28 Julai, Kuala Lumpur – Kumpulan dikir barat Tabuh Pendeta Kelab Pengurusan dan Persembahan Seni, Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah dinobatkan sebagai naib johan pertandingan Dikir Barat Piala Datuk Bandar Kuala Lumpur. Pertandingan tersebut diadakan di Tasik Danau Kota dengan menyaksikan 10 kumpulan yang bertanding di peringkat saringan dan empat kumpulan telah terpilih ke peringkat akhir.

Kumpulan Tabuh Pendeta yang diwakili 20 orang ahli menggabungkan pelajar dan alumni USIM. Dengan tema penganjuran Sayangi Kuala Lumpur, Tabuh pendeta telah berupaya mempersembahkan persembahan yang unik dan terisi dengan karangan pantun menceritakan tentang keindahan Kuala Lumpur yang menjadi tumpuan dan sering dikunjungi dan dilawati oleh pelancong dalam dan luar negara seluruh dunia.

Menurut ketua kumpulan Muhammad Haziq Muhammad Fadzil berkata, “latihan yang dijalankan mengambil masa agak singkat dan pengumpulan kesemua ahli tidak dapat diadakan selalu disebabkan kalangan kami ada yang telah bekerja, namun itu bukan penghalang untuk kami berlatih bersungguh-sungguh”.

Dalam pada itu, Tabuh Pendeta turut merangkul Anugerah Pemuzik Terbaik. Juara pertandingan dimiliki oleh kumpulan Warisan Seri Samudera dengan merangkul trofi dan beserta wang tunai RM5000.00, manakala Sari Adi Ratna mendapat tempat ketiga dengan memenangi wang tunai sejumlah RM2,000.00 beserta trofi.

Acara penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Sr Kamarulzaman Mat Salleh dan turut hadir menyaksikan acara tersebut Ahli Parilmen Wangsa Maju, YB Zahir Hassan, penggiat seni dikir barat tanah air. Pertandingan akhir pada malam itu turut dimeriahkan dengan persembahan artis jemputan oleh Din Manjo, Eda Ezrin, Mek Yun, kumpulan Arjunasukma dan ramai lagi.

Disediakan oleh:
Rozihani Mohamad
Ketua
Unit Pengurusan Dokumentasi dan Penerbitan Kreatif
Pusat Kebudayaan USIM
0122193110