8 November, Nilai – Akademi Teater Rupawan Asli (ATRA), Kelab Multimedia dan Keusahawanan Seni (KMKS) sekali lagi tampil dengan kelainan apabila Semester Showcase kali ini diperkasakan melalui kolaborasi antarabangsa bersama Institut Seni Indonesia (ISI) Padangpanjang, Indonesia. Turut mengikuti delegasi bersama kumpulan teater Sembilan Ruang dan Teraseni. Kunjungan 22 orang delegasi ke Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bertujuan mengukuhkan hubungan dua hala dalam penganjuran program seni persembahan khususnya teater, selaras dengan agenda mobiliti pelajar dan pertukaran budaya antara kedua-dua institusi.
Kerjasama ini membuka ruang kepada pelajar ISI untuk menyertai program dan pementasan di Malaysia, sekali gus memberi pengalaman silang budaya serta pembelajaran dalam konteks pengurusan seni persembahan Nusantara. Silang Budaya ini mempertemukan aspek pemindahan ilmu melaui penganjuran Bengkel Tarian Tradisional Randai yang menampilkan kepakaran ISI dalam seni tarian tersebut. Tarian Randai ialah satu seni persembahan teater tradisional yang menggabungkan tarian silat, lakonan, nyanyian dan diringi muzik tradisional. Persembahan randai biasanya dimulai dengan teromba dan penceritaan disampaikan dalam dialek yang disesuaikan dengan budaya setempat. Bagi peserta ATRA yang mengikuti bengkel ini, mereka menzahirkan rasa teruja dan menyambut baik inisiatif pemindahan ilmu tersebut kerana ia bukan sahaja menambah kemahiran, malah memperkukuh skil dan mutu persembahan teater mereka.

Tidak setakat itu, bersempena dengan Semester Showcase, ATRA muncul melalui naskhah Tong 17 mengetengahkan adaptasi teater muzikal naratif, menggabungkan gerak tari, nyanyian dan penceritaan yang dipandu oleh narator bagi menambah dimensi baharu kepada persembahan kali ini. Naskhah arahan dan idea Mohamad Arif Taslim atau lebih dikenali sebagai Aloeng Silalahi yang telah dinobatkan sebagai johan dan mengungguli pentas Pentas Teater Kuala Lumpur yang berlangsung dari 1 hingga 10 Oktober 2025 di Panggung Anniversari, Kuala Lumpur.
Dianggotai seramai 28 tenaga produksi, Tong 17 mengangkat kisah kehidupan tentang sebuah lorong sempit kota, tersembunyi sebuah rahsia yang lama dipendam. Di tengah lorong itu, berdiri Tong No.17 sebuah tong besi usang yang tidak pernah dialihkan, kelilingnya penuh dengan sisa dan menjadi simbol suara dan sejarah yang dilupakan. Kisah ini digerakkan oleh watak Anis, seorang pekerja baru yang berani dan sering mempersoalkan tentang kweujudan tong tersebut yang seakan tidak siapa berani mengambil tanggungjawab untuk dialihkan. Apabila ditanya kepada penyelia dan rakan sekerjanya mereka hanya mendiamkan diri. Bersama Jumo, sahabat yang keliru antara patuh dan melawan, mereka berdepan dengan Bang Kot, Wak Jen dan geng lorong dalam satira sosial yang menggambarkan karenah birokrasi dan nilai kemanusiaan. Kombinasi humor, watak bersahaja dan penceritaan yang dekat dengan realiti kehidupan menjadikan pementasan ini kekal memikat hati audiens sepanjang persembahan berlangsung.

