Disediakan oleh:
Rozihani Mohamad
Ketua Unit Dokumentasi dan Penerbitan Kreatif
Pusat Kebudayaan USIM
28 November, Nilai- Sembang Bukan Gebang (SBG) sekali lagi tampil dengan musim kedua dengan topik yang lebih variasi. Tidak hanya tertumpu kepada komuniti budaya SBG kini meluas dan mendekati pelbagai kelompok masyarakat. SBG mengekalkan konsep yang sama dengan menampilkan tiga hos iaitu hos utama dan dua hos jemputan serta tiga panel yang terdiri dari kalangan pentadbir seni, pengkaji seni dan penggiat budaya. Peralihan situasi pandemik ke endemik menjadikan program secara dalam talian semakin popular dan budaya baharu ini dilihat berupaya menarik perhatian masyarakat untuk terlibat sebahagian daripada virtual tersebut. SBG musim kedua diadakan sebanyak lapan episod yang bermula pada 10 Oktober dan akan berakhir pada 28 November 2021 membicarakan tentang topik Masakan Tradisional Melayu: Sedap vs Sihat, Terapi Seni Dalam Perubatan Melayu: Benar atau sekadar Gimik, Pemuzik Tradisional Melayu: Wira Tidak Didendang, Tarian Tradisional: Rekonstruksi Identiti Dalam Gerak Tari, Hang Tuah: Simbolisme Wira Alam Melayu, Filem Malaysia Ke Oscar: Siapa Mat Jenin?, Intensiti Syiar Islam Dalam Seni Budaya Melayu, dan episod akhir Masa Depan orang Seni : Di Antara Cabaran dan Peluang.
Menurut Pengarah Pusat Kebudayaan penerbit SBG, Ismail Ahmed berkata siaran SBG musim kedua dilihat semakin meluas kumpulan sasaran penonton yang ingin didekati. Skop budaya tidak hanya terbatas dalam ruang lingkup seni sahaja bahkan ianya bersifat inklusif dan terkandung dalam perkara-perkara lain seperti dalam masakan Melayu. Sebagai tukang masak seseorang itu perlu ada seni memasaknya tersendiri termasuk juga hiasan masakkanya agar kelihatan menarik dan menyelerakan.
Menurutnya lagi, selain Adiwangsa Sukma sebagai hos utama, Karyawan Seni USIM Siso Kopratasa turut bersamanya sebagai hos jemputan dan diikuti oleh penggiat teater tanah air Badrul Munir Md Isa atau lebih dikenali dengan nama pentasnya Pak Abang. Dalam pada itu, SBG pada kali ini turut melibatkan staf Akmal Razali, Ikon Seni USIM Muhammad Izat Abdul Majid, Ahnaf Bakar sebagai hos jemputan menerusi beberapa episod. Penglibatan mereka sebagai alumni sebagaimana yang dihasratkan oleh pengurusan tertinggi USIM yang mahukan alumni kembali berbakti menyumbang pengalaman dan kepakaran sebagaiman tagline USIM Berjanji kepada Ibunda.
Melibatkan sejumlah 25 panel jemputan iaitu chef profesional Chef Johari Edrus, Chef Fikree Aznan, Pakar Diet Klinikal Mohd Khairul Azuan, tokoh seni budaya Che Mohd Nasir Yusoff, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara(JKKN) Kelantan Rosnan Rahman, Pensyarah Kanan (Kaunseling Psikologi) Universiti Utara Malaysia, Dr. Azizah Abdullah, tokoh muzik tradisional Zin Ngah, Pensyarah Kanan Muzik Tradisional Melayu Mohd Kamrulbahri Hussain atau dikenali sebagai Wak Long, Pengarah JKKN Pahang Dayang Kartini Awang Bujang, pengarah syarikat Pak Ngah Production Datin Sharifah Mahani Syed Kassim atau dikenali sebagai Mak Ngah, karyawan seni tari tanah air Mahmood Ibrahim, Wan Mohd Nor Wan Alam, pakar sejarah Universiti Malaya Prof. Emeritus Datuk Wira Dr. Mohd Yusoff Hashim, Ketua Satu Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) Datuk Haji Zainal Abidin Datuk Wira Haji Borhan, ahli waris Lembaga Amanah Persatuan Seni Silat Gayong Malaysia, Tn. Haji Anuar Haji Abdul Hamid, pengarah dan pelakon filem Namron, penerbit filem dokumentari dan tenaga pengajar Idrani Kopal, pengarah filem U-wei Hj. Saari, Pengerusi Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka yang juga Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, pengacara dan personaliti TV3 Ahmad Fedtri Yahya, penulis lirik S. Amin Sahab dan episod akhir menampilkan artis Siso Kopratasa, Dato’ Nash, komposer Fauzi Marzuki serta pelakon drama dan filem tersohor Dato’ Ahmad Tamimi Siregar.
