Shah Alam, 16 Oktober – Mementaskan deklamasi lakon atau popular dengan nama ringkasnya dekon, kumpulan Penyair Nasional (KHUPAS) mengharumkan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) apabila muncul sebagai Johan Pertandingan DEKON Festival Bahasa Peringkat IPT anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM). Pertandingan yang diadakan bersempena sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan ini diadakan bertujuan untuk menggalakkan penggunaan bahasa Melayu di kalangan pelajar IPT. Penyertaan terbuka kepada pelajar IPT seluruh Malaysia, melibatkan penyertaan melalui video dekon.
Pertandingan ini menyaksikan 10 kumpulan layak ke peringkat akhir telah membuat persembahan di acara kemuncak pada 16 Oktober 2025 di bertempat di UiTM Shah Alam. kumpulan KHUPAS USIM yang diketuai oleh Abdul Rasmin Sagal Abdul Rahman dan dianggotai lima orang ahli kumpulan tampil dengan persembahan berjudul Persuratan MADANI dan menjalani latihan intensif selama satu minggu. Persembahan tersebut berjaya memikat perhatian barisan juri melalui kekuatan lakonan, penghayatan teks serta kejelasan mesej yang disampaikan. Persuaratan MADANI menjurus kepada elemen yang terkandung dalam teras dan elemen MADANI yang dipersembahkan secara artistik dan penuh penghayatan emosi.

Persembahan dekon berjudul Persuratan MADANI mengangkat wacana tentang makna MADANI melalui dialog tiga sahabat yang menafsirkan konsep tersebut dari sudut berbeza seperti nilai akhlak, perjuangan ilmu dan tanggungjawab terhadap masyarakat. Walaupun berbeza pandangan, perbezaan itu akhirnya dirangkum sebagai satu kesepakatan, menggambarkan MADANI sebagai hasil kesatuan idea, toleransi dan saling memahami dalam membina kemanusiaan yang seimbang.
Menurut Rasmin, kemenangan ini disambut dengan rasa syukur dan rendah hati. “Saya merasa bersyukur kepada Ilahi kerana tidak semua diberi rezeki yang sama. Penat lelah latihan yang penuh cabaran akhirnya terbalas dan amat berbaloi,” katanya. Beliau turut menzahirkan harapan agar platform seni bahasa seperti ini terus diperkasakan. “Kemenangan ini amat bermakna kerana ianya juga memberi cabaran baharu untuk kami lebih kreatif, bukan untuk meninggi, tetapi mengajar kita tunduk ke bumi. Seni juga wajar menjadi jambatan yang menghubungkan idea, jiwa dan kemanusiaan tanpa mengira usia atau latar belakang,” ujarnya.

Hasil kemenangan tersebut, KHUPAS menerima wang tunai berjumlah RM1,500.00 dan sijil penyertaan. Naib Johan dimenangi oleh Wangsa Sariwara daripada UiTM dan tempat ketiga dimenangi oleh Gema Pertiwi IPG Kampus Tunku Bainun, Perak.
Majlis penyampaian hadiah, perasmian penutupan dan Festival Bahasa IPT disemprnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi (KPT) YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud. Beliau menerusi ucapannya menyatakan bahawa KPT sentiasa komited dalam menyokong usaha Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja menguasai bidang ilmu masing-masing, tetapi juga memiliki jati diri kebangsaan yang kukuh melalui pemerkasaan Bahasa Melayu. Penganjuran festival hasil kerjasama strategik antara UiTM sebagai tuan rumah, KPT dan DBP tersebut telah berjaya menghimpunkan penyertaan mahasiswa dan pensyarah dari IPT seluruh negara melalui pelbagai aktiviti kebahasaan dan pertandingan seperti Pidato Interaktif, Deklamasi dan Lakon (DEKON) serta Ekplorasi Jawi.
Disediakan oleh:
Rozihani Mohamad
Ketua Pengurusan Dokumentasi dan Penerbitan Kreatif
Pusat Kebudayaan