakat tanamkan tanggungjawab bahawa OKU juga insan yang perlu diberi peluang untuk merasai nikmat hidup yang bermakna.
Program bual bicara Borak Rakyat disiarkan secara langsung di facebook dan siaran youtube rasmi Pusat Kebudayaan USIM bermula jam 11 pagi mendapat sokongan dan perhatian melalui komentar audiens.