Oleh :
Rozihani Mohamad
Nur Syahirah Mat Yusof
Pusat Kebudayaan USIM
ALOR SETAR, 12 Februari 2020 – Sidang percambahan ilmu dan perkongsian mengenai Pengurusan Organisasi Seni Budaya di Alaf Baru: Cabaran dan Solusi telah diadakan di Dewan Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Kedah. Dialog Budaya ini diadakan bersempena dengan program Organization Enhancement Program (O-Pro) 8.0: Kembara Ilmu Zon Utara anjuran Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Sembilan yang diadakan bagi membincangkan tentang aspek pengurusan seni budaya yang kini dikelilingi banyak cabaran dan persediaan untuk menghadapi dan menanganinya.
Dialog Budaya membariskan panel terdiri daripada Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Kedah, Mohd Rizal Ismail, Pengarah Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Ismail Ahmed, Penolong Pengarah JKKN Negeri Sembilan, Farah Damayanty Ahmad dan Karyawan seni USIM Syed Indera Syed Omar (Siso Kopratasa).
Menurut Rizal Ismail, “Seni itu sendiri bersifat dinamik dan dalam pengurusan seni harus mengikut tatacara yang tersendiri dan kita harus kreatif supaya ianya dapat disampaikan dengan baik kepada masyarakat.”
Beliau menambah bahawa seni merupakan suatu benda yang halus, cantik dan indah. Maka, dalam menguruskan seni haruslah mempunyai budi bicara yang baik.”
Dalam pada itu, Ismail Ahmed, berkata “Pada masa kini, tidak ramai anak muda yang minat kepada seni. Jadi ia merupakan satu cabaran untuk meningkatkan pemahaman tentang seni dan revolusi yang sedang berlaku di alaf ini. Kita harus ingat bahawa seni adalah satu bidang ilmu dan jika dipandang nilai ketinggian nilai seni itu, maka tidak akan wujud persepsi negatif mengenai seni.” Tegas beliau sebagai pembukaan Dialog Budaya.
“Dalam memastikan kelestarian seni terus terpelihara di masa hadapan, badan – badan NGO, sekolah dan IPT haruslah memainkan peranan yang penting dalam mengekalkan seni di kalangan mereka. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama JKKN turut mengambil inisiatif dengan menghantar jurulatih seni budaya ke sekolah-sekolah untuk melatih mereka dalam aktiviti seni agar dapat memupuk nilai-nilai seni dari kecil lagi.” Ujar Farah Damayanty Ahmad, Penolong Pengarah JKKN Negeri Sembilan dalam kupasan beliau mengenai perkongsian pengurusan program yang dilaksanakan di peringkat JKKN Negeri Sembilan.
Sementara itu Karyawan Seni USIM Syed Indera Syed Omar berkongsi pengalaman beliau sepanjang berada di dalam dunia industri muzik. Menurut beliau, “Di alaf baru, pemikiran, bentuk kerja dan gerak kerja juga haruslah seiring dengan peredaran zaman yang baru. Jika diambil kemajuan teknikal, tetapi tidak seimbang dengan pemikiran maka ianya tidak dapat dilaksanakan. Sesuatu yang baharu itu boleh di ambil selagi mana ianya tidak mengubah identiti keasliannya”
Mengulas lanjut tentang peranan SCIMPA dalam membangunkan seni budaya, Ahmad Hisham Zainal Abidin berkata SCIMPA diwujudkan melahirkan ilmuan seni yang menumpukan kepada industri kreatif yang menumpukan bidang pengurusan filem, muzik, animasi dan pengurusan media interaktif. Bidang ini antara penyumbang kepada pembangunan industri kreatif negara dalam dan meningkatkan kebolehpasaran industry seni tanah air. Industri kreatif sudah pasti memainkan peranan penting ke arah usaha meningkat pasaran ekonomi digital.
Pada SCIMPA, tumpuan diberikan kepada membantu pelajar untuk mencapai potensi penuh mereka, tidak hanya kepada aspek teknikal pendidikan, tetapi juga kemahiran insaniah dan pemikiran kreatif yang akan membolehkan pelajar untuk membangunkan pemahaman yang mendalam tentang disiplin untuk mempersiapkan diri dengan kemahiran yang diperlukan untuk menceburi bidang kerjaya yang terbaik dalam industri. Ujar beliau semasa sesi Dialog Budaya yang berlangsung di Pusat Budaya dan Seni, Universiti Utara Malaysia (UUM).
Pada masa yang sama Pengarah Pusat Budaya dan Seni (PBS) Asmawiza Hussien turut menegaskan bahawa melalui bahawa program dan akviti seni budaya antara menjadi keperluan dalam pelaporan Key Performance Indeks (KPI) universiti untuk dibawa peringkat Kementerian. Beliau juga menambah bahawa usaha penggalakkan program seni budaya kampus sentiasa berterusan sebagai cabang kemahiran yang perlu dibekalkan kepada mahasiswa.
Dalam ulasan selanjutnya Ismail menyatakan bahawa golongan pentadbir, pengkaji dan kelompok pengamal atau penggiat seni perlu memainkan peranan masing-masing. Usaha memelihara seni tanah air perlu dilaksanakan dengan cara tersusun dan perlu didokong oleh strategi supaya proses tindakan dan pelaksanaan dilakukan dengan cara berkesan dan memberi impak. Dalam aspek memulihara ianya mencakupi aspek perlindungan terhadap identiti dan keaslian produk seni itu sendiri. Kita harus kenal pasti dan pertahankan identiti produk seni dan dengan mendaftarkan sebagai harta intelek kerana melalui kaedah ini produk tersebut dapat dipelihara. Dengan ini usaha ke arah pengukuhan kelestarian seni tersebut dapat ditingkatkan dengan wujudnya sokongan dan minat generasi muda untuk menjaga dan menyuburkan kesenian warisan tanah air. Dalam konteks ini pentadbir seni, pengkaji dan pengamal atau penggiat harus ada kebersamaan dan bergabung dalam apa jua aspek pelaksanaan supaya tadbir urus organisasi seni dilaksanakan secara berstruktur dan terbaik.
Dialog Budaya yang berlangsung selama dua hari dihadiri seramai 50 oleh kakitangan JKKN Kedah, mahasiswa dan kakitangan Universiti Utara Malaysia termasuk delegasi daripada Pusat Kebudayaan USIM dan JKKN Negeri Sembilan.