SBG musim kedua ini dibuat sedikit pembaharuan dengan menampilkan juga panel jemputan secara panggilan semasa siaran secara langsung untuk mendapatkan maklum balas dan pandangan daripada mereka yang terlibat atau terbabit dalam topik yang dibincangkan.
“Bicara SBG merupakan wadah yang membuka ruang perbincangan secara dinamik. Sebagai contoh apabila berbicara topik seni, terdapat pandangan dari generasi lama dan baharu dan ini bagi saya ianya dapat membuka mata dan pemikiran baharu terhadap kelompok atau penggiat seni. Pandangan yang dikemukakan oleh mereka yang terlibat dan aktif dalam bidang seni kini sudah berbeza sejak zaman 20 tahun lalu, dan jika ada yang sama amalannya mungkin sedikit berbeza sesuai dengan peredaran zaman”. Ujar Siso Kopratasa yang terlibat sebagai panel dan hos SBG musim pertama dan kedua.
Dalam pada itu, menurut Chef Jo kerjaya sebagai chef atau tukang masak merupakan kerjaya profesional sama seperti kerjaya lain namun untuk mencapai gelaran chef seseorang perlu menajalani latihan dan memperolehi sijil yang diiktiraf dan melibatkan diri dengan aktiviti lapangan. Semua perkara berkaitan masakan, asal usul, ramuan atau bahan masakan yang merangkumi khasiat, cara penyimpanan, penyusunan dan pengunaan pinggan atau aksesori hiasan perlu dipelajari dan perlu ada pakar rujuk untuk dijadikan sebagai mentor dalam perkembangan kerjaya sebagai chef. Menurut beliau lagi, makanan tradisional juga dikenali sebagai makanan warisan dan terdapat 213 menu makanan warisan Malaysia dalam kategori Warisan Tidak Ketara seperti asam pedas, lemang, ketupat dodol, wajik, serunding, tapai, ikan pekasam, nasi ulam, nasi lemak, kuih batang buruk, putu piring dan pelbagai lagi makanan yang disenaraikan dalam kategori tersebut oleh Jabatan Warisan Negara. Dalam kaedah memasak juga ada seni dan sainsnya tersendiri. Beliau yang juga digelar ‘Tiger of Malaya’ dan pelopor dalam bidang kulinari dan anak jati Melayu yang telah mengharumkan Malaysia di luar negara.
Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan menerusi episod tujuh, beliau ada mengulas bahawa “pengunaan bahasa melayu merupakan benih tamadun Melayu yang sangat berpotensi sebagi medium komunikasi. Misalnya pantun, ianya sudah dikaji bahawa di dalamnya kaya dengan budi bahasa, pemikiran dan falsafah hidup. Seni budaya yang paling awal ialah syair dan ianya dibawa oleh pendatang Arab. Zaman dahulu, tokoh agama Hamzah Fansuri menggunakan syair untuk menyampaikan mesej dakwah. Ini adalah kebijaksanaan ulamak terdahulu. Ulamak dahulu juga menyampaikan ilmu secara formal dan tidak formal dan pada hemat saya ianya berjalan sering dengan ilmu kerohanian. Dakwah juga disampaikan dalam pelbagai kaedah dan cara untuk membangunkan masyarakat dan seni budaya telah diadun sebati dalam budaya Melayu”.
Istimewanya program SBG tidak akan terhenti setakat bual bicara secara maya yang diadakan setiap Ahad jam 11.00 pagi, hasil program ini akan dijadikan sebagai penulisan artikel budaya berkisar tentang topik perbincangan rancangan tersebut yang bakal diterbitkan pada tahun 2022. Beliau turut menambah bahawa Pusat Kebudayaan USIM berhasrat menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) untuk menghasilkan sebuah buku Monograf Budaya Sembang Bukan Gebang di samping pembaca boleh melayari pautan video di saluran YouTube Leads TV Pusat Kebudayaan USIM untuk dijadikan sebagai rujukan kepada masyarakat.