21 September, Padang, Indonesia- ‘Jauh berjalan, luas pemandangan’ peribahasa ini tepat digambarkan oleh delegasi pengembaraan Global Islamic Student Outreach (GISO) yang telah memulakan lawatan kecemerlangan Seni Budaya Nusantara bertempat di Padang Indonesia bermula pada 17 hingga 23 September 2023. Pengembaraan di bumi Padang, Indonesia dianggap tepat bagi melihat seni dan budaya Nusantara memandangkan lokasi Padang terletak di pantai barat Pulau Sumatera, Sumatera Barat, Indonesia.
Sepanjang pengembaraan tersebut, pada hari kelima berada di Padang, program silang budaya turut diadakan bersama Institut Seni Indonesia (ISI). Program bersama ISI dijalankan tidak sekadar bertemu mata merapatkan silaturahim antara dua negara malah diadakan bertujuan melestari warisan Melayu melalui konsep pemindahan ilmu. Tarian zapin menjadi pilihan untuk dibawa sebagai simbolik tarian tradisional Malaysia dilaksanakan secara silang budaya antara Malaysia dan Indonesia. Zapin sejenis tarian rakyat tradisional yang dipersembahkan oleh masyarakat alam Melayu Nusantara, termasuk Rantau Asia Tenggara terutamanya di negara Indonesia di kebanyakan tempat seperti Sumatera, Kalimantan, Kepulauan Riau.
Mohamad Husni Zaim yang juga alumni USIM menyatakan bahawa pengajaran asas tarian ini ditarikan dengan perasaan gembira dan memek muka harus menggambarkan senyuman agar lenggok dan pergerakan tersebut turut dirasai oleh audiens. Peserta daripada ISI diajarkan secara praktikal agar mereka dapat merasai rentak yang dipelajari.
Menurut Husni, “pengalaman mengajar tarian asas zapin pekajang di ISI sangat bermakna. Dari segi proses pembelajaran, pelajar-pelajar ISI sangat pantas untuk mengikuti gerak tari zapin kerana kebanyakan mereka merupakan pelajar-pelajar yang mempunyai minat dan bakat. Tidak menjadi kesukaran bagi mereka untuk belajar tarian zapin dalam jangka masa yang singkat dan ianya lebih mudah jika sentiasa dipraktikkan” katanya ketika ditanya tentang pengalaman mengajar pelajar Indonesia.
Salah seorang pelajar kumpulan Fansuri (seni tari) Kelab Pengurusan Persembahan Seni, Pusat Kebudayaan USIM, Mohammad Aiman Abd Karim turut menyatakan bahawa pengalaman terlibat sebagai fasilitator silang budaya di ISI merupakan pengalaman yang bermakna dan menarik untuk dikenangkan kerana keunikan bahasa antara dua negara membangkit keakraban semasa program tersebut berlangsung.
Dalam pada itu, delegasi USIM juga turut diberi tutorial mengayakan tarian pring yang sememangnya amat terkenal di Indonesia. Beberapa pelajar USIM diminta mengikuti gerak tari dan cara memegang dan menghayunkan piring.
Menurut ISI, tarian zapin agak popular di Malaysia dan masih mendapat tempat Kepulauan Riau, Indonesia kerana di sini terdapat juga penempatan masyarakat Melayu.
“Postur badan mereka sudah ada dan bersesuaian serta gerak tari mereka tidak kekok memandangkan mereka memang memilliki latar belakang kesenian,” ujar guru tari ISI. Tarian piring ini digerakkan sambil memegang piring pada telapak tangan.
Pengerusi Kelab Penerbitan Kreatif, Najmi Adli Mustaffa mengatakan tarian piring yang dipelajarinya agak mencabar kerana piring yang digunakan adalah piring kaca. Walau bagaimanapun, tetap seronok mempelajari budaya yang baharu sudah pasti setiap gerak tari mempunyai falsafah yang tersendiri.
Institut Seni Indonesia merupakan kolej awam yang mengkhususkan kepada pendidikan seni dan institut ini juga terdapat di Yogyakarta, Denpasar, Surakarta dan Padang Panjang.
Disediakan oleh:
Wardhatul Miqqias Apandi
Pembantu Pentadbiran
Pusat Kebudayaan USIM