Kuala Terengganu, 22 November – Sosok tubuhnya kecil, namun semangat juangnya setinggi awan. Itulah yang digambarkan anak kelahiran Bahau, Negeri Sembilan Najmi Adli Mustaffa ahli Kelab Penerbitan Kreatif, Pusat Kebudayaan yang mewakili Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) muncul sebagai Johan Pertandingan Pidato Terbuka Festival Kesenian dan Dakwah Negara Peringkat Kebangsaan 2025.

Penerima anugerah Tokoh Seni Warisan Siswa KPT 2025 ibarat membilang hari yang berbaki beberapa minggu sahaja sebelum bergelar graduan USIM. Ruang yang terbentang tidak disia-siakan untuk mencabar dirinya merebut peluang bagi memahatkan nama melakar kejayaan buat kali terakhir sebagai pelajar  sekali gus mengharumkan nama USIM.

“Peluangnya tidak mungkin akan sama, selepas ini mungkin haluan akan berbeza namun inilah bukti kesungguhan dan secara peribadi kejayaan ini hadiah buat USIM, tempat yang banyak mencorak jalur kehidupan saya sebagai siswa.” Ujar Najmi apabila diumumkan sebagai johan sekali gus menewaskan saingan sengit daripada seluruh negara.

Pertandingan ini menyaksikan penyertaan awal seramai 216 peserta dari pelbagai latar belakang institusi pengajian tinggi (IPT) dan negeri yang berentap di peringkat saringan menerusi penghantaran rakaman video. Daripada jumlah tersebut, hanya 16 orang finalis kategori terbuka berjaya melayakkan diri ke pentas akhir.

Naib Johan dimenangi oleh Nurul Najihah Abdul Halim dari Universiti Utara Malaysia (UUM), manakala tempat Ketiga diraih oleh Muhammad Hanif Naim. Turut tersenarai sebagai pemenang sagu hati ialah Nur Syamimi Ros Azlan daripada negeri Johor dan Nur Jannah Husna Sukardi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Pidato Terbuka Belia 4B merupakan acara tahunan anjuran Gerakan Belia 4B, namun penganjuran edisi 2025 tampil berbeza apabila dilaksanakan dalam skala lebih besar menerusi Festival Kesenian dan Dakwah Negara Peringkat Kebangsaan. Festival ini menghimpunkan pelbagai acara dan kategori antaranya azan, nasyid, khat, sajak, pidato peringkat sekolah rendah dan menengah serta aktiviti seni dan dakwah lain. Program ini telah berlangsung di Kompleks Perkasa (Asrama Darul Falah), Bukit Payong, Terengganu anjuran oleh Gerakan Belia 4B Terengganu dengan kerjasama beberapa agensi.

Johan Pidato, Najmi Adli Mustaffa membawa pulang hadiah wang tunai RM800 berserta Piala Pusingan, piala iringan dan sijil penyertaan dengan mempersembahkan pidato bertajuk “Mencari Makna Belia Setia”. Najmi menyifatkan kemenangan beliau di pentas ini membuktikan bahawa belia negara masih kekal jati diri Melayu dan berwibawa dalam menyampaikan amanat tersurat dan tersirat serta mampu melonjak kemampanan negara dari pelbagai aspek.

Pertandingan Pidato Terbuka Belia 4B sebelum ini dimenangi oleh peserta dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada tahun 2023, sekali gus membuktikan kesinambungan kualiti dan tahap persaingan yang tinggi dalam kalangan peserta.

Majlis perasmian Festival Kesenian Dakwah Negara Peringkat Kebangsaan ini telah disempurnakan perasmiannya oleh YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).  Manakala Majlis Perasmian Penutup dan penyampaian hadiah kepada pemenang dilaksanakan oleh Pengerusi KETENGAH Holdings Dato’ Nik Dir Nik Wan Ku dan turut dihadiri Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembangunan Murid Abdul Razak Muda serta Pengerusi Gerakan Belia 4B Malaysia Negeri Terengganu Muhammad Shohaimil Haffiz Salleh merangkap Pengerusi Festival Kesenian Islam.

Program mendapat sambutan yang sangat menggalakkan dan berjaya menghimpunkan 400 orang peserta dari seluruh negara melibatkan pelbagai acara dan mampu menarik minat generasi muda mendekati program berteraskan nilai murni selaras dengan ajaran Islam bersesuaian dengan tema ‘Menyubur Mahabbah Melalui Seni Dakwah’.

Disediakan oleh:
Rozihani Mohamad
Ketua Unit Pengurusan Dokumentasi dan Penerbitan Kreatif
Pusat Kebudayaan