11 Oktober 2023, Bangi – “Di bumi Taif kau berkelana, membawa syiar Islam mulia, namun hanya luka dan nista diterima, lencun kasutmu dek darah mencurah.” Serangkap bait lirik yang diilham dari pengkisahan junjungan Nabi Muhammad SAW sewaktu baginda difitnah ketika menyebarkan dakwah menjadi pilihan kumpulan nasyid Intracksee. Menyelami dan mengambil pengajaran daripada keperitan yang dialami oleh junjungan besar Nabi Muhammad SAW ketika menyampaikan dakwah di bumi Taif menjadi inspirasi kepada kumpulan nasyid Intracksee Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) apabila dinobatkan sebagai johan pertandingan Nasyid Ihtifal Seni Budaya Islam (ISBI) peringkat Antarabangsa anjuran Institut Perguruan Kampus Pendidikan Islam dengan Kerjasama Institut Pendidikan Guru Malaysia dan Majlis Akademia Pendidikan Guru Malaysia.
‘Peristiwa Taif’ dipilih sebagai tajuk lagu untuk pengisian jiwa ketika disampaikan dengan penuh penghayatan dan bagaikan diresapi kekuatan dan keinsafan yang menebal kalangan ahli Intracksee.
Menurut ketua ketua Kumpulan Intracksee, Amirul Zahid Amadnoh “Membawa sebuah lagu yang mempunyai mesej yang amat bernilai menjadi tanggungjawab yang tidak mudah dilaksanakan. Memahami secara tersirat dan perlu selari dengan kemantapan vokal harus yang harus disepadukan dengan baik agar liriknya difahami dan mampu dihayati oleh audiens.” Amirul turut menambah bahawa mereka hanya sempat mengadakan latihan penuh selama seminggu memandangkan kesemua anggota ahlinya tidak berada di kampus kerana sedang bercuti semester.
Dalam pada itu, Pengrah Pusat Kebudayaan USIM Ismail Ahmed berkata,“ penyertaan Intracksee ke pertandingan seumpama ini adalah untuk mengembangkan bakat dan skil mereka agar teknik nyanyian dan persembahan sentiasa dipraktis dan diperbaiki untuk kemantapan kumpulan.”
Lirik lagu ‘Peristiwa Taif’ adalah hasil karya oleh kumpulan Intracksee dan Huzaimi Zaini manakala lagu hasil ciptaan oleh Adiwangsa Sukma. Intracksee yang dianggotai lima orang ahli berharap agar lagu yang disampaikan mampu dihayati dan dimanfaatkan bersama sebagaimana yang diketahui bahawa Nabi Muhammad SAW adalah contoh terbaik yang harus diikuti oleh umat Islam.
Pertandingan ISBI disambut meriah dengan menyaksikan 35 kumpulan berentap terdiri daripada Universti Awam, Intstitut Pengajian Tinggi Swasta, Institut-institut Perguruan dan juga universiti dari luar negara seperti Indonesia. Pertandingan dan penilaian ini yang dijalankan secara atas talian dan dinilai oleh tiga orang juri berwibawa iaitu Muhammad Hazamin Harun, Prof. Dr. Irwan Mohd Subri dan Mohd Amri Mohd Zain.
Pemenang utama menerima hadiah bernilai sebanyak RM1,000.00 dan ISBI merupakan pencapaian kedua Intracksee pada tahun 2023.
Disediakan oleh :
Rozihani Mohamad
Ketua Unit pengurusan Dokumentasi dan Penerbitan Kreatif.
Pusat Kebudayaan USIM