Disediakan oleh:
Rozihani Mohamad
Ketua Unit Pengurusan Dokumentasi dan Penerbitan Kreatif
Pusat Kebudayaan USIM
27 Jun 2021, Nilai: Sembang Bukan Gebang Budaya (SBG) satu lagi buah tangan Pusat Kebudayaan USIM yang membawakan program bual bicara santai dan bebas dengan pelbagai topik perbincangan dan perkongsian pengalaman, maklumat dan kepakaran yang memberi manfaat kepada komuniti budaya. Menampilkan panel jemputan terdiri daripada gabungan 3P (Pentadbir Seni, Penggiat Seni dan Pengkaji Seni) yang pakar dalam bidang seni budaya di Malaysia dan antarabangsa.
SBG membuka tirai dengan siri pertama pada 20 Jun lalu dengan membicarakan topik mengenai Lagu Puisi. Siri Pertama ini mengumpulkan tiga panel jemputan yang berpengalaman dalam dunia lagu puisi iaitu SISO Kopratasa, Ahmad Ramli dan penggiat seni yang juga aktivis lagu puisi Badrul Hisham Abdul Hamid. Perbincangan berkisar kepada persoalan yang penciptaan lagu puisi dan era penerimaan masyarakat terhadap lagu puisi ketika tahun 90-an.
Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Ismail Ahmed berkata “Sembang Bukan Gebang Budaya menyediakan ruang kepada hos dan panel jemputan mingguan berdiskusi tanpa sempadan berkaitan hal-hal seni budaya yang akhirnya menyimpulkan rumusan yang menarik. Di musim pandemik ini, wajar kita mendekati tokoh-tokoh, penggiat, pengamal dan pentadbir serta mereka yang pakar dalam ilmu seni budaya secara terbuka untuk suntikan semangat kepada generasi muda di zaman kian mencabar ini”. Sumbangan ilmu dan pengalaman yang dipraktikkan oleh mereka telah merancakkan industri seni budaya sejak sekian lama dan sehingga kini buah fikiran mereka masih diperlukan dalam aspek pembangunan seni budaya tanah air. Pelbagai ranjau telah dilalui sebagai insan seni namun sebahagiannya tidak menolak kaedah baharu yang sesuai dan relevan pada zaman ini.
Topik Teater Malaysia menjadi fokus SBG bagi siri kedua dengan menampilkan karyawan teater Roslee Mansur, Dr. Rosminah Tahir dan Badrul Munir atau lebih dikenali dengan Pak Abang. Pada siri kali ini pula, SBG mengetengahkan dua hos iaitu Adiwangsa Sukma dan SISO Koptrasa, keduanya mempunyai pengalaman dan bergiat aktif dalam seni teater pada tahun 90-an.
Pensyarah ASWARA, Dr. Rosminah Tahir dalam perkongsiannya mengambil contoh pementasan teater 4 Dara 4 Nyonya menghadapi cabaran besar apabila jumlah pelakon dan tenaga produksi terpaksa dikurangkan dari jumlah asal untuk memenuhi keperluan SOP dalam suasana pendemik ini. Beliau turut menambah, “Walaupun terdapat limitasi seperti penjagaan jarak dan pelakon perlu memakai pelitup muka namun ianya berjaya dipentaskan dengan pematuhan SOP yang ditetapkan”. Rosminah turut menegaskan bahawa sebagai insan seni orang teater sentiasa boleh mengadapatasi dan kreatif mencipta suasana persembahan bersesuaian dengan norma kini sebagai contoh memindahkan persembahan secara langsung kepada persembahan secara maya, cuma mungkin kepuasan audiens akan berbeza”.
Dalam pada itu, Pak Abang berpandangan bahawa “Teater kini dalam fenomena baharu dan orang seni perlu rebut peluang ini untuk memastikan bahawa teater masih relevan ditonton masyarakat”.
Manakala Roslee Mansor berkata, “kelazatan dalam sesebuah teater adalah respond yang diberikan oleh audiens”. Katanya juga bahawa kepuasan tersebut dapat dirasai setelah berbulan-bulan menjalani latihan dan pementasan itu dihadiri oleh audiens yang memberi reaksi pelbagai setelah menonton dan sebaiknya penggiat teater tidak perlu merasa tersekat dengan musim pandemik ini.
Dalam pada itu teater happening atau dikenali sebagai teater jalanan perlu diberi tumpuan oleh aktivis teater dalam suasana norma baharu. Perkongsian ilmu dan pengalaman oleh panel mendapat maklum balas dan perhatian komuniti seni melalui soalan dan pandangan yang dikemukakan oleh pelayar Facebook turut dikongsi oleh hos bertepatan dengan slogan “Sembang Bukan Gebang, Kita Bincang Sampai Terang”.
SBG diadakan pada setiap Ahad jam 11 pagi, berdurasi 1 jam 30 minit menggunakan aplikasi Zoom yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook dan saluran YouTube rasmi Pusat Kebudayaan USIM sehingga 1 Ogos 2021.