Kajang, 4 November – Sebuah majlis penghargaan sempena program Sembang Pohon Keranji yang berlangsung pada 9 Oktober lepas yang bertempat di Kediaman Sasterawan Negara ke-6 Prof. Emeritus Dr. Muhammad Hj. Salleh diadakan disini, baru-baru ini.

 

Pengarah Pusat Kebudayaan USIM Ismail Ahmed berkata, majlis ini adalah bagi menyampaikan sekalung penghargaan kepada Prof. Emeritus Dr. Muhammad Hj. Salleh dan keluarga sempena program Sembang Pohon Keranji pada 9 Oktober lepas yang bertempat di sini.

 

“Naib Canselor USIM YBhg. Profesor Dato’ Dr. Musa Ahmad turut menyampaikan surat penghargaan bersempena dengan program tersebut,” katanya yang ditemui di sini.

 

Pusat Kebudayaan USIM dalam hal ini katanya bakal menjenamakan program Sembang Pohon Keranji selain komited dalam melaksanakan program berunsur sastera puisi.

 

Prof. Emeritus Dr. Muhammad Hj. Salleh dalam ucapannya berkata, beliau sentiasa mengalukan kedatangan Pusat Kebudayaan USIM agar boleh bersama berkongsi pengalaman dan buah fikiran dalam bidang ini.

 

Beliau yang selaku salah seorang penasihat Kumpulan Penyair Nasional (KHUPAS) USIM, turut melahirkan ucapan tahniahnya di atas program Sembang Pohon Keranji tempoh hari yang turut merasmikan buku Gema Puisi.

 

“Pada hemat saya, program seumpama ini teramatlah banyak manfaatnya selain menjadi medium dalam melahirkan penyair generasi baru,” ujarnya.

 

Majlis ini turut diserikan dengan persembahan bacaan puisi dari ahli Kumpulan Penyair Nasional (KHUPAS), Ismail Ahmed, SISO Kopratasa dan Prof. Emeritus Dr. Muhammad Hj. Salleh yang dipetik dari buku Gema Puisi Hijrah yang baru dilancarkan di Majlis Sembang Pohon Keranji, 9 Oktober yang lalu.

 

Rozihani Mohamad, Pegawai Pusat Kebudayaan selaku peneraju program berkata, program Sembang Pohon Keranji tempoh hari amat bermakna dan berbeza dari program Pusat Kebudayaan sebelum ini.

 

“Penat lelah pihak kami dalam menjayakan program Sembang Pohon Keranji tempoh hari benar-benar berbaloi dan tidak akan berjaya tanpa bantuan Prof. Emeritus Dr. Muhammad Hj. Salleh sekeluarga,” tambahnya lagi.

 

Sementara itu, Hadzizie Rasidi, ketua Kumpulan Penyair Nasional (KHUPAS) USIM berkata, beliau berasa amat teruja kerana dapat bertukar buah fikiran berkenaan bidang sastera dan puisi bersama Prof. Emeritus Dr. Muhammad Hj. Salleh, Sasterawan Negara yang beliau kagumi.

 

“Program seumpama ini boleh dikatakan menyalurkan inspirasi untuk saya dan ahli Kumpulan Penyair Nasional (KHUPAS) USIM lain untuk terus mendalami dan memperjuangkan seni puisi sekaligus mengharumkan nama Pusat Kebudayaan dan USIM sendiri,” ujarnya lagi.

 

Penyampaian sijil penghargaan beserta gambar majlis Sembang Pohon Keranji kepada Prof. Emeritus Dr. Muhammad Hj. Salleh disempurnakan oleh Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Ismail Ahmed.

 

Disediakan oleh: EB Khairul Bariyah