Sementara itu di pentas yang sama, produksi Teater Sambilan Ruang daripada ISI pula mementaskan Bayang Kaki Limo memaparkan latar hidup di kampung di sebuah pasar tradisional yang dihuni insan berhati jujur tanpa kepura-puraan. Bagi mereka yang hidup tanpa topeng, wajah luar hanyalah cerminan apa yang tersimpan di dalam hati. Tutur kata yang baik dan penampilan sederhana menjadi lambang keharmonian yang seiring dengan kerendahan hati.
Pementasan digerakkan oleh watak Amak, seorang wanita lingkungan 45-an yang menjual sayur setiap hari untuk menyara kehidupan. Amak sentiasa menjaga maruah diri dan berpegang kepada apa yang benar-benar yang dilihat di depan matanya terutama anak kandungnya sendiri.
Bagi Amak, pandangan orang-orang pasar tidak lain hanyalah cemburu tentang ‘bahagia’ yang mereka tonjol. Dayat, sahabat karibnya, berkali-kali cuba membuka mata Amak tentang hipokrasi yang merayap di sekelilingnya. Pada hematnya, mereka yang sibuk mencampuri urusan hidup orang lain hanyalah sedang menghibur hati sendiri daripada kekangan hidup. Mereka adalah jiwa-jiwa yang kalah dalam pertarungan, lalu memilih kedengkian sebagai perlindungan.

Namun, akhirnya Amak terpaksa menerima sebuah kenyataan paling menyakitkan apabila Udin, insan yang dijadikan suri teladan dan kebanggaannya selama ini, rupanya gelap mata oleh nafsu dunia sehingga sanggup menghalalkan apa sahaja yang mungkar. Lebih mengecewakan, orang yang selama ini dipujanya itu turut bersekongkol dengan anak kandungnya sendiri yang berpakat demi kepentingan duniawi. Kisah masyarakat ini ditonjolkan sebagai gambaran kehidupan duniawi apabila kuasa dan kekayaan merajai fikiran. Kisah ini adalah buah tangan skrip dan arahan Faitri Noveri dan pengarah lakonnya oleh Dr. Dede Pramayoza, pensyarah Seni Teater ISI Padangpanjang.
Teater Sambilan Ruang bertapak di Nagari Lubuak Batingkok, Harau, Sumatera Barat, merupakan kumpulan teater yang lahir daripada ruang diskusi akademik oleh beberapa mahasiswa termasuk Abdul Hanif, Ega Novia Sari, Rahmad Al Akbar, Agita Muliadi, Fauzan Husni Sulaiman dan Fitri Noveri. Ditubuhkan pada 11 November 2011, kumpulan ini berkembang menjadi sebuah kumpulan teater bebas yang menumpukan usaha menterjemah idea kreatif dan teori teater ke pentas persembahan secara profesional.
Pengarah Pusat Kebudayaan USIM, Mohd Salehudin Sukor berkata, “Ini adalah usaha yang sangat baik dalam mempertemukan dua budaya serumpun yang walaupun berbeza secara geografi, budaya dan bahasa namun selasri mengetengahkan isu dekat dengan masyarakat kita. PUSKEB berharap program seperti ini dapat diteruskan untuk masa akan datang.” Beliau turut menyatakan harapan agar ATRA KMKS dapat mengunjungi ISI dan menyantuni warga kampus Padangpanjang pada masa akan datang.

Manakala, jurulatih teater USIM, Aloeng Silalahi pula menyatakan bahawa “program silang budaya ini mampu melatih pelajar melaksanakan program bertaraf antarbangsa, menghadapi cabaran perbezaan dari segi budaya dan bahasa serta mengadapatasi inovasi baharu dalam media penyampaian persembahan dengan berkesan”.
Dalam pada itu, Dr. Dede Pamayoza menyatakan bahawa kerjasama ini membangkit semangat anak-anak seni di Nusantara khususnya Malaysia-Indonesia. Penganjuran program ini amat disokong kerana mampu memperluaskan jaringan seni sebagai usaha mengangkat martabat kesenian tradisi serumpun.” Delegasi ini dikemudi oleh tenaga pakar dalam persembahan seni pentas iaitu Dr. Dede Pamayoza sebagai Dramturg, Fitri Noveri sebagai Sutradara Fadhlul Rahman co-dramaturg dan Ketua (Pimpinan) Produksi Ibu Fresti Yuliza.
ATRA Semester Showcase mendapat sambutan meriah dengan kehadiran lebih 300 audiens terdiri daripada pelajar, alumni, staf USIM dan penonton luar yang meminati persembahan teater memenuhi Dewan Kuliah Utama, Fakulti Pengajian Quran Sunnah USIM.
Disediakan oleh:
Rozihani Mohamad
Ketua Unit Pengurusan Dokumentasi dan Penerbitan Kreatif
Pusat Kebudayaan USIM