Oleh:
ROZIHANI MOHAMAD
Ketua Unit Pengurusan Dokumentasi dan Penerbitan Kreatif
Pusat Kebudayaan
Universiti Sains Islam Malaysia

27 Mei 2021, Nilai – Sokongan dan perhatian masyarakat dunia kian memuncak pada bumi Palestin yang kini seperti tiada surut akibat kekejaman rejim Zionis. Peperangan dan penganiayaan yang berlaku terhadap rakyat Islam Palestin sesuatu yang tidak boleh dipandang enteng. Menyedari hakikat itu, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) tidak terkecuali bergabung ekspresi memerangi kekejaman rejim Zionis dengan tujuan solidariti terhadap Palestin. Penentangan kepada musuh yang ingin menghapuskan umat Islam harus ditentang sekeras-kerasnya. Penganjuran program Munajat Untuk Palestin oleh Pusat Kebudayaan USIM merupakan usaha untuk meningkatkan kesedaran dan keinsafan dalam hati sanubari umat Islam untuk membantu dan menggambarkan suara kemanusiaan sejagat.

Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Ismail Ahmed menyifatkan bahawa suara-suara semangat menentang keganasan harus ditonjolkan dalam pelbagai bentuk. Melalui medium seni kita harus terkehadapan dan muncul untuk menunjukkan solidariti kepada Palestin. Beliau turut menyatakan bahawa laungan suara seni juga mampu meningkatkan semangat kebersamaan kita kepada Palestin.

Pengisian Munajat Untuk Palestin yang diadakan secara dalam talian dimulai dengan persembahan nyanyian Seperti Inikah Dunia nyanyian duet oleh Ikon Seni dan pelajar USIM, diikuti perkongsian mengenai masjid al-Aqsa: Sebuah Muhabasah dari Karyawan Seni USIM, Ahmad Fedtri Yahya. Persembahan deklamasi puisi turut disertai oleh Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni).

Dalam pada itu Naib Canselor berkata “penyatuan umat Islam dapat dibentuk dalam pelbagai cara dan USIM menyahut usaha secara kreatif ini amat bertepatan dengan suasana pandemik yang sedang kita alami kini” ujar Prof. Dato’ Dr. Mohamed Ridza Wahiddin. Beliau juga mengharapkan agar semangat berjuang terus hidup dalam diri setiap warga USIM dan sentiasa berdoa akan kesejahteraan ummah.

Munajat Untuk Palestin yang berlangsung secara dalam talian menghimpunkan sejumlah 30 orang tetamu yang dijemput untuk meluahkan rasa dan ekspresi mereka melalui bait-bait puisi. Karyawan Seni USIM ustazah Sharifah Khasif Fadzilah Syed Mohd Badiuzzaman menghuraikan terjemahan surah Ali Imran ayat ke-28 yang mengingatkan orang Islam untuk tidak menjadikan orang kafir sebagai pemimpin dikalangan orang Islam. Selain itu juga, beliau juga mengajak para tetamu dan penonton untuk melakukan solat hajat dan berdoa sebagaimana yang dilakukan oleh bapa beliau apabila mendapat berita tentang peperangan di Palestin.

Kehadiran pelajar antarabangsa USIM yang berasal daripada negara Palestin, Shehab Heba Am turut berkongsi penderitaan yang dialami oleh keluarganya yang terlibat dalam serangan Israel. Heba yakin dengan sokongan dari Malaysia dan negara sekitar dapat menghalau kekejaman terhadap negaranya Palestin. Selain itu, beberapa pelajar antarabangsa USIM daripada Jordan, China dan Indonesia turut bersemangat melaungkan solidariti kepada Palestin dengan persembahan puisi yang penuh dengan penghayatan yang dibaca dalam bahasa ibunda negara masing-masing. Program diakhiri dengan bacaan doa untuk kesejahteraan Palestin dan doa Qunut Nazilah yang dipimpin oleh Ikon Seni Mohamad Husaini Mahmur.

Antara artis yang juga Karyawan Seni USIM hadir memberi sokongan termasuklah Dato’ Nash, Siso Kopratasa, Pengerusi Majlis Usahawan Nasyid Malaysia (MUNSYID) Muhammad Razin Che Mud, staf USIM, Ikon Seni USIM dan pelajar terdiri daripada ahli Kelab Seni Budaya USIM. Munajat untuk Palestin yang disiarkan secara langsung menerusi facebook rasmi Pusat Kebudayaan USIM turut mendapat komen positif daripada rakyat Palestin dan negara jiran Indonesia.