Kajang, 9 Okt – Program ‘Sembang Pohon Keranji’ yang dilancarkan di sini, merupakan sebuah program wacana sastera secara berkala yang diadakan di kediaman Sasterawan Negara ke-6, Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh di Saujana Impian. Pada program tersebut, dua pelancaran lain turut diadakan iaitu pelancaran buku “Gema Puisi Maal Hijrah” dan pelancaran Kumpulan Penyair Nasional (KHUPAS).

 

Program ini dirasmikan oleh Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Turut hadir pada program berkenaan ialah Naib Canselor USIM, Profesor Dato Dr. Musa Ahmad serta barisan karyawan yang bergiat dalam arena sastera tanah air.

 

Buku “Gema Puisi Maal Hijrah” merupakan sebuah buku yang menghimpunkan 109 puisi bertemakan Maal Hijrah yang diolah dengan gaya tersendiri hasil garapan penulis muda, amatur dan tokoh penyair tanah air. Buku ini merupakan hasil karya pelajar sekolah angkat, sekolah kluster, staf dan pengurusan tertinggi USIM, karyawan seni USIM, penyair tanah air terdiri daripada PENA, KHUPAS dan tokoh budayawan tanah air.

 

Dalam ucapan perasmian, Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak menyatakan bahawa warga USIM perlu mendampingi program berteraskan sastera dan membawa balik nilai-nilai sastera walaupun tidak secara formal kerana hakikat USIM itu sendiri merupakan sebuah universiti sains beteraskan aqli dan naqli. Beliau turut berpendapat bahawa tiada jurang pemisah antara karya sastera dan sains, bahkan kedua-duanya saing berkait antara satu sama lain.

 

“Puisi kita bukan Jerman yang buang, bukan Jepun yang buang, bukan British yang buang tapi kita sendiri yang membuangnya”, kata Sasterawan Negara ke-6, Profesor Emeritus Dr Muhammad Haji Salleh dalam ucapan alu-aluannya.

 

Turut menyerikan lagi program, persembahan deklamasi puisi oleh barisan karyawan tanah air, barisan penulis puisi karya dalam buku “Gema Puisi Maal Hijrah” dan USIM Buskers.

 

Disediakan oleh : EB Amirah Ariffin dan EB Ain Mahat