Nilai, 29 Jun-Kumpulan Seni Khat Khufi Farisi Kelab Penerbitan Kreatif dengan kerjasama Pusat Kebudayaan USIM menjalankan program USIM4Community: Lestari Bakat Sahmura Seni Asas Penulisan Khat di Sekolah Kebangsaan Batang Benar.
Program ini dijalankan untuk memberi pendedahan awal kepada murid sekolah rendah terutamanya teknik asas penulisan khat. “Kita mendekati warga sekolah rendah untuk menjayakan program ini adalah untuk menyemai minat seni khat dari usia setahun jagung bak kata pepatah meluntur buluh biarlah dari rebungnya. Selain itu, saya juga berharap dapat melahirkan generasi muda yang handal menulis khat dan menghargai hasil seni tangan tersebut,” kata pengarah program, Nur Azizah Ahmad Azam.
USIM4Community ini disertai oleh 30 orang murid dibimbing oleh Ahmad Subhi Suhaimi, alumni USIM yang kini berkecimpung secara serius dalam bidang penulisan khat dan turut dibantu oleh kumpulan khat Khufi Farisi sebagai fasilitator.
Guru Panitia Pendidikan Islam, Faizah Zainuddin Islam berkata, “penulisan khat antara silibus wajib di dalam subjek Pendidikan Islam di sekolah rendah jadi program seperti ini amat membantu kami warga pendidik untuk memantapkan skill penulisan murid.”
Selain itu, peserta program Nurul Qistina menyatakan bahawa program seumpama ini amat bermanfaat dan dapat memberi pendedahan kepada murid dengan lebih meluas dan dapat mengembangkan kreativiti mereka terhadap penulisan khat. Di samping itu kerjasama penganjuran ini turut membantu persediaan sebelum berlangsungnya pertandingan penulisan khat peringkat daerah Seremban.
Menariknya penganjuran USIM4Community: Lestari Bakat Sahmura Seni Asas Penulisan Khat pada kali ini turut diadakan pertandingan penulisan khat terbaik kategori lelaki dan perempuan. Pertandingan ini dijadikan sebagai pemangkin semangat kepada murid SK Batang Benar untuk terus minat terhadap seni Islam khususnya penulisan khat.
Disediakan oleh:
EB Musfirah Hussin
Kelab Penerbitan Kreatif
Pusat Kebudayaan USIM